Ibu kongsi pentas konvo bersama anak, masing-masing raih segenggam PhD dan sarjana di UTM Johor
Bekas pensyarah yang kini bergelar suri rumah menarik nafas lega selepas berjaya menamatkan pengajian ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam masa empat tahun di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Lebih menggembirakan, Masrina Akmal Salleh, 51, dapat meraikan hari graduasi bersama anak sulungnya, Nur Aiman Amini Mohd Shakri.
Masrina menggenggam PhD dalam bidang Sistem Maklumat, manakala anaknya Nur Aiman Amini, 26, pula memperoleh Ijazah Sarjana Sains (Bioteknologi).
Baca juga
Anak yatim piatu kongsi PhD, beri semangat bagi yang senasib
Datuk tiga cucu terima PhD usia 62 tahun, graduasi bersama anak perempuan
Katanya, kejayaan itu mendapat sokongan dan dorongan daripada suami, Mohd Shakri Yaacob, 53, serta empat orang anak mereka yang masing-masing berusia antara 20 hingga 26 tahun.
Tambah Masrina, anak-anak sentiasa memberikan semangat bahawa mereka ingin melihat dia berjaya sehingga ke pentas konvokesyen.
Menurutnya, Nur Aiman Amini sentiasa memberi kekuatan selain menjadi sumber rujukan antara satu sama lain.
“Hari ini merupakan detik gembira yang tidak terhingga buat kami,” katanya pada Majlis Konvokesyen ke-65 UTM yang berlangsung 21 hingga 28 Mei, baru-baru ini.
Jelasnya, dia pernah berputus asa sehingga berniat untuk menamatkan PhD namun, mendapat dorongan daripada keluarga membolehkan Masrina terus mengejar impian selain berpegang kepada prinsip mempersiapkan diri dengan pengetahuan.
Dapat berkongsi pentas konvokesyen bersama anak perempuannya merupakan kenangan terindah buat Masrina.
Dia menyifatkan Nur Aiman Amini sebagai seorang yang rajin belajar dan kuat berusaha kerana mahu mengejar impian menjadi penyelidik.
Ujar Masrina, anaknya itu sanggup meluangkan masa sehingga malam untuk menelaah ilmu pengetahuan dan menyiapkan kajian di universiti.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Sementara itu, Nur Aiman Amini berkata, ibunya merupakan sumber inspirasi dia dalam melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.
Tambahnya, ibunya kerap menasihati sekiranya ingin memiliki ilmu memerlukan fokus dan usaha serta tiada jalan pintas untuk mendapatkannya.