HomeKomunitiAlumni UK platform global hubungkan graduan luar negara

Alumni UK platform global hubungkan graduan luar negara

Berita baik buat graduan United Kingdom (UK) Malaysia, kini anda boleh mendaftar dengan portal Alumni UK yang bermatlamat menjadi salah satu rangkaian global terbesar di dunia untuk graduan luar negara.

Dilancarkan pada persidangan Going Global Asia Pasific 2022 di Marina Bay Sands, Singapura 28 November lalu, Alumni UK membolehkan individu mengembangkan rangkaian profesional mereka dengan rakan graduan UK di samping menawarkan kerjasama dalam menangani cabaran global.

Menurut Pengarah Pendidikan British Council, Maddalaine Ansell, setiap tahun UK akan menerima kira-kira 500,000 pelajar antarabangsa.

“Kami fikir ini (portal) akan menjadi platform hebat untuk mereka terus berhubung antara satu sama lain.

“Mereka datang ke UK untuk belajar dan kebiasaannya akan mengekalkan hubungan sesama alumni.

“Pada masa yang sama, kami berharap platform ini dapat menyediakan peluang latihan, pembangunan kerjaya dan membina rangkaian global atau tempatan dengan alumni dari negara lain yang belajar di UK,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British di Singapura, baru-baru ini. Alumni UK dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Singapura, Karen Owen.

Hadir sama, Pengarah Rantau Asia Timur British Council, Lucy Watkins; Pengarah Pendidikan Rantau Asia Timur British Council, Leighton Ernsberger dan Penaung Pendidikan Antarabangsa Kerajaan UK, Sir Steve Smith.

Tidak ketinggalan alumi pendidikan tinggi UK dari rantau Asia Pasifik, pengasas bersama ReadAble, Amanda Chong; Pengasas dan Pengarah Eksekutif Oceanswell, Asha de Vos dan Pengarah Hubungan Luar, KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI), Zaim Mohzani.

Tiada yuran dikenakan, semua alumni UK antarabangsa yang telah menghabiskan pembelajaran sekurang-kurangnya satu penggal di institusi pengajian tinggi termasuk pendidikan transnasional dan pembelajaran dalam talian dialu-alukan untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian alumni UK global.

Antara manfaat yang diperoleh alumni UK ialah mempunyai akses kepada pelbagai acara dan latihan dianjurkan oleh pemimpin kanan serta pakar industri di peringkat tempatan atau global. Mereka yang berminat untuk menyertai Alumni UK boleh berbuat demikian di laman sesawang https://alumniuk.britishcouncil.org/register.

Artikel berkaitan

Alumni MRSM jadi Pegawai Wanita TLDM pertama miliki kepakaran dalam bidang peluru dan letupan, mengagumkan!

Republik Hungary buka peluang biasiswa kepada pelajar

Alumni bakal kibar bendera UPM di puncak Everest


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok