tengkolok diraja
tengkolok diraja

Kenali 6 pakaian kebesaran, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong

Rasyidah Zulkifi
08 Jun 2022 05:17pm
A
A
A

Seperti kerajaan beraja yang lain, Malaysia memelihara institusi beraja dengan mengangkat Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara.

Sebagai seorang ketua negara, penampilan Yang di-Pertuan Agong mestilah mempunyai nilai yang kaya dengan adat resam Melayu.

Bagaimanapun, hanya sembilan negeri yang mengamalkan tradisi ini kerana mempunyai raja berkuasa mutlak yang menjalankan pemerintahan secara turun-temurun atau lebih dikenali sebagai monarki.

Antaranya termasuk Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis dan Johor.

Ini kerana setiap negeri mempunyai pakaian kebesaran diraja yang berbeza untuk upacara tertentu.

Bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baginda mempunyai persalinan tersendiri begitu juga Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Sehubungan dengan itu, Sinar Bestari kongsikan pakaian kebesaran Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong.

Pakaian kebesaran Yang di-Pertuan Agong

1. Tengkolok Diraja

Kredit foto: Bernama

 

Tengkolok Diraja merupakan pakaian kebesaran Raja-Raja Melayu sejak beberapa kurun lamanya. Ia diperbuat menggunakan kain tenunan sutera yang diikat dengan pelbagai solek (bentuk ikatan) di ulunya (tengkolok). Solek atau ikatannya dinamakan sebagai ‘Dendam Tak Sudah’ yang berasal dari Negeri Sembilan.

Tengkolok dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah berwarna hitam bersulamkan emas pada lawatan – lawatan rasmi ke negeri-negeri di Malaysia, Hari Pertabalan, Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi dan pada Perasmian Pembukaan Sesi Penggal Persidangan Parlimen.

2. Muskat

Kredit foto: Bernama

Ia merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan pegawai-pegawai Istiadat Istana Negara. Namanya diinspirasikan dari negara Muskat (kini Oman) dan ia diubah suai daripada pakaian rasmi pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kedah. Pakaian rasmi ini mula dipakai pada 1960 semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga. Muskat diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam yang dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan juga terdapat sulaman bunga raya yang melambangkan bunga kebangsaan Malaysia.

3. Mess kit

Mess kit dipakai oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong sewaktu majlis santapan malam beristiadat. Lazimnya ia dipadankan bersama kemeja putih, vest dan seluar panjang hitam berjalur kemasan di bahagian tepi.

Mess kit mempunyai reka bentuk seperti awan larat pada kolar dan lengan baju serta bunga raya. Awan larat adalah simbol istana dan mencerminkan identiti kebangsaan manakala bunga raya yang melambangkan keberanian dan perpaduan. Lima kelopak pada mess kit pula melambangkan lima prinsip rukun negara.

4. Keris panjang diraja

Ia merupakan alat kebesaran utama dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Keris panjang diraja juga merupakan keris kerajaan yang melambangkan kekuasaan dan tanda kebesaran. Daripada bahagian hulu hingga ke sarungnya, keris ini disalut dengan emas dan di atas sampir (sarung) diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas negeri Tanah Melayu. Mata keris ditempa daripada besi waja yang diambil daripada sebelas bilah keris dari negeri-negeri Tanah Melayu. Keris ini hanya dibawa Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat tertentu sahaja.

5. Keris pendek diraja

Keris ini diperbuat daripada mata keris lama yang berhulu dan bersarungkan gading bertatahkan emas. Hulu keris ini dinamakan 'Hulu Pekaka' dan berupa kepala 'Garuda'. Di sampir kerisnya melambangkan Kerajaan Persekutuan. Keris ini adalah salah satu oakaian kebesaran diraja dan seperti Keris Panjang Diraja. Ia hanya dipakai oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

6. Pending diraja

Pending diraja adalah bengkung atau hiasan pada tali pinggang yang diperbuat daripada emas sepuluh mutu, bertatahkan dan bersulamkan permata delima. Tali bengkung diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas dengan corak bunga, manakala lambang kerajaan persekutuan diletakkan di tengah-tengah pending.

Pakaian kebesaran Permaisuri Agong

1. Gendik raja

Gendik raja yang juga dikenali sebagai Pemeles merupakan tiara yang dipakai Raja Permaisuri Agong. Ia diperbuat daripada emas putih bertatahkan permata berlian penuh dan bermotif awan larat. Di atas awan larat itu terdapat anak bulan dan bintang, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih dan ia direka khas supaya boleh diceraikan menjadi loket atau kerongsang. Gendik ini dipakai oleh Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan waktu pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

2. Kalung raja

Kalung diraja adalah rantai leher yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sewaktu istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ia diperbuat daripada emas putih bertatahkan dengan permata berlian dan boleh dipisahkan menjadi sepasang kerongsang, subang dan kerabu.

Artikel berkaitan 

Tiga pelajar UPM terima biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021

Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2022 dibuka hari ini 

Agong bangga dengan pencapaian Cikgu Sam. Ini ucapan baginda kepada guru SK Runchang ini

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan