WhatsApp Image 2022-11-30 at 1.39.34 PM
WhatsApp Image 2022-11-30 at 1.39.34 PM

Guru sebak terima anugerah sempena Hadiah Sastera Perdana Malaysia

Adlan Farhan Azwan
30 Nov 2022 01:41pm
A
A
A

Menjadi kebanggaan buat warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak apabila guru Bahasa Melayu mereka, Cikgu Ahmad Safarman Dollah menjadi antara penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Menurutnya, beliau tidak menyangka karya cerpen Mengusung Rumah yang pernah disiarkan dalam majalah Dewan Siswa terbitan DBP pada bulan Mac 2020 berjaya mendapat perhatian sehingga melayakkan beliau menjadi penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof kepada Cikgu Ahmad Safarman.

“Saya terkejut dan tidak menjangkakan kemenangan ini berpihak kepada saya memandangkan nama-nama yang tersenarai adalah mereka yang mempunyai sumbangan serta jasa yang luar biasa dalam bidang sastera negara.

“Di samping itu, kejayaan ini juga menyaksikan cerpen Mengusung Rumah akan dijadikan sebuah novel yang bakal muncul tidak lama lagi bersama penerbit DBP.

“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada panel-panel yang terlibat dan saya berharap dapat terus berkarya serta memberikan sumbangan kepada perkembangan bahasa dan persuratan Melayu,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Cikgu Ahmad Safarman juga berkata, kejayaan ini adalah pengalaman baharu buatnya kerana berkesempatan untuk bertemu dengan para penggiat sastera.

“Saya amat berbesar hati dapat menghadiri majlis ini yang dilihat mampu meningkatkan daya saing antara penulis untuk menghasilkan karya sastera dalam Bahasa Melayu yang bermutu tinggi.

“Saya akan terus menulis terutama dalam bidang puisi, cerpen dan novel kerana kemenangan ini sememangnya telah memberi galakan dan suntikan semangat kepada saya untuk menghasilkan karya bermutu, kreatif serta memberikan manfaat kepada negara bangsa,” jelasnya.

Mula diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, HSPM merupakan pengiktirafan tertinggi sastera kebangsaan.

Ia ditubuhkan bagi memberi pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada para penulis yang menghasilkan karya bermutu dalam Bahasa Melayu dan menggalakkan penerbit menerbitkan karya-karya sastera.

Aspek yang dipertimbangkan ialah kekuatan dan keaslian persoalan, keseimbangan estetika bahasa, keindahan moral dan nilai kreativiti.

Seterusnya, HSPM ini memberikan suntikan yang tidak ternilai kepada perkembangan kesusasteraan Melayu tanah air.

Kelahiran penulis dan karya dalam pelbagai genre memperlihatkan peningkatan kuantiti serta kualiti penghasilan karya kreatif dan bukan kreatif sekali gus menyemarakkan lagi perkembangan dunia sastera Malaysia.

Artikel berkaitan

Anugerah Naib Canselor Sesi Akademik 2021/2022 UKM milik John Sebastian

Terima Guru Anugerah Ikon Pendidikan Digital, Cikgu Fazli mahu terus bantu pelajar

Berperanan membentuk masa depan negara, 4 guru dianugerahkan Tokoh Guru peringkat Daerah Klang


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan