7
7

UUM bantu dua kilang peroleh sijil GMP

Norliza Wasilan
30 Sep 2022 11:34am
A
A
A

Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya membantu dua pengilang memperoleh pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) bertaraf antarabangsa untuk mencapai taraf operasi pengilangan berdaya saing.

Dua pengilang berkenaan ialah Madina Food Industries dan Sabr Ad Dhuha Enterprise yang beroperasi di Perlis.

Menururt Ketua Perunding Projek Pensijilan GMP UUM, Profesor Madya Dr Risyawati Mohamed Ismail, kemampuan industri kecil dan sederhana (IKS) ke peringkat global akan memastikan kesinambungan bekalan produk berkualiti bukan saja di pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa.

Pengilangan bertaraf GMP memerlukan komitment besar daripada IKS.

Ujarnya, selepas pandemik Covid-19, pengilang IKS menjadi antara tulang belakang ekonomi yang cukup penting untuk negara.

“IKS sentiasa mencari jalan meningkatkan operasi pengilangan bagi memastikan mereka bukan sahaja mampu bersaing di pasaran tempatan, tetapi juga mampu menembusi pasaran antarabangsa yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Oleh itu, kita bukan saja membantu dari segi pengetahuan mengenai GMP dan keselamatan makanan, tetapi juga memberikan khidmat secara hand-holding bagi memastikan pengilang IKS mempunyai keupayaan mengekalkan operasi.

“Usaha ini perlu untuk memastikan mereka mampu mengekalkan status pengilang GMP secara konsisten dan berterusan,” ujarnya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pengilangan terutamanya membabitkan makanan.

Pensijilan GMP di Malaysia dipantau di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan mendapat pengiktirafan negara luar.

Nor Hasni (baju kurung merah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mahadzir (dua dari kanan) dari syarikat Sabr Ad Dhuha dengan disaksikan oleh Risyawati.

Sabr Ad Dhuha Enterprise merupakan pengilang jus minuman Al Khamsah dengan status perniagaan tunggal yang diasaskan anak kelahiran Perlis, Mahadzir Zakaria.

Manakala Madina Food Industries diterajui pasangan suami isteri, Muhammad Rizal Osman dan Norafdzaniza Othman, masing-masing bekas jurutera dan pensyarah yang memulakan perniagaan pembuatan serbuk minuman sejak 2012 di Beseri, Perlis.

Mengulas lanjut, ujar Risyawati, pengilang tempatan juga perlu memastikan tahap keselamatan produk sentiasa diberi keutamaan bagi meningkatkan keyakinkan pelanggan mengenai kualitinya.

“Pengilang IKS sering menghadapi kekangan kewangan apabila cuba menaik taraf fasiliti dan operasi kilang, mujurlah mereka mendapat bantuan kewangan dari MARA Negeri Perlis bagi mencapai pensijilan GMP,” tambahnya.

Pengilang IKS bertaraf GMP mampu bersaing dengan pengeluar global daripada segi kualiti.

Sementara itu, Mahadzir berkata, beliau memulakan perniagaannya dengan membuat ramuan jus minuman menggunakan lima jenis herba sebelum dikomersilkan pada Julai 2015.

Pada 2016 pula, ujarnya, syarikat berjaya memiliki premis pengilangan lebih lengkap dan sedia untuk mendapatkan status GMP bagi meluaskan kebolehpasaran produk.

“Bermula dengan menghasilkan ‘product home-based’, syarikat ini terus melangkah jauh menghasilkan lebih banyak produk dan beroperasi di premis yang lebih sesuai dan berjaya mendapatkan sijil Halal dan MeSTI,” ujarnya.

Nor Hasni (berbaju kurung merah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Muhammad Rizal (baju putih) dan Norafdzaniza daripada syarikat Madina Food Industries, sambil disaksikan oleh Risyawati (kiri sekali).

Muhammad Rizal yang bersyukur dengan pensijilan GMP itu pula memaklumkan, hasil dedikasi, ketekunan dan azam yang kuat, akhirnya mereka berjaya mendirikan dua buah kilang pembuatan serbuk minuman.

“Alhamdulillah produk ini mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan dan terus berkembang sehingga menyedarkan kami tentang kepentingan GMP bagi meluaskan pasaran seterusnya bersaing di peringkat antarabangsa.

“Hasil kesedaran tersebut, syarikat telah mendapatkan bimbingan daripada perunding UUM bagi membantu menaik taraf operasi pengilangan seterusnya memperolehi sijil GMP.

“Setakat ini Madina telah menghasilkan lebih 25 jenis produk minuman di fasiliti bertaraf GMP dan berjaya menembusi pasaran luar negara,” ujarnya lagi.

Artikel berkaitan

Jalin kerjasama dengan 20 universiti di Indonesia, usaha UUM kukuhkan pengantarabangsaan

Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian

Pelajar Kolej GENIUS@Pintar Negara UKM cemerlang di World Scholar’s Cup Global Round 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok