HomeKomuniti8 alat kebesaran diraja

Artikel Berkaitan

8 alat kebesaran diraja

Penggunaan alat kebesaran dalam upacara rasmi khususnya pertabalan diraja sudah menjadi amalan kerajaan beraja termasuk Malaysia.

Peralatan kebesaran ini menjadi identiti atau imej pemerintah dan kerajaan serta ia antara barangan yang menjadi simbolik oleh raja.

Malaysia sebuah negara yang memelihara institusi beraja dengan mengangkat Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara turut mempunyai alat kebesaran khas yang diwarisi sejak dahulu lagi.

Ia juga berbeza bagi setiap negeri yang diperintah menjadikan rekaannya mempunyai keunikan tersendiri dan dijaga rapi.

Sebagai rakyat Malaysia, kita wajib tahu mengenai adat resam dan budaya di negara ini dan untuk itu disenaraikan lapan alat kebesaran yang sering digunakan dalam upacara rasmi Yang di-Pertuan Agong.

1. SINGGAHSANA


SINGGAHSANA adalah kawasan raja untuk bersemayam yang melambangkan kekayaan warisan kebudayaan mengikut adat istiadat negeri-negeri Melayu. Padanya ditonjolkan tulisan khat 99 nama ALLAH, ayat-ayat suci al-Quran dan ukiran tradisional Melayu.

2. COKMAR


ALAT kebesaran ini merupakan peralatan perang dahulu kala. Kini ia lambang kekuasaan baginda Sultan yang diperbuat daripada perak dengan ukuran panjang lebih kurang 81 sentimeter. Ia juga dikenali sebagai alat perang zaman dahulu dengan dua batang tongkat pendek berkepalakan kubah. Cokmar juga mempunyai ukiran bunga tanjung kuncup. Selain itu, ia turut menjadi simbol kuasa diraja yang telah dikurniakan Raja-Raja Melayu untuk keabsahan persidangan di Parlimen. Cokmar merupakan simbol kebesaran dan kekuatan.

3. PAYUNG UBUR-UBUR KUNING


PAYUNG ini digunakan sewaktu majlis istiadat-istiadat rasmi. Jumlahnya adalah 20 kaki yang diperbuat daripada kain sutera berwarna kuning raja. Warna kuning dipilih melambangkan kebesaran Raja-Raja Melayu dan merupakan rona yang dipandang mulia oleh rakyatnya. Di puncak payung itu dipasangkan anak bulan dan bintang.

4. TOMBAK BERAMBU


TOMBAK berambu merupakan sebahagian alat kebesaran diraja yang dahulunya digunakan sebagai senjata untuk memburu dan berperang. Jumlahnya adalah 20 batang diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia dengan matanya yang berlok. Selain itu, ia turut digunakan sewaktu majlis istiadat-istiadat rasmi.

5. NOBAT


NOBAT adalah kumpulan alat muzik tradisional yang terdapat di Malaysia melibatkan empat buah negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah dan Terengganu. Ia juga dikenali sebagai orkestra diraja bagi majlis di istana seperti menjunjung duli, pertabalan, perkahwinan, kemangkatan, berkhatan dan sebagainya. Alat kebesaran ini terdiri daripada serunai, gong, nafiri, gendang anak dan gendang ibu. Nobat dimainkan oleh ‘orang kalur’ iaitu beberapa pemuzik khas yang merupakan dalam satu keturunan keluarga sahaja. Mereka memainkan lagu-lagu seperti Mala wala, Belayar, Raja Burung dan sebagainya sejak zaman dahulu lagi.

6. SUNDANG DIRAJA


SUNDANG tidak digunakan untuk menikam tetapi berfungsi bagi memotong dan mencincang dengan cengkaman yang berlainan daripada keris biasa. Ia merupakan senjata Melayu lama yang diambil daripada mata pedang dan sundang zaman purbakala yang dijadikan sebahagian alat kebesaran diraja. Alat kebesaran ini adalah tertinggi dalam kumpulan keris dan mempunyai ukiran pada hulu serta sarungnya disadur dengan perak. Ia berasal dari Kepulauan Sulawesi dan diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-17. Ia merupakan simbol kekuasaan, kebesaran dan kekuatan.

7. COGAN AGAMA

COGAN agama turut digunakan dalam isitadat rasmi Raja-Raja Melayu dan ia diperbuat daripada perak dengan ukuran panjang lebih kurang 155 sentimeter. Pada batang tongkat dan hulunya terdapat ukiran ayat-ayat suci al-Quran. Di atas hulu tongkat diperbuat daripada emas merupakan anak bulan dengan bintang pecah lima. Ia melambangkan perpaduan antara negeri-negeri Melayu berteraskan Islam.

8. COGAN ALAM

COGAN alam diperbuat daripada perak dengan ukuran panjang hampir 163 sentimeter berupa suatu bulatan di atas hulu tongkat. Ia digunakan sewaktu istiadat rasmi Raja-Raja Melayu dan merupakan lambang keteguhan antara negeri di Malaysia. Pada bulatan cogan terdapat anak bulan dengan bintang dan di sekelilingnya diterapkan lambang sebelas negeri-negeri Tanah Melayu yang diperbuat daripada emas. Cogan itu ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri, manakala tongkatnya disusun dengan enam tangkai padi yang diperbuat daripada emas.

Artikel berkaitan

Kenali 6 pakaian kebesaran, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong

Agong zahir ucapan tahniah kepada Nur Athirah dan Putera Aiman

Agong bangga dengan pencapaian Cikgu Sam. Ini ucapan baginda kepada guru SK Runchang ini

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Terkini