pexels-negative-space-34088
pexels-negative-space-34088

e-Pembelajaran Servis (e-PS) rancakkan agenda Keluarga Malaysia

webadmin
27 Sep 2021 03:41pm
A
A
A

Pandemik Covid-19 telah mengubah landskap pendidikan negara. Hari ini, pembelajaran secara dalam talian menjadi medium utama dalam menyampaikan pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian.

Pada masa yang sama pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang terhad dalam ruang lingkup bilik kuliah dilihat tidak lagi mampu berdaya saing dan berdaya maju.

Justeru, PdP di luar bilik yang lebih bersifat kontekstual berpotensi besar untuk menghasilkan pembelajaran bermakna.

Satu daripada pendekatan PdP yang berorientasikan aktiviti di luar ialah pembelajaran servis.

Selain daripada mengaplikasikan teori ke dalam lapangan, pembelajaran servis yang juga merupakan suatu inovasi akademia baharu dapat memupuk dan mengasah kemahiran sosialisasi yang sangat penting sebagai pemula untuk memasuki pasaran kerja dan seterusnya menjamin kelangsungan pekerjaan.

Pembelajaran servis akan menjadi lebih bermanfaat bila ia disasarkan kepada komuniti yang memerlukan penyelesaian terhadap sesuatu masalah tertentu atau isu kritikal apabila dapat diselesaikan boleh membawa kepada pembangunan lestari dan keharmonian.

Ia melangkau apa yang dikatakan sebagai khidmat masyarakat atau kerja amal dalam komuniti kerana pemantauan yang dilakukan oleh pelajar dan universiti akan memastikan projek yang dilakukan akan kekal berterusan sehingga komuniti tersebut mampu menguruskan projek secara kendiri.

Pendekatan ini menyamai konsep ‘scaffolding’ yang memberi bimbingan dan bantuan secara berperingkat.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Amaun bimbingan dan bantuan akan semakin berkurangan sejajar dengan peningkatan penguasaan kemahiran ahli komuniti. Sesuatu pembelajaran servis perlu merangkumi tiga elemen utama iaitu memberi khidmat kepada komuniti, komitmen pertautan (engagement) dan akhir sekali pembangunan komuniti.

Justeru, pembelajaran servis merupakan suatu kolaborasi timbal balik (reciprocal) antara pelajar dengan komuniti yang membuahkan hasil ‘menang-menang’ bagi kedua belah pihak.

Membataskan interaksi bersemuka

Akibat daripada pandemik, kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini secara tidak langsung telah membataskan interaksi bersemuka antara pelajar dengan sumber dan sasaran komuniti di luar.

Jarak pemisah menyebabkan silaturahim dan keakraban semakin longgar. Budaya ziarah menziarahi, bersua muka dan berjabat tangan tidak dapat diamalkan lagi.

Begitu juga dengan aktiviti dalam komuniti secara fizikal tidak lagi dapat dilaksanakan serancak dahulu.

Namun keterbatasan PKP ini tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak mempraktiskan pembelajaran servis. Internet telah membawa dimensi baharu dalam kehidupan era norma Covid-19. Andai lautan menyatukan dua daratan, maka internet menyatukan sesama kita.

Sehubungan itu pembelajaran servis dalam komuniti dapat dilaksanakan secara maya.

Ini membawa kepada konsep e-Pembelajaran Servis (e-PS), iaitu perlaksanaan pembelajaran servis menggunakan platform maya seperti Google Meet dan juga Cisco Webex.

Baca juga Guru-guru patut tahu, ini cara mudah buat soalan peperiksaan

Baca juga UTeM bangunkan Sistem Fertigasi IoT bantu tingkatkan keberkesanan sistem pembajaan dan hasil tanaman sektor agromakanan negara

Antara kelebihan e-PS ini ialah ia dapat dilakukan pada bila-bila masa dan juga merentas lokaliti. Malah ia boleh dilakukan merentas sempadan bagi menzahirkan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi ke arah graduan global.

Bukan itu sahaja, e-PS turut boleh dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya atau menggunakan pendekatan hibrid dengan menggabungkan kaedah secara bersemuka dan dalam talian. Ia boleh dilakukan sama ada secara segerak (synchronous) atau tidak segerak (asynchronous).

Menerusi sesi tidak segerak, pelajar boleh merakamkan terlebih dahulu video kaedah penyelesaian terhadap sesuatu masalah dalam komuniti atau bagaimana untuk menambah baik sesuatu kelemahan dalam komuniti.

Ini disusuli dengan pihak komuniti melaksanakan apa yang telah disarankan, seterusnya disusuli dengan pemantauan yang rapi dan sistematik.

Dalam sesetengah kes, sesi segerak juga dilaksanakan bagi memperkukuhkan kekurangan sekiranya terdapat dalam sesi tidak segerak.

Apa pun, usaha ini akan menjadi lebih berjaya dengan penglibatan belia yang pada dasarnya mempunyai kemahiran menggunakan internet dan aplikasi digital.

Integrasi nasional merupakan inisiatif menyatupadukan ahli masyarakat berbilang kaum bagi mengukuhkan institusi komuniti.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Keluarga Malaysia

Konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sangat bertepatan pada ketika rakyat terpisah secara fizikal disebabkan pandemik Covid-19. Manakala e-PS menjadi platform penyampaian dan perlaksanaan program.

Menerusi e-PS, ahli dalam komuniti dan juga pelajar selaku penggerak dapat berganding bahu bersatu padu berusaha dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi atau sebarang usaha memperkasa komuniti. Perbezaan pendapat dan berlainan pandangan yang wujud perlu diraikan dalam suasana saling memahami dan menghormati.

Baca juga Sistem mata wang yang pernah digunakan di Malaysia 

Baca juga Bidang fesyen dan tekstil janji peluang cerah, pelajar perlu lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran

Dalam melaksanakan sesuatu program, selain daripada pelajar tentunya ia melibatkan ramai ahli komuniti daripada pelbagai kaum dan peringkat usia. Ketika aktiviti berjalan, berlakunya proses pemuafakatan yang dapat menyemai dan memupuk semangat kekitaan sebagai suatu Keluarga Malaysia.

Komitmen ketua komuniti dan ahlinya memastikan program dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna. Kemahiran teknologi internet dan ketersediaan infrastruktur jalur lebar sangat diperlukan bagi memastikan kejayaan e-PS.

Ini menunjukkan mengapa Pusat Internet Komuniti (PIK) yang berfungsi sebagai pusat sehenti pembelajaran secara online diperluaskan meliputi kawasan luar bandar.

Dengan adanya transformasi PIK akan dapat merancakkan lagi aktiviti e-PS yang mampu menyemarakkan lagi usaha membentuk Keluarga Malaysia.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Sesebuah komuniti majmuk bukan sekadar terdiri daripada tiga kaum utama di Malaysia dan juga kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak tetapi juga merentas kepelbagaian keturunan dan peringkat usia.

Kepelbagaian pengetahuan dan kemahiran asas mereka ini wajar digembleng secara holistik dan berganding bahu dalam usaha bersama memperkasa komuniti.

Golongan pelajar pengajian tinggi yang mempraktiskan e-PS menjadi nadi penggerak dan memantau program yang dijalankan. Dalam mendepani krisis pandemik, asas kemajmukan kaum berserta amalan e-PS menjadi teras kepada kemenjadian ‘Keluarga Malaysia’.

Maklumat Penulis

Prof Madya Dr Mohd Zolkifli Abd Hamid merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM, Skudai, Johor.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan