happy-family-silhouette-sunset
happy-family-silhouette-sunset

“Cikgu, anak saya demam tapi tak cukup duit nak hantar ke klinik”, guru kongsi kisah pengorbanan ibu bapa membesarkan anak

Adlan Farhan Azwan
01 Jul 2022 09:32am
A
A
A

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Mana-mana ibu bapa dalam dunia ini pasti sanggup melakukan apa sahaja demi anak.

Asalkan anak dapat membesar dengan baik, ibu bapa sanggup berkorban nyawa, masa, tenaga dan wang.

Kita sendiri boleh lihat ramai ibu bapa yang sanggup melakukan dua atau tiga kerja supaya anak dapat ke sekolah untuk belajar tanpa memikirkan kesihatan diri sendiri.

Sehubungan itu, Sinar Bestari tertarik dengan satu hantaran oleh guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor, Muhammad Yusof di laman Facebook yang membuat perkongsian mengenai ibu kepada salah seorang pelajar di sekolahnya tidak mencukupi wang untuk menghantar anak ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

Ikuti perkongsian tersebut di bawah.

*

Kebetulan minggu ini pelajar asrama pulang bermalam dan hari ini sepatutnya mereka kena pulang ke asrama, tetapi ada ibu pelajar asrama mesej saya, “cikgu, anak saya demam”.

Saya balas untuk memberitahu prosedur supaya anaknya boleh dapatkan rawatan dan surat medical certificate (MC).

Lama dia lihat mesej saya. Sejam selepas itu, ibu tersebut mesej saya semula. “Cikgu, bolehkah saya tulis surat rasmi sahaja sebab gaji saya lambat lagi. Saya cuba korek sana sini, tapi tinggal cukup untuk makan sahaja cikgu”.

Apabila dapat mesej tersebut, terus saya rasa bersalah. Kebetulan saya baru gaji, terus saya mesej untuk minta nombor akaun bank supaya dia boleh hantar anaknya ke klinik.

Dia membalas “terima kasih banyak cikgu, malu sebenarnya untuk cerita dekat cikgu tetapi sebab hendak bagi anak sihat sahaja. Apabila sudah gaji, cikgu bagi nombor akaun bank, saya bayar”. Saya jawab tidak mengapa puan, moga anak puan cepat sembuh.

Itulah, saya selalu pesan pada pelajar-pelajar sekolah saya supaya ingatlah jasa mak ayah mereka.

Belajar bersungguh-sungguh. Janganlah buat benda pelik-pelik yang boleh memalukan mak ayah. Kalaulah anak-anak tahu bagaimana susahnya mak ayah mencari duit, rasanya tidak akan ada yang akan keluarkan ‘content’ pelik-pelik. Sebagai contoh, dapat 9G dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bangga sehingga tular seluruh Malaysia.

Pada saya, kegagalan bukanlah sesuatu untuk dibanggakan. Balaslah jasa mak ayah dengan sesuatu yang betul-betul membanggakan mereka. Membanggakan ibu bapa bermaksud kita bahagiakan mereka. Bahagiakan perasaan mereka. Bahagiakan kehidupan mereka sebaik mungkin sekiranya anak sudah ada sedikit kemampuan. Saya rasa pesanan ini relevan untuk semua anak-anak kita.

Kadang kala mereka nampak senang sahaja mak ayah hulur duit kepada mereka, tetapi di sebaliknya, mereka tidak tahu macam mana peritnya mak ayah kerja pagi sampai malam untuk dapatkan sesuap nasi. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sumber: Facebook Muhammad Yusof

Artikel berkaitan

Sekeping nota kecil ditampal di pintu stor sekolah, khas untuk tukang kebun. Ramai sebak dan terharu

Pengorbanan seorang abang, sanggup berhenti sekolah demi adik

Bersungguh minta telekung putih, akhirnya ibu bapa tak sangka itu petanda ajal anak kesayangan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan