261024813_10227231262514226_6837849730905249245_n
261024813_10227231262514226_6837849730905249245_n

Ini perkara yang mak ayah perlu lakukan sepanjang anak-anak cuti sekolah. Memang menarik!

Roshlawaty Md Raieh
14 Dec 2021 07:24pm
A
A
A

Musim cuti persekolahan akhir tahun sudah pun tiba. Justeru, ramai yang sudah merancang untuk pergi bercuti bersama keluarga masing-masing.

Ada yang pulang ke kampung untuk berjumpa keluarga dan sanak saudara. Tidak kurang juga ada yang pergi melancong.

Terdapat juga ibu bapa yang berhasrat menghantar anak masing-masing ke kem motivasi, seminar, bengkel dan sebagainya bagi menimba ilmu dan pengalaman baharu.

Walaupun situasi negara masih lagi dalam pandemik Covid-19, namun ibu bapa tetap berharap program yang diikuti anak mereka berjalan lancar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Bercakap tentang program bersempena cuti sekolah, Panel Fasilitator Kepimpinan Summer Camp, MECK Global Education Consultant, Dr Mohd Rozi Ismail berkata, para pelajar seharusnya didedahkan dengan program bersemuka pada waktu sekarang setelah terlalu lama mengikuti aktiviti secara dalam talian.

“Kita mahu memperbaharui semangat anak-anak yang mungkin sedikit hilang sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

“Malah, kita mahu mewujudkan kembali ekosistem yang lebih segar dan sihat melalui pelbagai modul yang dibekalkan sepanjang sesebuah program berlangsung,” ujarnya.

Dr Mohd Rozi

Menurut Dr Mohd Rozi, terdapat beberapa program tertentu yang sesuai diadakan secara bersemuka.

“Antaranya perkhemahan, kem kecemerlangan akademik dan sahsiah; Eduvisit dalam negara; aktiviti mengasah kemahiran dan kebudayaan.

“Penganjur juga boleh melakukan program secara dalam talian seperti webinar, forum, seminar, program pertukaran pelajar luar negara, eduvisit dan lain-lain,” tambahnya.

Beliau berkata, ada perbezaan jika dianjurkan program bersemuka dan secara dalam talian.

“Jika bersemuka, peserta dapat menjiwai setiap modul yang diketengahkan dan aktiviti yang diadakan ketika berprogram, menjadikan peserta sentiasa cergas.

“Manakala dalam talian pula, akan berlakunya peningkatan teknologi, pembentukan amalan inovasi dan sebagainya,” ujar beliau.

Berkaitan modul pula, Dr Mohd Rozi berkongsi beberapa modul yang boleh digunakan oleh penganjur, berdasarkan pengalamannya bersama MECK Global Education Consultant.

“Saya ingin kongsikan sembilan modul yang mungkin boleh dijadikan panduan buat pihak di luar sana.

“Modul seperti Mentor dan Mentee; Kepimpinan Masa Depan; Kerohanian; Mengatasi Cabaran; Mencintai Alam; Keyakinan Diri melalui Pengucapan Awam dan Bahasa Asing; Kemahiran melalui Program Master Chef;  Keusahawanan dan Modul Nilai serta Moral boleh dipilih dalam menganjurkan program pada musim cuti sekolah. Banyak impak positif yang dapat dilihat menerusi modul-modul ini,” tuturnya dengan menambah MECK Global Education Consultant akan menganjurkan Program Summer Camp pada 16 hingga 18 Disember ini di Agro Resort Jeram Mengaji, Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Ia merupakan program kali kedua dianjurkan selepas mendapat sambutan yang sangat baik sewaktu kohort 1, yang lalu.

Banyak aktiviti disediakan untuk anak-anak terus meneroka dan mendapat pendedahan mengenai pembelajaran berterusan sebagai proses untuk kehidupan masa depan.

Baca juga 20 pelajar SEPINTAR terpantas khatam al-Quran 30 juzuk hingga tersenarai dalam Sofwatul Huffaz!

Baca juga Kesihatan mental dan isu psikologi, beri inspirasi buat Mulaika hasilkan karya seni

Insiatif yang harus dipuji

Seorang ibu, Haslinda Hassan berkata, penganjuran program semasa cuti sekolah adalah inisiatif yang sangat baik kepada pelajar dalam memanfaatkan masa cuti terutamanya ketika keadaan di mana sistem pendidikan negara sedang menghadapi saat-saat sukar.

“Polemik berkaitan kegagalan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), tempoh yang terhad untuk menghabiskan pengajaran tahun semasa dan kurikulum sekolah yang semakin mencabar seharusnya menjadi titik tolak semua pihak yang terlibat dalam industri pendidikan mengambil peranan masing-masing bagi memperkasakannya.

“Justeru, penganjuran program cuti sekolah adalah insiatif yang harus dipuji,” katanya.

Haslinda

Bagaimanapun, Haslinda berpendapat, keadaan semasa yang semakin membimbangkan susulan kemunculan varian baru Covid-19 iaitu Omicron, perlu menjadi perhatian utama penganjur untuk mengehadkan mod program kepada pendekatan dalam talian sahaja.

“Walaupun SOP Kementerian Pendidikan (KPM) yang terkini telah membenarkan program dan bengkel dijalankan secara bersemuka, diharapkan semua pihak mengambil tindakan berjaga-jaga tambahan sebagai langkah pencegahan kepada penularan wabak ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, setiap ibu bapa boleh merancang akti•viti bersama anak-anak sepanjang cuti sekolah ini.

“Mungkin mak ayah boleh buat aktiviti bermanfaat seperti menjadualkan sesi ulang kaji pelajaran (kumpulan belajar), kepada aktiviti yang menyokong perkembangan bakat individu (kelas muzik, latihan sukan), ataupun menghadiri program cuti sekolah untuk mengekalkan momentum kecintaan kepada ilmu seperti kursus pengaturcaraan dan bahasa ketiga.

“Juga boleh lakukan percutian yang disisipkan dengan input bermaklumat seperti lawatan sambil belajar mahupun membantu keluarga menjana pendapatan atau apa sahaja aktiviti dibuat mengikut minat dan kemampuan individu,” jelasnya.

Antara aktiviti mencabar yang diikuti murid-murid ketika Summer Camp anjuran MECK Global Education Consultant, yang lalu.

Besar harapan ibu ini agar pelajar yang menyertai aktiviti cuti sekolah dapat bertukar-tukar input yang diterima dengan rakan-rakan lain, supaya manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar.

“Input yang diterima juga perlu diaplikasikan supaya keberkesanannya dapat direalisasikan. Juga, sikap positif pelajar yang suka menyertai aktiviti cuti sekolah diharapkan akan berterusan, seterusnya melahirkan generasi yang lebih berdaya saing,” ujarnya.

Pupuk semangat kepimpinan

“Bagi saya, program bersemuka yang diadakan ketika cuti sekolah adalah sangat bagus untuk membuka minda pelajar tentang kepentingan motivasi diri.

“Malah, ia juga dapat memupuk semangat kepimpinan dan memperbaiki kemahiran komunikasi dalam kalangan peserta,” kata seorang bapa, Mohd Rozlan Ismail.

Tambahnya, anak-anaknya cukup gembira apabila dapat menyertai program cuti sekolah baru-baru ini.

“Saya pernah menghantar mereka mengikuti program anjuran MECK Global Education Consultant.

“Pengisian penganjur cukup lengkap dan padat untuk anak-anak saya keluar ke dunia realiti dalam kepimpinan, kerohanian, outdoor, keusahawan dan yang paling penting belajar tentang keyakinan diri. Tahniah buat penganjur,” ujarnya.

Mohd Rozlan

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Seterusnya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor, Muhammad Arif Mansor berkata, aktiviti bersempena cuti sekolah dapat memberi pengalaman baharu yang cukup sukar diperoleh di luar sana.

“Membentuk disiplin diri, menerapkan nilai agama dan moral serta memupuk semangat kepimpinan adalah antara yang saya dapat sepanjang mengikuti program cuti sekolah sebelum ini.

“Saya juga dapat memperbaiki kemahiran komunikasi apabila menyertai program motivasi anjuran sekolah dan pihak luar. Kemahiran komunikasi ini sangat penting apabila pelajar memasuki alam pekerjaan kelak,” katanya yang juga ketua pengawas sekolah tersebut.

Muhammad Arif

Berkenaan program bersemuka yang bakal diadakan oleh sesetengah penganjur, Muhammad Arif berkata, ia satu perkembangan positif dalam mewujudkan kembali kemeriahan program apabila tibanya musim cuti persekolahan.

“Mungkin akan ada kelainan berbanding sebelum ini dan saya yakin, penganjur telah menetapkan SOP ketat untuk peserta patuhi.

“Sekiranya ibu bapa enggan menghantar anak-anak mengikuti program cuti sekolah atas sebab pandemik Covid-19, mereka masih boleh mengadakan aktiviti sendiri di rumah.

“Ia terpulang kepada ibu bapa dalam memastikan keselamatan anak-anak terjamin,” ujarnya.

Muhammad Arif ketika mengikuti Program We Think Digital secara dalam talian.

INFO

Perkongsian Guru Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Jerlun, Kedah, Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib mengenai 20 aktiviti cuti sekolah yang bermanfaat

  • Kem motivasi
  • Kem ibadah
  • Klinik sukan
  • Belajar Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT)
  • Kursus jangka pendek, bahasa
  • Kemahiran bertukang
  • Kraf dan anyaman
  • Belajar alat muzik
  • Belajar berenang
  • Belajar memasak
  • Belajar menari
  • Berkebun
  • Melancong
  • Sukan ekstrem
  • Bekerja sambilan
  • Membantu datuk dan nenek di kampung
  • Menolong ibu bapa di rumah
  • Melakukan kerja amal
  • Membaca novel / buku ilmiah
  • Ulangkaji dan persediaan tahun depan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan