murid-jepun-aktiviti-tobibako
murid-jepun-aktiviti-tobibako

Aktiviti ‘tobibako’ dari Jepun mampu bentuk sahsiah dan jati diri murid sekolah

Adlan Farhan Azwan
07 Jul 2022 08:59am
A
A
A

Selain menimba ilmu pengetahuan, sekolah juga berperanan sebagai tempat untuk pembentukan sahsiah dan jati diri murid-murid yang dilihat semakin pudar saban hari.

Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas sahaja tidak mencukupi untuk melahirkan modal insan yang holistik.

Oleh itu, pelbagai pendekatan harus digunakan untuk memastikan murid-murid di negara ini dilengkapi dengan ilmu pengetahuan seiring dengan pembentukan sahsiah dan jati diri.

Sinar Bestari tertarik dengan satu hantaran daripada Zunita Ramli menerusi laman Facebooknya yang berkongsi tentang aktiviti ‘tobibako’ yang dilakukan oleh sebilangan besar pelajar di negara Jepun untuk pembentukan jati diri.

Jom ikuti perkongsian tersebut di bawah.

*

Apabila kita bercakap mengenai sekolah, kita akan lebih cenderung untuk berfikir tentang aspek akademik seperti Matematik, Sains dan sebagainya. Tidak ramai di antara kita yang akan fikir tentang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), apatah lagi kepentingan subjek itu dalam pembentukan sahsiah dan jati diri murid.

Apa kaitan PJK dengan pembentukan jati diri murid pula?

Di Jepun, PJK amat dititikberatkan. Boleh kata semua sekolah di Jepun ini melakukan satu aktiviti yang dipanggil sebagai ‘tobibako’. Ia diambil daripada dua perkataan iaitu ‘tobi’ yang bermaksud lompat dan ‘bako’ atau ‘hako’ yang bermaksud kotak. Dalam erti kata mudah, aktiviti tobibako ini adalah aktiviti melompat kotak.

Tetapi kotak bukan sebarang kotak.

Aktiviti tobibako yang berasal dari Sweden dibawa masuk ke Jepun sekitar tahun 1913, lebih kurang lebih 100 tahun dulu. Aktiviti ni pada asalnya dicipta oleh orang Sweden untuk kuatkan otot tangan, kaki dan abdomen bagi memudahkan mereka naik kuda. Sebab itu tobibako ini juga dikenali sebagai latihan naik kuda.

Kebiasaannya di sekolah rendah Jepun, kotak tobibako ni ada enam tingkat dan maksima ketinggian adalah satu meter. Pelajar akan lari dengan laju dan perlu lompat dengan mengepakkan kaki untuk melepasi kotak tobibako. Latihan ini sangat bagus untuk melatih kekuatan otot tangan, kaki, abdomen, kepantasan lari sambil dapat meningkatkan kekuatan otot, keseimbangan dan postur badan. Kiranya, satu aktiviti boleh dapat banyak manfaat.

Jadi, apa kaitan tobibako dengan jati diri murid?

Memandangkan aktiviti tobibako ini bukan aktiviti yang kompetitif seperti lumba lari, ia menggalakkan kanak-kanak untuk ‘enjoy’ mengatasi halangan di hadapan mereka — sama seperti mereka berhadapan dengan tobibako di hadapan mereka.

Jadi, kanak-kanak Jepun dari awal sudah diajar untuk ‘conquer and enjoy’ segala halangan di hadapan mereka. Perkara ini secara tidak langsung membentuk jati diri mereka untuk sentiasa ‘ganbatte’ atau berjuang sehabis baik pada masa akan datang.

Ternyata untuk mendidik anak bangsa tidak seharusnya berpaksi pada ketinggian silibus akademik semata-mata, tetapi aktiviti seperti ini juga sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting.

Tidak hairanlah kalau Jepun boleh bangkit dengan cepat walaupun kemusnahan demi kemusnahan yang mereka hadapi sejak dulu lagi. Mereka juga mampu kembali jadi negara maju dalam tempoh kurang 30 tahun selepas negara mereka hancur dibom masa Perang Dunia Kedua.

Sumber: Facebook Zunita Ramli

Artikel berkaitan

Kelainan sekolah di Jepun yang mungkin ramai tidak tahu. Ini faktanya!

Aktiviti kokurikulum bantu bentuk kemahiran insaniah pelajar

(VIDEO) Murid lelaki kerap berbaju seragam, akhirnya guru PJ hadiahkan 2 helai baju sukan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok