Kelainan sekolah di Jepun yang mungkin ramai tidak tahu. Ini faktanya!
Negara Jepun terkenal sebagai negara yang bersih dan maju dari segi pendidikan dan teknologi.
Rakyatnya sangat dikenali dengan kepintaran dalam bidang masing-masing malah adab sopan yang dimiliki mereka, amat dikagumi ramai.
Dalam konteks sistem pendidikan di Jepun pula, ia dikatakan antara sistem pendidikan yang terbaik kerana tidak berteraskan peperiksaan atau menghafal buku teks sebaliknya para pelajar diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak dibangku sekolah rendah lagi.
Apa kehebatan sekolah Jepun ini? Bagaimana mereka mampu lahirkan pelajar yang pintar dan hebat? Ini yang dapat Sinar Bestari kongsikan untuk pembaca hadam.
1) Tiada tukang cuci
Pelajar-pelajar di Jepun melakukan kerja-kerja pembersihan dengan sendiri. Setiap hari sebelum dan selepas kelas, mereka akan diberi masa untuk membersihkan sekolah mengikut jadual yang ditetapkan. Pelajar bukan sahaja membersihkan kelas tetapi mereka juga turut membersihkan kafeteria dan tandas dengan sendiri. Konsep ini dapat membantu mereka faham akan konsep kerja berkumpulan dan hormat bukan sahaja dalam persekitaran pembelajaran sendiri, tetapi juga orang lain.
2) Belajar kaligrafi dan tulisan Jepun
Selain mempelajari mata pelajaran yang standard, pelajar juga didedahkan dengan kaligrafi Jepun dan Shodo yang menggunakan berus tradisional yang diperbuat daripada buluh dan seni puisi. Haiku pula menggunakan ekspresi untuk meluahkan emosi yang mendalam kepada pembaca.
Masyarakat Jepun amat mementingkan budaya dan adat mereka, jadi kelas-kelas ini dapat mengajar pelajar untuk menghormati adat dan budaya yang sudah lama muncul.
3) Makanan tengah hari disediakan dengan menu yang ditetapkan
Sistem pendidikan di Jepun amat mengambil berat akan kesihatan dan cara pemakanan yang sihat bagi pelajar mereka. Kumpulan pelajar akan menikmati makanan tengah hari bersama-sama rakan sekelas dan juga guru-guru di ruangan yang sama. Cara ini dapat membantu menguatkan hubungan baik antara guru dan pelajar serta dapat menimbulkan nilai kekeluargaan yang diterapkan dalam diri masing-masing.
Dengan perkongsian fakta menarik ini, maka tidak hairanlah Jepun mampu memiliki barisan pelajar yang berkaliber.
Pastinya bukan mudah untuk pelajar dari negara maju berada pada tahap ini, namun ia tidak mustahil untuk dicapai asalkan ada kesungguhan dan usaha yang berterusan.
Artikel berkaitan
PUBG Mobile Tournament UNISEL 2022 dapat sambutan luar dugaan, bukti e-sukan kegilaan ramai
Menarik idea cikgu ini, jadikan sampul duit raya sebagai bahan pembelajaran murid Pemulihan Khas