"3.95 pun tidak dapat UPU” - Pelajar terkilan permohonan UPU tidak berjaya meskipun raih keputusan cemerlang
Keputusan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) yang diumumkan baru-baru ini telah menyaksikan ramai pelajar dapat meneruskan perjalanan mereka dalam menimba ilmu sama ada di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.
Ia menjadi lebih bermakna sekiranya pelajar yang membuat permohonan berjaya mendapat tempat di universiti dalam jurusan pilihan.
Namun, lain pula kisahnya buat Muhammad Firdaus Mohd Azly Lee, 22, apabila tidak berjaya mendapat tempat dalam permohonan UPU kali ini.
Dia meluahkan rasa terkilannya itu menerusi laman Twitter dengan memuat naik transkrip akademik serta tangkap layar permohonan UPU yang tidak berjaya.
[embed][/embed]
Dalam ciapan tersebut, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95 bagi Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Menurutnya, dia tidak menyangka kerana dia sudah melakukan yang terbaik bagi sepanjang tempoh pengajiannya di peringkat diploma sehingga berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.
“Saya sudah mengisi segala butiran dengan teliti bagi memastikan permohonan berjaya dan ditempatkan di pilihan pertama saya iaitu Universiti Malaya (UM) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia turut memuat naik keputusan permohonannya untuk University and Colleges Admissions Service (UCAS) yang berjaya diterima masuk ke dua buah universiti iaitu University of Sheffield dan University of Nottingham.
“Saya agak musykil mengapa saya tidak berjaya untuk UPU sedangkan berjaya mendapat tawaran di dua universiti luar negara,” jelasnya.
Muhammad Firdaus yang kini bekerja sebagai ejen insurans separuh masa berkata, pilihan utamanya adalah melanjutkan pengajian di dalam negara.
“Meskipun sudah peroleh tempat di dua buah universiti luar negara, saya lebih memilih untuk melanjutkan pengajian di dalam negara kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarga dan percaya universiti di sini mampu melahirkan graduan yang hebat setandingan dengan universiti luar negara.
“Oleh itu, saya telah mengemukakan rayuan dan berharap menerima tawaran melanjutkan pengajian di UM.
“Sekiranya masih gagal, saya akan cuba melakukan permohonan di mana-mana institusi pengajian tinggi swasta (IPTS),” ujar Muhammad Firdaus.
Artikel berkaitan
Sering dihina dan dipandang rendah, Ammar kini bergelar graduan University of Manchester
Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian
Rutin hafal al-Quran jadi pedoman hidup pelajar PhD di West Virginia University