Untitled design
Untitled design

9 lokasi menarik selam skuba di Malaysia

Roshlawaty Md Raieh
02 Aug 2022 06:19pm
A
A
A

Bagi peminat sukan air, selam skuba mungkin menjadi salah satu daripada sukan pilihan yang gemar dilakukan kerana dapat menyaksikan dengan lebih dekat hidupan laut yang ada di negara ini.

Aktiviti selam skuba di Malaysia juga cukup terkenal di peta dunia memandangkan negara kita dikurniakan khazanah alam dan laut dalam yang indah terutama di kawasan timur Semenanjung serta di Sabah.

Keindahan taman laut yang ada ini juga berjaya menarik ramai pelancong datang ke Malaysia hanya semata-mata untuk melakukan aktiviti selam skuba kerana bagi mereka lokasi menyelam di negara ini ibarat 'syurga' yang tiada di negara lain.

Jadi, minggu ini Sinar Bestari kongsikan sembilan lokasi selam skuba yang paling menarik di Malaysia untuk rujukan pembaca di luar sana.

1) Pulau Sipadan, Sabah

Pulau ini dinobatkan sebagai salah satu tempat menyelam terbaik di dunia. Di pulau ini anda dapat melihat jerung terumbu, jerung kelabu serta lebih 3,000 spesies ikan, bilangan penyu hijau dan penyu sisik yang luar biasa. Di pulau ini juga terdapat beratus-ratus spesies karang dengan pelbagai warna. Salah satu lokasi menyelam terkenal di pulau ini adalah Barracuda Point di mana anda boleh menikmati pemandangan sekumpulan ikan baracuda. Selain itu, anda dapat menyelam ke tempat-tempat yang popular di pulau ini seperti Turtle Cave, West Ridge, Hanging Gardens, Lobster Lair, Staghorn Crest, South Point, Coral Gardens, White Tip Avenue, Mid-reef atau Turtle Patch.

2) Pulau Mabul, Sabah

Terletak di Sabah, Pulau Mabul merupakan sebuah pulau yang mendapat pengiktirafan sebagai salah satu tempat diving terbaik di dunia. Anda boleh melihat pelbagai spesies makro dan spesies Nudibranch, sotong juga octopus yang berwarna biru. Di pulau ini juga disediakan pelbagai jenis tempat penginapan yang pastinya memberikan keselesaan kepada anda sepanjang bercuti di pulau ini.

3) Pulau Kapalai, Sabah

Pulau yang terletak di perairan Semporna, Sabah, ini masyhur dalam kalangan pengunjung kerana mempunyai pemandangan yang cantik, air laut yang jernih serta pasirnya putih bersih. Pelbagai hidupan laut yang terdapat di terumbu karang sekelilingnya menjadikan pulau ini sentiasa menjadi destinasi popular dalam kalangan para penyelam. Pulau ini memiliki iklim tropika dan airnya kekal suam sepanjang tahun, selesa untuk berenang dan aktiviti selam skuba. Suhu air berlegar sekitar 29 hingga 30°C sepanjang tahun dan ia turun beberapa darjah pada musim tengkujuh. Pulau Kapalai memiliki terumbu karang yang mempunyai pelbagai hidupan laut yang menarik untuk dilihat. Antara lokasi menyelam menarik di sini adalah Mandarain Valley, Cleaning Station, Ray Channel, Eel Garden dan sebagainya.

4) Pulau Layang-Layang, Sabah

Pulau ini juga dikenali sebagai Terumbu Layang-Layang kerana ia merupakan pulau buatan manusia yang dibina daripada konkrit di atas beting pasir besar. Pulau ini timbul hampir 2,000 meter dari dasar laut.

5) Pulau Mataking, Sabah

Pulau ini menawarkan lebih dari 30 tempat untuk menyelam. Kesemua tempat ini mempunyai terumbu karang yang dilindungi. Para penyelam boleh melihat pelbagai hidupan laut seperti penyu hijau besar. Jika bernasib baik, anda dapat melihat jerung paus di sini. Sekiranya ke pulau ini, anda boleh pergi ke Taman Permainan Penyu, Hump Head Point, Lobster’s Lair dan Eel Garden. Anda juga boleh lihat spesies karang istimewa seperti brain corals and staghorn coral.

6) Pulau Redang, Terengganu

Pulau Redang juga terkenal dengan tempat diving tetapi kebanyakannya berada jauh dari pantai. Disebabkan itu, anda perlu menaiki bot. Antara tempat diving terkenal di sini ialah Tunnel Point. Jika anda ke sini, terdapat batu bata seakan terowong besar yang boleh dilalui ketika menyelam. Selain itu, anda juga boleh melihat penyu karah dan penyu hijau serta ikan yu yang lalu di Tanjung Gua Kawah. Terdapat juga tempat yang dikenali sebagai Che Isa. Jika menyelam di sini, anda boleh melihat ikan scorpion yang suka menyamar mengikut warna sekeliling.

7) Pulau Perhentian, Terengganu

Perhentian adalah pulau terbaik di Malaysia untuk melakukan kursus menyelam. Selain menyelam, ia mungkin salah satu pulau terbaik untuk snorkeling, dengan terumbu cetek dan karang yang cantik serta kehidupan laut yang sukar ditemui di tempat lain.

8) Pulau Tioman, Pahang

Pulau Tioman adalah satu pulau kecil di negeri Pahang. Sebahagian besar pulau ini terdiri daripada hutan tebal dan di dalam lautannya kaya dengan khazanah laut terumbu karang yang menjadikan Tioman sebagai lokasi popular kepada penyelam serta mereka yang meminati aktiviti snorkelling.

9) Pulau Kapas, Terengganu

Dengan mempunyai lebih daripada lapan tapak menyelam, Pulau Kapas merupakan lokasi pilihan yang menakjubkan untuk menyelam skuba di Malaysia. Terumbu karang dan dunia bawah laut di pulau ini masih berada dalam keadaan 'murni'. Para penyelam dapat menikmati keindahan marin yang cantik bersama rakan penyelam anda.

Artikel berkaitan 

Kerana minat melukis, Ajis sanggup selam skuba hingga berjaya hasilkan 50 karya di dasar laut. Terbaik! 

8 perkara yang perlu dilakukan sebelum menyertai aktiviti selam skuba

Nursafiy aktif selam skuba, semangat meneroka keindahan hidupan laut dalam


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan