Untitled design (36)
Untitled design (36)

UUM jalin kerjasama dengan kerajaan negeri Kedah tangani isu keciciran pelajar

Azleenda Sahaludin
22 Dec 2022 04:35pm
A
A
A

Isu keciciran pelajar merupakan antara masalah dalam pendidikan di negara ini yang kerap dilaporkan dan semakin membimbangkan di semua peringkat pengajian.

Untuk itu, kerajaan telah melaksanakan dasar pendidikan percuma melibatkan golongan sasaran khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), kanak-kanak Orang Asli dan tidak berdokumen serta kanak-kanak tinggal di ladang.

Namun isu ini semakin hangat dan ia bukan isu baru yang diketengahkan malah sudah menjadi buah mulut sejak dulu lagi terutamanya apabila negara mengalami pandemik Covid-19.

Ini kerana, pandemik telah meninggalkan kesan besar kepada dunia pendidikan sehingga usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar keciciran pelajar memerlukan pendekatan cermat dan holistik.

Melihat kepada kepentingan isu ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah mewujudkan program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS).

Program ini bertujuan untuk memulihkan institusi pendidikan pada peringkat menengah yang berdepan dengan isu tersebut.

Datuk Najmi.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Sumber Manusia Negeri, Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad berkata, program ini merupakan antara komitmen kerajaan negeri Kedah sebagai langkah inisiatif untuk mengesan pelajar yang berisiko keciciran dengan lebih awal.

“Sebagai langkah kukuh menangani isu ini di negeri Kedah, kerajaan negeri telah bekerjasama secara strategik dengan pasukan penyelidik UUM, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Sime Darby.

“Ia juga bukan seperti program lain malah akan dilakukan secara berterusan sehingga dapat melihat hasilnya untuk dua tahun akan datang kepada pelajar rintis dari enam buah sekolah.

“Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, SMK Tanjong, SMK Ayer Hitam, SMK Tunku Seri Indera Putra, SMK Ayer Hangat dan SMK Kelibang,” katanya ketika berucap merasmikan program KOMPaS 1.0 di Wisma Darul Aman, Kedah, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad dan Penolong Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Muhammad Afiq Faiz Mohd Ridzam.

Profesor Dr Rosna.

Dalam pada itu, Profesor Kanan Psikologi Pendidikan UUM, Profesor Dr Rosna Awang Hashim memberitahu, program KOMPaS ini memenuhi aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang menggariskan langkah membendung keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kami di UUM sangat komited membantu kerajaan negeri menangani dan membendung isu ini daripada menjadi semakin parah.

“Saya juga amat mengharapkan program sebegini disambut baik secara menyeluruh di daerah-daerah lain,” ujarnya.

Artikel berkaitan

UUM bantu dua kilang peroleh sijil GMP

UUM tersenarai 148 universiti terbaik Asia

Pelajar UUM bawa pulang harum manis sempena Aidilfitri


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok