Bersungguh minta telekung putih, akhirnya ibu bapa tak sangka itu petanda ajal anak kesayangan
Bersungguh minta telekung putih, akhirnya ibu bapa tak sangka itu petanda ajal anak kesayangan

Bersungguh minta telekung putih, akhirnya ibu bapa tak sangka itu petanda ajal anak kesayangan

Roshlawaty Md Raieh
21 Jun 2022 01:21pm
A
A
A

“Arwah bersungguh-sungguh meminta kami memilih telekung berwarna putih bagi menggantikan cadangan saya yang mahu warna hitam atau emas.

“Kata arwah, jika kita meninggal dunia, tiada telekung putih untuk dipakai membalut tubuh sekiranya sudah menjadi jenazah nanti. Mahu atau tidak, saya penuhi juga permintaan arwah,” kata Dalila Abu Bakar, 49, ibu kepada graduan cemerlang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarhamah Nur Diyana Mohamad Fauzi yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman, 22 Disember tahun lalu.

Menurut Dalila, dia tidak menyangka permintaan itu adalah yang terakhir daripada arwah anak kesayangannya.

“Saya reda dengan pemergian Nur Diyana. Semoga roh allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya sebak.

Nur Diyana merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda, Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dengan kepujian di UPSI mengadu sesak nafas, batuk-batuk dan selesema sebelum meninggal dunia.

Bagaimanapun, setelah mendapatkan rawatan, allahyarham pulih seperti biasa dan mampu berjogging.

Namun, tidak lama selepas itu, kesihatannya semakin merosot, mengadu tidak larat berjalan dan dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman.

Pada Istiadat Konvokesyen ke-23 UPSI, baru-baru ini, Nur Diyana diumumkan sebagai penerima Anugerah Anumerta.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pro Canselor, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom kepada waris yang juga bapa kandung allahyarhamah, Mohamad Fauzi Megat, 54.

Anumerta bermaksud penganugerahan Diploma atau Sarjana Muda kepada pelajar yang meninggal dunia semasa dalam pengajian dan layak dianugerahkan ijazah bagi program yang didaftarkan tertakluk kepada kelulusan Senat.

Anak yang baik

Berbicara mengenai peribadi anak kedua daripada tiga adik beradik ini, Mohamad Fauzi berkata, arwah seorang anak yang baik dan suka pada persaingan serta sering mencabar diri mengikut rentak persekitaran sekeliling.

“Bertugas sebagai penjawat awam beruniform dan hidup berpindah randah merupakan satu kebiasaan buat kami sekeluarga.

“Saya masih ingat, ketika arwah masih remaja, kami berpindah ke Lembah Klang atas tuntutan kerja setelah sekian lama tinggal di sebuah daerah utara tanahair.

“Apabila berpindah, suasana pembelajaran berbeza. Jadi arwah bersungguh-sungguh belajar kerana tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran. Alhamdullilah rezeki dia, dapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa tahun lalu,” katanya sebak

Menurut Mohamad Fouzi lagi, selepas tamat SPM, Nur Diyana menyambung pengajian dalam bidang sains di Kolej Matrikulasi Pengkalan Balak, Melaka dan mencapai keputusan yang membanggakan dengan pencapaian pointer 4.00 selama dua tahun berturut-turut.

Sementara itu, Dalila memberitahu yang arwah cukup pandai mengambil hati keluarga dan seorang yang berdikari.

“Pemergian allahyarhamah amat memilukan hati kami sekeluarga. Sepanjang hayatnya dia tidak pernah membebankan kami dengan meminta duit belanja.

“Setiap kali tiba cuti sekolah ataupun semester, dia akan buat kerja sambilan dengan mengambil upah bekerja di pusat asuhan kanak-kanak mahupun berjaja makanan atau pakaian,” katanya sedih.

Menurut Dalila lagi, sungguhpun mendapat keputusan cemerlang dalam bidang sains, jiwa anaknya yang penuh dengan ihsan terhadap anak-anak kecil dan suka membantu rakan-rakan sebayanya yang berdepan konflik kehidupan, mendorong dia mendalami jurusan bimbingan kaunseling.

“Dia pernah membantu rakan sebaya yang berhadapan masalah sosial agak serius hingga kemelut konflik terlerai dengan baik.

“Tambahan pula, arwah mendapat dorongan daripada guru kaunseling dan ini membuatkan Nur Diyana tidak menoleh kebelakang sebaliknya terus menyambung pengajian yang diminatinya di UPSI,” ujarnya.

Beritahu ibu arwah lagi, Nur Diyana cukup pandai memasak. Pelbagai resepi biskut telah dicubanya malah setiap kali tiba hari lebaran, arwah akan menyiapkan juadah rendang daging campur Jawa yang dipelajarinya sendiri hingga menjadi buah mulut setiap tetamu yang datang berkunjung ke rumah mereka.

Seterusnya, Dalila berkata, walaupun arwah masih muda, dia sangat menjaga silaturahim dengan sesiapa saja.

Tidak berdendam walaupun ada orang pernah melakukan khianat padanya, sebaliknya arwah pula menghulurkan tangan persahabatan dan berkawan baik hingga ke akhirnya,

“Setiap kali ada ahli keluarga ditimpa musibah seperti berdepan masalah kesihatan, Nur Diyana akan menawarkan diri untuk menjadi penjaga.

“Saya masih ingat lagi, ketika saya perlu menjalani pembedahan di hospital 3 Disember lalu, arwahlah yang menggalas tanggunggjawab membawa saya ulang alik ke hospital bagi rawatan mencuci luka setiap hari,” ujarnya.

Disenangi rakan-rakan

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI, Profesor Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim menyifatkan arwah seorang mahasiswi yang aktif sebagai ahli jawatankuasa dalam pelbagai persatuan pelajar.

Antaranya, aktif dalam Persatuan Bimbingan dan Kaunseling UPSI (KASIH) dan sering memberi sumbangan terhadap aktiviti berkaitan pelajar.

“Saya juga mendapat maklumat daripada rakan-rakan tenaga pengajar yang juga pensyarahnya bahawa arwah pandai seimbangkan masa dalam akademik dan juga aktiviti kokurikulum.

“Buktinya hari ini, keputusan arwah cukup cemerlang dengan pointer 3.86,” ujarnya dengan menambah arwah amat menjaga hubungannya dengan rakan-rakan sekampus dan menyifatkan kehilangannya sangat dirasai oleh semua warga universiti.

Artikel berkaitan 

Bantu ibu berniaga sewaktu balik sekolah, pelajar ini tetap peroleh keputusan SPM yang membanggakan

Pejuang kanser, Junita akhirnya berjaya genggam PhD

Tetap disayangi ramai walau berperangai pelik. Itulah istimewanya Cikgu Zul! 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan