Sokongan jitu buat solidariti mahasiswa (it test - auto)

MUHAMMAD SYAFI FAUZAN SAIFUDDIN
26 Feb 2024 02:04pm
A
A
A

'Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara'. Ungkapan ini membawa maksud yang jelas bahawa generasi muda memikul tanggungjawab yang besar sebagai tulang belakang dalam usaha membangun masa depan negara yang gemilang.

Namun, pernahkah kita berfikir sejenak, tentang bagaimana golongan ini mampu merealisasikan impian tersebut?

Justeru, solidariti mahasiswa menjadi satu platform terbaik buat generasi muda dalam memperjuangkan hak dan keadilan terhadap sesuatu perkara.

Adalah penting untuk masyarakat umum menyedari hakikat bahawa golongan ini mampu membawa perubahan yang cukup signifikan kepada negara, bangsa dan agama.

Anak muda kini perlu diberi peluang dan ruang agar bebas melakukan atau menggerakkan sebarang usaha yang mereka fikir baik kepada komuniti tempatan mahupun global. Biarkan mereka membentuk sebuah gerakan secara berkumpulan yang mampu memberi sumbangan dan impak positif kepada masyarakat.

Dalam era globalisasi ini juga, mahasiswa menjadi tonggak utama kepada pembangunan masyarakat di mana mereka mewakili suara generasi masa depan yang berhasrat melihat perubahan positif dalam sistem pentadbiran negara. Solidariti mereka membawa bersama aspirasi serta harapan untuk perubahan ke arah yang lebih baik.

Menghargai penglibatan mahasiswa dalam gerakan solidariti ini bermakna mengiktiraf pentingnya perspektif mereka dalam membuat sesuatu keputusan. Kebebasan menyuarakan pendapat, menyokong perkara yang mereka percayai dan berjuang ke arah perubahan positif adalah hak asasi yang harus dihormati oleh semua pihak.

Analogi secara mudah adalah ketika mahasiswa mengambil langkah ke hadapan untuk menyuarakan kebimbangan mereka, sudah pasti mereka membawa hasrat untuk memperbaiki situasi yang mungkin mereka fikir tidak adil atau tidak sewajarnya. Jika perkara sebegini mendapat tentangan, sudah tentu ia boleh merencatkan semangat mereka menuju perubahan yang ingin mereka capai.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, dengan memberikan sokongan padu akan memberi mereka kekuatan dan keyakinan bahawa usaha itu dihargai dan secara tidak langsung tercetusnya dialog secara terbuka dan konstruktif antara pihak berkepentingan untuk mencari penyelesaian yang lebih baik.

Sistem sokongan melalui pelbagai cara seperti memberi ruang untuk demonstrasi aman, platform untuk berbincang dan menawarkan sokongan emosi dan mental penting supaya dasar kepercayaan dan saling memahami antara pelbagai pihak yang terlibat dapat dibentuk.

Program Run For Palestine: Hues of Hope merupakan satu tindakan solidariti mahasiswa Masscomm UiTM Melaka pada Disember lalu.
Program Run For Palestine: Hues of Hope merupakan satu tindakan solidariti mahasiswa Masscomm UiTM Melaka pada Disember lalu.

Kesannya, mereka boleh meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, penyelesaian masalah dan sifat kerjasama antara mereka melalui penganjuran acara selain berpeluang bekerjasama dengan pelbagai orang atau pihak yang lebih besar seperti badan bukan kerajaan (NGO).

Kemahiran itu dapat memperkasakan anak muda untuk menjadi ejen yang berkesan dalam komuniti mereka.

Pemerkasaan ini di akhirnya memupuk keyakinan, harga diri dan komitmen terhadap penglibatan sepanjang hayat dalam perkhidmatan masyarakat yang seterusnya membawa kepada generasi muda yang lebih bertanggungjawab serta cakna akan keadaan semasa.

Menyokong solidariti mahasiswa bukanlah tugas yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, kefahaman dan kebolehan untuk mendengar dan memahami masalah yang mereka hadapi.

Pihak berkuasa dan masyarakat juga perlu berusaha memahami bahawa solidariti mahasiswa bukanlah tindakan melawan tetapi satu usaha untuk memperbaiki keadaan yang ada ke arah yang lebih baik.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa solidariti mahasiswa memainkan peranan penting dalam masyarakat.

Mereka bukan hanya pelapis kepada perubahan, tetapi penentu utama bagi pembentukan masa depan yang lebih cerah. Oleh itu, memberi sokongan yang wajar dan diperlukan kepada usaha mereka adalah penting untuk memastikan aspirasi mereka dapat direalisasikan.

Masyarakat perlu melihat solidariti mahasiswa sebagai satu bentuk komitmen untuk memperbetulkan keadaan ke arah yang lebih baik.

Sokongan yang diberikan tidak semestinya bermakna bersetuju dengan setiap tindakan mereka, tetapi ia adalah pengiktirafan terhadap pentingnya suara mereka dalam perjalanan mencapai perubahan positif.

Dengan itu, keharmonian antara sokongan dan diskusi secara terbuka akan membawa kepada pembinaan institusi kemasyarakatan yang lebih adil dan inklusif.

Menyokong solidariti mahasiswa adalah tanggungjawab kita bersama. Apabila kita menyokong tindakan mereka, tanpa kita sedari sebenarnya kita juga sedang menyokong masa depan yang lebih baik untuk semua.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok