Dokumentari Sejarah alternatif pendidikan hari ini
Dokumentari Sejarah alternatif pendidikan hari ini

Dokumentari Sejarah alternatif pendidikan hari ini

webadmin
20 Sep 2022 09:09am
A
A
A

Fenomena Mat Kilau jelas menggambarkan bagaimana filem cereka mampu mencetuskan suatu aliran kesedaran tentang Sejarah dalam kalangan masyarakat umum.

Pendekatan filem cereka kebiasaannya mengisahkan peristiwa secara fiksyen dengan bantuan unsur-unsur sinematik dan teknik videografi yang mengujakan.

Penghasilan filem cereka sebegini sebenarnya berpotensi menjadi bahan pembelajaran alternatif untuk tujuan pendidikan tidak formal dan ada ketikanya juga pendidikan formal.

Namun, bimbingan adalah diperlukan bagi menjelaskan komponen-komponen fiksyen dan ubah suai sekiranya ia hendak dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan formal.

Pendekatan filem dokumentari sebenarnya lebih sesuai diterokai sekiranya ingin dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan formal.

Dari sudut kos, penghasilan filem dokumentari adalah jauh lebih rendah berbanding penghasilan filem cereka.

Dengan itu, lebih banyak filem dokumentari pendidikan sepatutnya berpotensi dihasilkan oleh pemain industri kreatif.

Dengan pendekatan penghasilan yang kreatif dan menarik, filem dokumentari juga boleh berperanan seumpama filem cereka iaitu di samping mendidik ia mempunyai nilai hiburan dan komersial.

Aspek hiburan penting bagi mengekalkan minat penonton manakala aspek komersial pula penting bagi kelestarian industri kreatif yang terlibat.

Secara khusus, genre filem dokumentari adalah berbeza dengan genre filem cereka di mana, walaupun kisah filem cereka diilhamkan dari peristiwa sebenar, penerbit mempunyai kebebasan kreatif untuk menambah watak dan situasi fiksyen bagi tujuan hiburan dan komersial.

Sebaliknya, filem dokumentari adalah perwakilan tepat dan sebenar akan peristiwa, situasi dan tokoh. Kebiasaannya, filem dokumentari menggunakan watak atau karakter serta persekitaran sebenar. Namun, bagi pengkisahan sejarah lampau, pelakon dan set persekitaran buatan sering digunakan. Ada ketikanya juga grafik dan animasi digunakan sebagai perwakilan watak dan situasi sebenar.

Hakikatnya, terdapat sebilangan kajian yang membuktikan keberkesanan filem dokumentari terhadap pendidikan, khususnya pembelajaran Sejarah.

Filem dokumentari berupaya mengaktifkan kedua-dua saluran visual dan verbal memori untuk pembelajaran berkesan iaitu dengan membawa pelajar melihat dan merasai secara lebih realistik peristiwa, keadaan atau situasi di masa lampau.

Seterusnya, dengan penceritaan atau naratif yang kreatif, menarik dan bermakna, filem dokumentari berupaya membantu penonton menganalisis dan membina pemikiran kritikal terhadap sesuatu kisah sejarah yang disampaikan secara visual. Perkara ini adalah agak rumit dicapai dengan pendekatan buku teks dan kuliah.

Sebagaimana penghasilan filem cereka, penghasilan filem dokumentari juga harus dilakukan dengan sangat tersusun dan teliti.

Bagi filem dokumentari, aspek kesahihan, ketepatan dan kedalaman maklumat adalah sangat penting.

Untuk itu, komponen penyelidikan merupakan suatu keperluan bagi penghasilan filem dokumentari yang berkualiti. Industri kreatif sebenarnya boleh bekerjasama dengan universiti bagi tujuan tersebut.

Aspek berikutnya yang perlu diberikan penekanan dalam penghasilan filem dokumentari ialah penceritaan. Penceritaan yang mempersona dengan huraian yang jelas dan mendalam adalah penting bagi memastikan kejayaan sesuatu filem dokumentari.

Tidak dinafikan, aspek videografi juga memainkan peranan penting dalam penghasilan filem dokumentari yang menarik. Namun, ia tidaklah sepenting sebagaimana untuk penghasilan filem cereka.

Secara kesimpulan, filem dokumentari sangat berpotensi membina masyarakat berilmu. Ia merupakan medium terbaik bagi menyampaikan mesej sosial kepada masyarakat secara ilmiah.

Melazimi menonton filem dokumentari akan menjadikan generasi muda lebih cakna akan budaya dan sejarah.

Oleh itu, usaha harus berterusan dilakukan untuk mencetuskan minat masyarakat terhadap filem dokumentari, khususnya generasi muda.

Terdapat banyak cerita dan kisah lampau serta semasa yang boleh didokumentarikan. Kita sebenarnya masih kekurangan kandungan kisah sejarah tempatan, khususnya dalam Bahasa Melayu. Hal ini merupakan lompong yang boleh diterokai oleh industri kreatif tempatan.

Dalam era digitalisasi dan media sosial kini, industri kreatif tidak seharusnya mengehadkan terbitan filem dokumentari untuk pasaran stesen televisyen dan pawagam.

Pemain industri kreatif boleh menerokai potensi pasaran di media sosial dan juga internet sekiranya menepati standard yang ditetapkan.

Seterusnya, bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak filem dokumentari tempatan, pelbagai inisiatif seperti geran, anugerah dan sebagainya boleh diberi kepada industri kreatif tempatan yang ingin menerokai bidang ini.

Maklumat Penulis

Profesor Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali - Profesor di Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Artikel berkaitan 

Bahana mengejar KPI, kompetensi dan profesionalisme pensyarah terjejas

Lestarikan tulisan jawi melalui ilmu falak dan STEM

Penerapan STEM di peringkat universiti, apa kesannya?


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan