ump kembara
ump kembara

Aktiviti kesukarelawan universiti di Sarawak, angkat konsep keharmonian #KeluargaMalaysia berbilang kaum

Rasyidah Zulkifi
30 Aug 2022 03:27pm
A
A
A

Kira-kira 52 sukarelawan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Bintulu turun padang bersama komuniti Rumah Panjang Diau Anak Lumut Pulau Raya di Kapit untuk menjayakan konsep keharmonian #KeluargaMalaysia dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan, baru-baru ini.

Para peserta terdiri daripada 30 kakitangan dan pelajar IKM Bintulu; 22 kakitangan, mahasiswa dan alumni UMP tinggal bersama ibu bapa angkat masing-masing bagi mengenali budaya Sarawak dan merasai kehidupan sebagai penghuni di rumah panjang.

Mereka melakukan pelbagai pengisian program dalam masa tujuh hari berturut-turut termasuk aktiviti khidmat masyarakat, promosi pendidikan, menggunting rambut, pendawaian elektrik, penanaman pokok, pertandingan inovasi, demonstrasi teknologi, pembangunan projek pertanian moden sistem fertigasi dan sistem hidroponik.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar, program ini mengeratkan silaturahim antara mahasiswa dan alumni UMP dengan memberikan pendedahan kepada masyarakat luar bandar dan mengaplikasikan bidang inovasi serta reka cipta di lapangan.

“Program ini juga selari dengan keinginan universiti dalam menjaga hubungan dengan komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai serta kepakarannya dimanfaatkan untuk masyarakat setempat.

“Ia sebahagian daripada Projek Khidmat Komuniti UMP Lighting Up The Community yang merupakan sebahagian daripada aktiviti bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP.

“Program ini diharapkan dapat menyuburkan dan menyemarakkan semangat patriotisme di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, tambahan lagi sambutan Hari Kebangsaan akan menjelma tidak lama lagi,” katanya.

Aktiviti kesukarelawan ini turut menjadi agenda penting universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berketerampilan dan warga universiti yang prihatin.

Ini dapat dilihat apabila UMP juga menyumbangkan solar untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan Nanga Engcheremin bagi menerangi rumah panjang dan untuk kegunaan penghuni asrama, selain menyampaikan bantuan berbentuk selimut, lapik tidur, tilam dan lain-lain kemudahan untuk pelajar asrama.

Penyerahan solar telah disampaikan oleh Jurutera Kanan Elektrik, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMP, Ts Mohd Nurulakla Mohd Azlan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri N61 Pelagus, Wilson Nyabong Ijang.

Sementara itu, alumninya yang kini berkhidmat di IKM Bintulu, Micheal Anak Jangi, berkata, program ini merupakan kesinambungan daripada Explore Kapit 1.0 pada 2014 dan Explore Kapit 2.0 pada 2017 yang diadakan di Rh Anthony, Nanga Mujan Ili, Nanga Merit, Batang Rejang dan Belaga.

Pihaknya berbangga apabila berjaya mengumpulkan alumni UMP untuk turut serta menjayakan aktiviti kesukarelawan ini.

Pada masa yang sama, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Dr Noormazlinah Ahmad turut memperkenalkan dan mempromosikan produk Pre-Pecto iaitu baja inulin yang digunakan sebagai nutrien kepada lebih 100 tanaman untuk dimanfaatkan di sekitar rumah panjang.

Hadir sama, Tuai Rumah Diau Anak Lumut dan mahasiswa dual ijazah UMP, Syamill Irhamie Shamsudin yang mengetuai operasi pasukan sukarelawan tersebut.

Artikel berkaitan

e-Pembelajaran Servis (e-PS) rancakkan agenda Keluarga Malaysia

Konsep JERI, kunci utama kejayaan SMK Hang Kasturi

Aktif jalankan aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan, Cikgu Maisarah Hannan mahu terus beri manfaat kepada orang lain


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan