WhatsApp Image 2022-04-11 at 12.41.18 PM
WhatsApp Image 2022-04-11 at 12.41.18 PM

Guru kongsi pengalaman mengajar murid autisme, galakkan mereka ditempatkan di PPKI

Adlan Farhan Azwan
11 Apr 2022 12:49pm
A
A
A

Penubuhan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) adalah bagi mendidik kanak-kanak tidak mencapai pertumbuhan dari segi intelek, fizikal, sosial atau emosi yang mengakibatkan mereka tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada silibus sekolah harian.

Kanak-kanak ini seharusnya diberikan perhatian yang lebih kerana kebanyakan daripada mereka tidak mampu untuk mengikuti pembelajaran tradisional di dalam kelas seperti rakan-rakan sebaya yang lain.

Ia menjadi satu ‘masalah’ kepada anak-anak istimewa ini apabila terdapat ibu bapa yang enggan mendaftarkan anak mereka ke PPKI dan sebaliknya memaksa untuk belajar di sekolah harian.

Baca juga

(VIDEO) Bantu kemaskan barang rakan OKU sebelum balik sekolah, cikgu terharu peribadi unggul murid

Tilawah Amal Maya: Covid-19 tidak halang anak istimewa/autisme buktikan keupayaan luar biasa

Guru-guru terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat oleh ibu bapa dan hanya boleh melakukan yang terbaik bagi memastikan masa depan anak-anak ini terjamin.

Sinar Bestari ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi dengan pembaca tentang satu hantaran daripada Cikgu Zahran menerusi laman Facebook.

Dalam hantaran tersebut, beliau telah menceritakan pengalamannya sebagai seorang guru yang mengajar anak murid autisme.

Ikuti perkongsian beliau di bawah

*

Sejujurnya aku tidak memahami autisme. Sekadar mendapatkan maklumat melalui pembacaan dan bertanya rakan-rakan. Yang aku tahu cuma anak-anak autisme ini hidup dalam dunia mereka.

Murid ini aku tidak pasti tahapnya. Kata guru kelasnya "mild autisme". Tulisannya besar seakan saiz penumbuk. Sudah puas aku tegur sebelum ini sebab aku pun tidak tahu dia autisme.

Aku suruh dia tulis ABC balik ikut kotak. Tulis nombor balik dalam kotak macam murid darjah satu. Aku ingat dia memang jenis macam itu. Mulanya ok, masuk minggu depan kembali kepada asal.

Murid ini dalam kelas normal. Pada pandangan aku, tidak sesuai kerana kami ada banyak kelas PPKI dan guru yang terlatih. Bukan tidak boleh, tetapi jika dia berada di dalam kelas PPKI, lebih banyak perhatian dapat diberikan oleh guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

Apabila berada bersama kelas normal, jelas sekali dia keseorangan. Tertinggal makin jauh.

Sebelum aku tahu dia autisme, aku pernah tinggikan suara, menggeletar seluruh tubuh dia bila aku marah .Aku jadi terkejut sebentar. Maaf, aku tidak tahu dia autisme dan aku tiada kepakaran mengurus anak autisme. Aku cuma cikgu biasa.

Perasaan sayu bila melihat dia keseorangan. Kanak-kanak normal bukan tidak mahu berkawan. Tetapi mereka tidak dapat memahami dia. Dia cuba bermain, malah dia mampu menghafal sifir seperti yang aku suruh. Aku yakin dia ada kebolehan tersendiri.

Cuma aku berharap jika ibu bapa ditakdirkan mempunyai anak autisme, setelah disahkan pakar perubatan, usah malu untuk letakkan mereka di kelas PPKI. Di sana, mereka akan dilatih, dibantu dan diajar mengikut tahap kemahiran.

Jika ibu bapa bertegas mahu mereka bersama kanak kanak normal, mereka makin terpinggir. Malah, banyak kelebihan untuk mereka berbanding murid normal.

Pernah kami berhadapan dengan ibu bapa yang tetap bertegas tidak mahu anaknya diletakkan dikelas PPKI.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Kita tidak punya kuasa jika ibu bapa berkeras. Padahal dari mata kasar kita sudah tahu bahawa anak tersebut tidak mampu berkomunikasi dengan normal malah mengikat tali kasut pun tidak mampu dan terketar-ketar. Akhirnya, kita turutkan sahaja kehendak ibu bapa itu walaupun satu kerugian besar buat dia.

Anak autisme ini bukan satu beban tetapi satu anugerah.

Maafkan aku kerana tidak mampu membantu

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan