Guru Sains nasihat semak label sebelum beli produk kesihatan
Guru Sains nasihat semak label sebelum beli produk kesihatan

Guru Sains nasihat semak label sebelum beli produk kesihatan

Roshlawaty Md Raieh
29 Nov 2022 04:42pm
A
A
A

Baru-baru ini, guru subjek Sains, Cikgu Mohd Azhar telah memuat naik satu rakaman video di blognya berkenaan topik Produk Kesihatan (Bahan Aktif).

Dalam topik mata pelajaran Sains Tingkatan Empat Bab 10 itu, ia berkisar tentang lambakan produk kesihatan yang dihasilkan sekali gus dijual pada harga tertentu di pasaran.

Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian Cikgu Mohd Azhar yang memberi informasi lengkap berkaitan produk berkenaan.

Beliau berkata, gaya hidup masyarakat hari ini yang sibuk bekerja dan tidak mengamalkan pemakanan seimbang menyebabkan produk kesihatan di pasaran menjadi pilihan demi menjamin kesihatan masing-masing.

Menurut Cikgu Mohd Azhar yang kini bertugas di Kuala Kangsar, Perak, pengambilan produk kesihatan itu adalah bertujuan mengekalkan kesihatan badan, untuk penyembuhan dan pencegahan penyakit.

Selain itu, pemilihan produk yang baik dapat menjamin tumbesaran normal dan meningkatkan daya pencegahan penyakit. Sebagai contoh, pengambilan multivitamin bersesuaian dapat meningkatkan proses tumbesaran kanak-kanak.

Bagaimanapun kata beliau, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh pengguna terutamanya guru dan pelajar berkenaan pengambilan kumpulan produk ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut, jom ikuti apa kata Cikgu Mohd Azhar seperti dipetik menerusi rakaman video di blog, cikguazhar.com

Kredit foto: Unsplash.

*****

Saya akui yang produk kesihatan terlalu banyak di pasaran malah ada sebahagian daripadanya berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan ada yang tidak.

Sebagai guru Sains, saya melihat pengambilan produk ini memang tiada masalah cuma dinasihatkan agar pengguna memastikan yang produk itu berdaftar dengan KKM atau pun tidak.

Selain itu, pengguna disarankan agar membaca terlebih dahulu mengenai kandungan yang terdapat di dalam produk berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian, semua produk kesihatan sama ada dalam bentuk pil, serbuk atau losen mengandungi bahan aktif yang memainkan peranan dalam memberikan kesan kepada pengguna produk.

Apakah maksud bahan aktif?

Bahan aktif ialah komponen tertentu di dalam sesuatu produk yang mempunyai kesan kepada penyembuhan atau pencegahan penyakit.

Ia akan memberikan kesan atau tujuan yang sama walaupun digunakan dalam produk dengan jenama berbeza.

Kadangkala dua atau lebih bahan aktif tidak boleh digunakan serentak kerana boleh bertindak balas dan menghasilkan kemudaratan kepada kesihatan.

Oleh itu, besar harapan saya agar guru, pelajar dan orang ramai berhati-hati dalam memilih produk kesihatan yang sesuai.

Dapatkan nasihat doktor perubatan dan sentiasa menyemak label terlebih dahulu sebelum membeli atau menggunakan sebarang produk kesihatan bagi mengelak kesan tidak diingini berlaku.

Artikel berkaitan 

7 panduan menjadi seorang ahli farmasi yang berjaya

Herba tempatan Sabah jadi ramuan penyelidik hasilkan produk organik

7 kriteria pemarkahan inovasi atau produk yang perlu guru ambil tahu. Penting!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan