Baik pulih bas Toyota Coaster 1980, hadiah istimewa daripada bekas pelajar STAR
Sudah menjadi kebiasaan bagi bekas pelajar untuk berbakti semula kepada sekolah serta guru-guru yang telah banyak berjasa dalam mendidik anak bangsa.
Selepas 20 tahun menamatkan zaman persekolahan, bekas pelajar Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2001, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak, telah bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan STAR Old Boys Weekend (STAR OBW).
STAR OBW merupakan satu program yang sudah menjadi tradisi kepada pelajar sekolah itu sejak 1978.
Mengangkat tema “Tunjukkan Kebaktianmu”, pelbagai program telah dirancang awal bagi menjayakan STAR OBW 2021 oleh persatuan bekas pelajar sekolah itu atau lebih dikenali sebagai STAR Old Boys Association (STAROBA).
Namun, mereka juga terkesan dengan pandemik Covid-19 yang telah melanda malah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan telah membantutkan perjalanan mereka dalam menjayakan program ini, baru-baru ini.
Wakil STAROBA, Fazrul Ikhwan Ahmad Fareed, berkata, pihaknya terpaksa membuat perubahan strategi untuk melaksanakan program STAR OBW 2021 dengan lebih unik dan bermakna.
[embed]https://www.youtube.com/watch?v=LOZEUXGSrR4&ab_channel=STAROBAChannel[/embed]
“Setelah berbincang dengan rakan-rakan yang lain, kami telah sebulat suara untuk menghidupkan kembali bas mini yang menjadi simbol ikonik kepada pelajar STAR iaitu Toyota Coaster 1980 (Coaster) yang telah rosak pada tahun 2018.
“Bagi pelajar STAR, bas ini telah menjadi sebahagian daripada diri mereka. Pelbagai jenis tempat sudah dibawa oleh bas tersebut dan dirasai oleh 38 kumpulan pelajar sejak 1980-an yang menyimpan banyak kenangan manis sehingga ke hari ini.
“Sekitar bulan Oktober 2019, Coaster yang berusia lebih 40 tahun ini telah ditunda dari STAR untuk di bawa ke salah satu bengkel di Subang, Selangor untuk kerja-kerja baik
pulih,” katanya ketika ditemu bual oleh Sinar Bestari.
Menurutnya, proses baik pulih ini akhirnya siap pada Januari 2022 dengan kos yang mencecah lebih RM80,000. Secara keseluruhannya proses baik pulih ini telah memakan masa yang sangat lama akibat PKP sekali gua menyebabkan bengkel tidak dapat beroperasi. Segala alat-alat gantian juga sukar untuk diperoleh apabila Covid-19 melanda.
“Tidak dinafikan, pelbagai ujian dan rintangan harus kami hadapi dalam menjayakan program ini. Alhamdulillah, dengan berkat doa dan usaha berterusan daripada semua rakan-rakan, akhirnya Coaster siap dibaik pulih,” jelasnya.
Coaster yang telah dinaik taraf ini akan dijadikan sebagai sumbangan daripada bekas pelajar SPM 2001 kepada STAR sebagai tanda penghargaan mereka terhadap sekolah itu. Coaster akan digunakan oleh sekolah untuk tujuan membawa pelajar ke tempat-tempat luar.
Fazrul berkata, pihaknya memanggil semula pemandu bas tersebut yang telah berkhidmat selama lebih 28 tahun di STAR untuk turut bersama-sama dalam “Coaster Road Tour” yang bermula dari bengkel di Subang menuju ke Ipoh dengan menggunakan jalan lama yang mana jarak perjalanannya dianggarkan sekitar 310 kilometer (km) dan mengambil masa selama 12 jam.
Coaster Road Tour ini turut diiringi oleh lapan unit kenderaan lain yang dilengkapi pelekat kenderaan STAR OBW 2021 dan walkie-talkie bagi memudahkan komunikasi.
Sepanjang perjalanan, mereka sempat melawat beberapa tempat yang menarik seperti Menara Condong di Teluk Intan, Sarang Art Hub, Tanjung Malim dan Marhaen Creamade, Behrang. Mereka tiba di Ok Homestay, Bercham dan melengkapkan “Coaster Road Tour yang istimewa dan amat bermakna buat bekas pelajar SPM 2001.
Fazrul juga meluahkan rasa lega apabila Coaster tersebut telah secara rasminya diberikan kepada STAR.
“Tidak dinafikan, projek baik pulih Toyota Coaster 1980 ini suatu projek yang mencabar, tambahan pula dengan PKP dan kejadian banjir yang berlaku di Lembah Klang pada Disember tahun lepas,” ujarnya.
Artikel berkaitan
(VIDEO) Guru bantu murid susah, hadiahkan barangan elektrik dapat perhatian warganet
Guru dihadiahkan Perodua Aruz sebagai tanda penghargaan menabur bakti selama 35 tahun
Kisah murid kelas hujung berebut bantu guru terseliuh kaki buat warga maya hampir menangis!