Zapin Johor
Zapin Johor

Unik! Ini yang perlu guru dan pelajar tahu mengenai tarian zapin Johor

webadmin
27 Feb 2022 02:54pm
A
A
A

Tarian zapin begitu sebati dengan identiti Johor sehingga tarian warisan itu menjadi antara kemestian dalam setiap keraian.

Tarian tradisional yang mempunyai gerak langkah lemah gemalai itu mempunyai keunikan tersendiri sehingga ia menjadi ‘trademark’ kepada negeri di selatan tanah air itu.

Bermula dengan langkah ‘taksim’ sebagai tanda hormat kepada pemain gambus, diikuti dengan lagu pantun sehingga diakhiri dengan langkah ‘wainab’, setiap gerak tari mempunyai maksud tersendiri yang menjadi keistimewaan zapin Johor.

Jurulatih tarian zapin Yayasan Warisan Johor (YWJ), Rohayu Mohd Yusoh berkata, keunikan zapin Johor yang diwarisi turun-temurun itu tidak boleh dipisahkan dengan alunan muzik tradisional melibatkan instrumen wajib seperti maruas dan gambus yang juga merupakan alatan tradisional Johor.

Rohayu yang sudah berkhidmat selama 16 tahun di YWJ berkata, zapin Johor mempunyai pelbagai jenis tarian di setiap daerah dengan kelincahan dan keindahan gerak tari mempunyai maksud yang tersendiri.

"Di Johor terdapat pelbagai jenis zapin yang mewakili setiap daerah sebagai contoh kalau di Kampung Pekajang, Johor Bahru kita ada Zapin Pekajang...di Batu Pahat, Zapin Kores dan Tanjung Labuh dan di Mersing Zapin Tenglu dan Tenglu Mak Usu.

"Sekarang kita ada 16 zapin jadi setiap daerah dan jenis zapin ada maksud tersendiri dan itulah keunikan zapin Johor,” katanya ketika ditemui Bernama di Yayasan Warisan Johor di sini.

Meskipun berdepan arus pemodenan yang menjadikan tarian tradisional ini kian dilupakan masyarakat, pihaknya tidak berputus asa untuk sentiasa perkenalkan tarian zapin Johor ini kepada generasi baharu.

Beliau memaklumkan, selain membuat pendedahan tarian ini di peringkat sekolah dan memperluaskan di setiap daerah, YWJ juga pada masa sama mengkaji tarian warisan terbabit.

Seorang penari Mohd Yusof Salleh, 36, yang menganggap zapin sebagai ikon bagi negeri Johor menyifatkan keistimewaan tarian zapin Johor terletak pada gabungan muzik maruas yang hanya digunakan untuk tarian tradisional itu.

"Keunikan tarian ialah muzik iringan alunan maruas yang khas digunakan untuk tarian zapin sahaja, telingkah kopak iaitu paluan maruas di akhir pantun membuatkan tarian zapin menjadi meriah.

"Dan petikan gambus seolah-olah satu zikir, penari harus mengikut rentak dan langkah yang disusun mengikut alat muzik tersebut menunjukkan keharmonian tarian zapin itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, penari muda dikenali sebagai Nazatul Atiqah, 23, berkata, tarian warisan zapin bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipelajari berbanding tarian moden.

Bagaimanapun, gadis yang mencintai tarian warisan tersebut dan berpengalaman membawa zapin ke Tokyo, Jepun dan Brunei bercita-cita ingin memperluaskan tarian tradisional itu ke persada dunia - BERNAMA

Artikel berkaitan

Kumpulan murid Orang Asli hiburkan tetamu dengan tarian sempena program merdeka

Sejarah tarian singa

Inspirasi ramai! Pelajar 10A+ SPM kongsi rahsia kejayaan untuk calon SPM 2021


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan