pelajar malaysia uk
pelajar malaysia uk

Anak Malaysia raih markah tertinggi dalam tesis master bidang pesawat di United Kingdom

Rasyidah Zulkifi
15 Jul 2022 09:09am
A
A
A

Siapa sangka anak kelahiran Malaysia yang menyimpan impian untuk bergelar juruterbang ini berjaya mengharumkan nama negara dengan mencatatkan kejayaan di Cranfield University, United Kingdom (UK).

Mohd Azrul Arief Mohd Azmi, 25, memperoleh markah tertinggi iaitu 90 peratus bagi tesis individu berjudul ‘LH2 Liquid Hydrogen 200-passengers Ultra-Green Airliner: Aircraft and System Safety Assessment, and Design of Initial Airworthiness Targets’ di mana projek itu bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) pada 2050.

“Satu lagi pencapaian saya adalah dalam Projek Penyelidikan Individu (IRP) yang bertajuk ‘An Investigation into Methods to Assist Forced Water Landings for Conventional Aircraft - Making the 'Miracle on the Hudson' the Normal’,” katanya yang telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Reka Bentuk Kenderaan Aeroangkasa pengkhususan dalam Reka Bentuk Pesawat, akhir Jun lalu.

Selain itu, Mohd Azrul Arief juga mendapat hadiah ‘The Course Director's Prize for the best work in the field of Airframe Systems Design’ dan ‘The Course Director's Prize awarded for the best Group Design Project Individual Thesis’ di Cranfield University.

Menceritakan dengan lebih lanjut, kisah kejayaan pemuda yang mesra disapa Arief ini bermula kerana mempunyai minat mendalam dalam industri penerbangan.

“Namun, terpaksa dilupakan kerana saya mempunyai masalah rabun mata selain yuran untuk mengikuti jurusan tersebut agak mahal ketika itu.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya memilih untuk menyambung Diploma Kejuruteraan Teknologi dalam Penyelenggaraan Pesawat Terbang di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT).

“Kemudian, saya menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Penyelenggaraan dan Kelayakan Udara Pesawat di Universiti Limerick di Limerick, Ireland,” ujarnya yang memperoleh keputusan diploma dan sarjana muda dengan kepujian kelas pertama.

Walaupun sukar menyambung pengajian dalam jurusan penerbangan, namun anak kedua daripada tiga beradik itu menyahut cabaran tersebut.

“Tambahan lagi, keluarga mahupun saudara-mara saya tiada seorang pun yang terlibat dalam industri penerbangan.

“Ayah merupakan penjawat awam, manakala ibu pula bekerja dalam bidang berkaitan elektronik.

“Disebabkan minat, jadi saya perlu berusaha bersungguh-sungguh di samping saya sering menonton program dokumentari di televisyen mengenai nahas kapal terbang,” katanya.

Artikel berkaitan

Ilmu sepanjang hayat, pegawai penjara dapat tawaran sambung ‘Master’ dan PhD

Karya ‘Linangkit’ pelajar KV Keningau tersiar dalam majalah United Kingdom. Tahniah Anzenikha!

Aunee Azrina kuasai bahasa Jepun, Korea dan Mandarin. Anak Malaysia memang hebat!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan