Dr Amalina dedah rahsia cemerlang raih 17A1 SPM 2004
Dr Amalina dedah rahsia cemerlang raih 17A1 SPM 2004

Dr Amalina dedah rahsia cemerlang raih 17A1 SPM 2004

Roshlawaty Md Raieh
26 Jan 2023 05:52pm
A
A
A

DR AMALINA Bakri atau nama penuhnya, Nur Amalina Che Bakri sebaris nama yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat setempat.

Namanya mula menjadi bualan dan mencuri perhatian ramai apabila berjaya mencapai keputusan cemerlang 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2004.

Dek pencapaian membanggakan itu, ramai pelajar mula memasang impian mahu menjadi seperti Dr Amalina yang kini seorang Pakar Bedah di London.

Cuma untuk menjadi seperti beliau, sudah semestinya ada pengorbanan amalan yang perlu dilakukan.

Untuk itu, dalam usaha membantu para pelajar yang ingin berjaya seperti Dr Amalina, Sinar Bestari dedahkan beberapa rahsia kejayaan pelajar pintar ini seperti dikongsinya menerusi laman sosialnya, baru-baru ini.

Mari baca perkongsian tersebut!

*****

Dr Amalina menjadikan belajar itu sebagai aktiviti yang menyeronokkan dan dengan cara tersebut menyebabkan dia mudah mengulang kaji apa jua mata pelajaran.

Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, beliau tidak memaksa diri untuk mengingati sesuatu fakta dalam setiap subjek.

“Saya belajar seperti biasa dan menganggap ulang kaji itu sebagai aktiviti yang sangat menarik.

“Bila menarik saya jadi tidak letih untuk belajar walaupun perlu menghabiskan masa yang panjang untuk menelaah,” ujarnya.

Sambung Dr Amalina lagi, daripada 10 subjek yang dipelajari di sekolah, hanya mata pelajaran Prinsip Akaun sahaja yang dipelajari di pusat tuisyen (sebagai tambahan).

“Yang lain-lain, saya belajar sendiri di rumah. Jika tidak faham, saya akan berjumpa dengan guru dan meminta bantuan mereka,” jelasnya lagi.

Bagi pelajar yang mungkin sukar untuk mengingati nota dan formula, anda boleh ikuti tip yang Dr Amalina kongsi ini.

1) Buat nota ringkas.

2) Lukis peta minda apabila mengulang kaji dan mempelajari tajuk baru.

3) Wujudkan kata kunci.

4) Buat banyak latihan berhubung sesuatu formula hingga terbiasa.

5) Buat latih tubi supaya lama-kelamaan mudah untuk mengingati.

6) Ulang kaji di rumah secara berterusan.

Selain itu, Dr Amalina juga memberi tip untuk menguatkan ingatan selepas ulang kaji.

1) Tumpukan perhatian sepenuhnya di dalam kelas.

2) Sentiasa berfikiran positif.

3) Fikir perkara berfaedah sahaja.

4) Elak berfikir perkara yang memesong dan merosakkan minda.

5) Elak makan makanan yang mengandungi banyak bahan kimia seperti makanan ringan dan makanan segera.

6) Jangan minum minuman bergas.

Dengan perkongsian rahsia kejayaan Dr Amalina ini, Sinar Bestari berharap adik-adik di luar sana akan berjaya dalam pelajaran seterusnya mencapai segala impian, insya-ALLAH.

INFO

Biodata Dr Amalina

1) Nama sebenar Nur Amalina Che Bakri. Lebih dikenali sebagai Dr Amalina atau Amalina Bakri.

2) Lahir pada 7 Disember 1987 di Kota Bharu, Kelantan, namun membesar di Johor Bahru, Johor.

3) Anak tunggal pasangan Che Bakri Che Mod yang berkhidmat sebagai jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Sabariah Hassan (seorang pengetua sekolah).

4) Namanya mencuri perhatian selepas mencipta sejarah dengan pencapaian keputusan 17A1 dalam SPM pada 2004.

5) Memulakan kerjaya sebagai doktor selepas tamat pengajian di University of Edinburgh pada Julai 2013.

Pencapaian Dr Amalina

1) A-Level di The Cheitenham Ladies’ College, England dari 2005 hingga 2007.

2) Menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBChB) di Universiti Edinburgh, Scotland dari 2007 hingga 2013.

3) Menuntut di Universiti Edinburgh, Scotland dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (BMedSc) Farmakologi dari 2009 hingga 2010.

4) Mengikuti Program Amgen European Scholars yang melibatkan kajian dalam bidang Farmakologi di Institut Karolinska, Sweden dari 2009 hingga 2010.

5) Bertugas sebagai doktor pelatih bagi program Surgikal Onkologi dan Genekologi di Sekolah erubatan Harvard, Universiti Harvard di Amerika Syarikat dari 2012 hingga 2013.

6) Memburu Ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang Penterjemah Perubatan dan Terapeutik di Universiti Cambridge dari 2013 hingga 2015.

7) Sebelum ini, beliau menuntut dalam bidang pengajian Doktor Falsafah (PhD), selain berkhidmat sebagai Pendaftar Pembedahan Umum di Penjagaan Kesihatan Kolej Imperial, London selepas tamatnya pengajian Ijazah Sarjana Penterjemah Perubatan dan Terapeutik di Universiti Cambridge.

Artikel berkaitan 

Norasmah Tokoh TVET POLIMAS

Biodata ringkas 25 nabi untuk rujukan pelajar

Hebatnya model pengajaran Ibnu Khaldun, cikgu-cikgu boleh tiru cara ini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan