8 tarian tradisional di Malaysia yang perlu pelajar ketahui
8 tarian tradisional di Malaysia yang perlu pelajar ketahui

8 tarian tradisional di Malaysia yang perlu pelajar ketahui

Roshlawaty Md Raieh
27 Sep 2022 09:32am
A
A
A

Tarian didefinisikan sebagai satu seni tari pergerakan badan, kaki dan tangan mengikut rentak muzik yang dimainkan.

Gerak seni tari yang dipersembahkan oleh setiap kaum mempunyai asal usul, maksud dan tujuan tertentu.

Di Malaysia misalnya, terdapat pelbagai jenis tarian tradisional yang ditarikan masyarakat daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Antara tarian tradisional tersebut adalah tarian makyung, zapin, sewang, gamelan, sumazau, ngajat dan sebagainya.

Di sini, Sinar Bestari kongsikan perincian beberapa tarian tradisional untuk rujukan para pelajar sekolah rendah dan menengah.

Semoga bermanfaat.

1) Tarian makyung

  • Merupakan seni drama yang menggabungkan unsur lakonan, tarian, muzik dan nyanyian.
  • Alat muzik yang mengiringi makyung ialah tawak; gong; gendang ibu dan anak; canang; kesi; serunai serta rebab.
  • Dahulu, makyung dipertontonkan kepada khalayak ramai di istana dan dalam majlis rasmi negara.

2) Tarian zapin

  • Dahulunya, tarian ini ditarikan oleh kaum lelaki. Namun begitu, kini turut ditarikan secara berpasangan, lelaki dan wanita.
  • Alat muzik utama yang mengiringi zapin ialah gambus, gendang, rebana dan marakas.
  • Zapin ditarikan bertujuan untuk hiburan semasa pesta dan majlis perkahwinan.

3) Tarian singa

  • Tarian ini dipersembahkan antaranya untuk merayakan Tahun Baharu Cina, pembukaan kedai baharu dan majlis menyambut tetamu kehormat.
  • Antara alat muzik yang mengiringinya termasuklah bo, gendang besar dan gong.
  • Tarian ini ditarikan sebagai lambang keharmonian, keamanan dan kebahagiaan.

4) Tarian bharata natyam

  • Tarian ini ditarikan oleh masyarakat India sejak zaman dahulu.
  • Ia berkaitan dengan alam semesta yang dizahirkan melalui gerak tubuh yang membawa maksud tertentu.
  • Tarian bharata natyam ditarikan sebagai pembuka tirai dalam persembahan kebudayaan masyarakat India.

5) Tarian ngajat

  • Tarian ini dipercayai untuk mengajar kaum Iban di Sarawak cara-cara berperang pada masa dahulu serta untuk persembahan hiburan dan upacara ritual.
  • Alat muzik yang mengiringinya ialah bebendai, ketebong, engkerumong dan tawak.
  • Tarian ini dipersembahkan sebagai hiburan semasa perayaan Hari Gawai dan juga untuk upacara ritual.

6) Tarian sumazau

  • Tarian ini ditarikan oleh kaum Kadazan dusun di Sabah. Ia dikenali sebagai sumazau oleh kaum Kadazan dan sumayau oleh kaum Dusun.
  • Alat muzik utama yang mengiringi tarian ini ialah gong.
  • Tarian ini dipersembahkan bagi menghormati semangat padi. Ia juga diadakan semasa Pesta Kaamatan.

7) Tarian sewang

  • Tarian ini menjadi identiti masyarakat Orang Asli. Penari sewang akan menghiasi diri mereka dengan selempang daripada bunga-bungaan, daun kelapa, daun palas, daun nipah dan kulit kayu.
  • Alat muzik yang digunakan ialah buluh centong, gendang, kereb, pensol dan tetawak.
  • Tarian ini bertujuan untuk upacara ritual, perubatan dan majlis keramaian.

8) Tarian bhangra

  • Tarian ini ditarikan oleh masyarakat Sikh.
  • Alat muzik utama ialah dram dhol kayu besar, harmonika dan tamborin.
  • Tarian bhangra dipersembahkan dalam majlis keluarga dan keramaian.

Ternyata, tarian tradisional berjaya menyuntik semangat muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Generasi masa kini wajar berasa bangga akan keunikan budaya tempatan dan berusaha untuk memperkenalkan warisan tersebut bagi mengharumkan nama negara di persada dunia.

Sumber rujukan: Buku teks Sejarah Tahun 6

Artikel berkaitan 

Unik! Ini yang perlu guru dan pelajar tahu mengenai tarian zapin Johor

2 pelajar SMJK Sam Tet akan terus aktif dalam tarian singa

Lestarikan tulisan jawi melalui ilmu falak dan STEM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan