Anak yatim piatu kongsi phd beri semangat bagi yang senasib
Anak yatim piatu kongsi phd beri semangat bagi yang senasib

Anak yatim piatu kongsi PhD, beri semangat bagi yang senasib

Rasyidah Zulkifi
28 Mar 2022 05:25pm
A
A
A

Kehilangan kedua ibu bapa adalah hal yang sangat memeritkan. Bagaimanapun, itu bukan penghalang bagi sesiapa untuk meneruskan cita-cita belajar di peringkat tertinggi.

Ini dibuktikan oleh Pegawai Khas kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Abdul Hadi Samsi, 33, yang telah menerima segulung PhD dalam bidang sains politik dan kerajaan pada Majlis Konvokesyen UPM kali ke-45.

Baca juga

Datuk tiga cucu terima PhD usia 62 tahun, graduasi bersama anak perempuan

Bantuan zakat pendidikan Pulau Pinang dibuka, pelajar diploma hingga PhD mohon sebelum 22 April depan

Baginya, bukan mudah untuk melengkapkan sijil pengajian tahap tertinggi tersebut kerana terdapat banyak onak dan duri terpaksa ditempuhi.

Beliau terpaksa melalui episod perit dalam hidupnya apabila bergelar pelajar dengan status anak yatim sejak 1993 kerana ayahnya meninggal dunia akibat kanser tulang.

Difahamkan, Dr Abdul Hadi dihantar ke asrama anak yatim bersama tiga beradiknya, sementara, ibunya menggalas tugas arwah ayah untuk bekerja.

Kehidupan mereka adik-beradik bertambah perit lagi apabila menjadi yatim piatu pada 2004 setelah ibunya pula menghembuskan nafas terakhir akibat kanser perut.

Tinggallah Dr Abdul Hadi bersama tiga beradiknya menetap di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Damai, Kuang, Selangor bersama pengasuh Suhaimi Dzajuli.

“Setiap daripada kita ada jalan cerita sendiri.

“Alhamdulillah, ALLAH telah mengizinkan saya menghabiskan pengajian PhD.

“Tidak dapat gambarkan kegembiraan dalam hati bila berjaya menyelusuri perjalanan pengajian pada tahap tertinggi,” ujarnya.

Menurutnya, Suhaimi merupakan pengasuh paling lama dan telah dianggap seperti bapa kandungnya sendiri.

“Terima kasih ayahanda ustaz Suhaimi kerana tidak putus- putus membantu saya mencapai dan menggapai impian.

“Begitu juga warga asrama anak-anak yatim Damai, Kuang, semoga ALLAH memelihara dan berikan ganjaran pahala buat insan-insan hebat ini.

“Buat ahli keluarga tercinta, besar pengorbanan kalian, ALLAH sahaja yang dapat membalas jasa semua,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Dalam pada itu, beliau merancang untuk menjadi pensyarah UPM dalam masa terdekat.

Dr Abdul Hadi juga memberikan semangat kepada anak-anak yatim supaya menjadikan kehilangan ahli keluarga tercinta sebagai pendorong untuk lebih berjaya dalam pelajaran.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok