Rasyidah Zulkifi
08 Jul 2022 04:00pm
A
A
A

Walaupun sudah mempunyai pekerjaan tetap, itu bukan bermakna seseorang perlu berhenti belajar kerana ilmu boleh dituntut sepanjang masa selagi berkemampuan. 

Contoh ini dapat dilihat pada 11 pegawai penjara yang menerima surat tawaran untuk menyambung pengajian sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) walaupun masih dalam perkhidmatan.

Surat tawaran tersebut disampaikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamad Said kepada tujuh kakitangan yang akan mengikuti program PhD dalam pengajian koreksional dan empat kakitangan yang akan mengikuti program sarjana.

Ismail berkata, program sebegini akan meningkatkan tahap pengetahuan mereka dalam bidang kerja sosial seiring dengan perkembangan Jabatan Penjara Malaysia.

“Sejak 2008, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) UUM telah bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk meningkatkan tahap profesionalisme pegawai sejajar dengan Pelan Transformasi Penjara.

"Ia melibatkan program Sains Koreksional bagi peringkat Diploma Siswazah Sains Koreksional, program Pensijilan Kerja Sosial, Koreksional dan Intervensi Parol. 

“Kerjasama itu dipertingkatkan lagi dengan program Sarjana Sains Koreksional yang melibatkan 23 orang pegawai pada tahun 2019,” ujarnya pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Timbalan Penguasa dan Inspektor Penjara Siri 1 Tahun 2022 dan Siri 1 Tahun 2020 di Kajang, Selangor.

Sejak jalinan kerjasama dimeterai hingga 2021, dianggarkan seramai 2,500 pegawai penjara telah menyambung pengajian di UUM.

Kira-kira 160 kakitangan sudah menamatkan pengajian di peringkat diploma, manakala 200 kakitangan lagi berjaya memperoleh sarjana masing-masing. 

Setiap program itu melibatkan 100 pegawai penjara yang mengikuti program pensijilan berkenaan untuk tempoh lima tahun. 

Turut hadir, Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah dan Dekan SAPSP, Profesor Madya Dr Md Zawawi Abu Bakar.

Artikel berkaitan

Yeoh Li Tian atlet muda berbakat, sasar Grand Master 

MQA lancar APEL.Q, perkasa pembelajaran sepanjang hayat 

Keputusan tawaran ke Tingkatan 6 diumum 7 Julai ini

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Berkaitan