Hadif harumkan nama negara dalam Muay Thai, impi jadi peninju profesional
Hadif harumkan nama negara dalam Muay Thai, impi jadi peninju profesional

Hadif harumkan nama negara dalam Muay Thai, impi jadi peninju profesional

Roshlawaty Md Raieh
22 Sep 2022 09:41am
A
A
A

Murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Serendah, Selangor, Hadif Iskandar Hairul Anuar mengharumkan nama negara apabila merangkul pingat perak dalam Pertandingan 2022 Youth World Championships di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pencapaian membanggakan itu secara tidak langsung membuktikan bahawa murid Malaysia memang handal dan hebat dalam apa jua pertandingan yang disertai.

Berkongsi dengan Sinar Bestari, Guru Besar SK Serendah, Zulhisham Nasir berkata, kejayaan Hadif sangat luar biasa dan warga sekolah cukup gembira dengan pencapaian anak murid ini.

“Saya tahu Hadif sudah melakukan yang terbaik dalam Pertandingan 2022 Youth World Championships ini.

“Jadi, kejayaan ini adalah hasil usaha keras dan latihan yang dilakukan olehnya. Tahniah!,” kata Cikgu Zulhisham yang mengharapkan agar Hadif terus melakar kejayaan dan bijak membahagikan masa antara akademik dan sukan selepas ini.

Sementara itu, Guru Pembimbing Hadif iaitu Cikgu Noraini Hairuddin Nor Aini berkata, anak muridnya itu sememangnya cemerlang dalam sukan Muay Thai sejak dari dulu lagi.

“Memang dia minat dengan sukan ini. Sebab itu, dia sentiasa lakukan yang terbaik ketika latihan atau penyertaan dalam pertandingan.

“Tahap prestasi akademik Hadif juga sangat bagus. Dia selalu dipuji guru dan rakan-rakan kerana kecemerlangannya itu. Sebagai guru, saya akan sentiasa mendoakan perjalanan hidup Hadif sentiasa dipermudahkan,” ujarnya.

Selain merangkul pingat perak dalam pertandingan itu, Hadif juga pernah muncul naib johan kategori 12 hingga 13 tahun bawah 55 kilogram dalam beberapa kejohanan seperti Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022; Kejohanan Muay Thai Elit Senior dan Junior Kebangsaan 2022 serta Muay Thai 4TH National Interclubs Championships 2022.

Hadif juga pernah meraih beberapa anugerah dalam sukan ragbi iaitu naib johan Cup Kejohanan Ragbi Negeri 2022 dan Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Daerah 2022.

Minat sejak kecil

Hadif dilahirkan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, Negeri Sembilan dan merupakan anak tunggal kepada Hairul Anuar Abdullah dan Muzliati Ahmad Murad.

Ayahnya, Hairul Anuar merupakan seorang bekas tentera yang sangat aktif dalam sukan seni bela diri seperti Muay Thai, tinju dan kickboxing.

Maka tidak hairanlah, mengapa Hadif turut meminati sukan lasak ini sejak dari kecil.

Menurut Hadif, pelbagai cabaran yang perlu dia lalui sepanjang aktif dalam sukan Muay Thai.

Antaranya, Hadif perlu mengikuti jadual latihan yang telah ditetapkan oleh jurulatih, harus menjaga pemakanan dan sebagainya.

Bagaimanapun, cabaran tersebut tidak sedikit pun mematahkan semangat Hadif untuk terus serius dalam sukan yang diminatinya itu.

“Saya akan tetap aktif dalam sukan ini walaupun pelbagai cabaran yang harus dihadapi. Mohon doakan saya agar berjaya menjadi peninju Muay Thai Malaysia yang terkenal suatu hari nanti,” katanya yang bakal menyertai Kejohanan Ragbi Kebangsaan Wawasan pada Oktober ini dan Kejohanan Muay Thai Kebangsaan Januari 2023.

Artikel berkaitan 

Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian

Kerana populariti sukan frisbee, kumpulan pelajar UKM sepakat anjur UFUC 2022

Aktiviti ‘tobibako’ dari Jepun mampu bentuk sahsiah dan jati diri murid sekolah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan