Robotik muda SK Putrajaya Presint 11 (3) mula dikenali ramai, kini aktif cipta robot guna komponen lego
Robotik muda SK Putrajaya Presint 11 (3) mula dikenali ramai, kini aktif cipta robot guna komponen lego

Robotik muda SK Putrajaya Presint 11 (3) mula dikenali ramai, kini aktif cipta robot guna komponen lego

webadmin
10 May 2022 12:17pm
A
A
A

Bunyi mesin sedang berfungsi di sebuah bilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (3) memang tidak asing lagi ketika sesi kokurikulum berlangsung setiap minggu.

Suasana sedemikian kedengaran apabila murid yang menyertai Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11 (3) ‘berlumba-lumba’ menguji kemampuan robot yang dihasilkan menggunakan komponen lego serta melalui pengaturcaraan komputer.

Robot-robot ciptaan ahli kelab robotik itu mendapat tumpuan kerana pernah menyerlah di peringkat antarabangsa seperti merangkul empat pingat termasuk satu emas pada pertandingan Liga Robot Sedunia 2019 di Ulsan, Korea Selatan.

Guru Penyelaras kelab tersebut, Siti Maryam Rahman berkata, terdapat lapan murid Tahun Dua hingga Enam yang terpilih menyertai kelab tersebut selepas melalui ujian khas.

"Ujian yang perlu dilalui adalah asas pengaturcaraan komputer dan mencipta robot. Kita tidak boleh ambil murid dalam jumlah besar kerana set robot lego yang ada adalah terhad. Mereka akan cuba cipta robot terbaik untuk bersaing dalam pertandingan,” katanya.

Menurut Cikgu Siti Maryam lagi, ada bekas murid sekolah berkenaan yang pernah menjadi ahli kelab masih berkecimpung dalam bidang robotik meskipun telah berada di sekolah menengah.

Guru Besar, Hishammudin Ahmad pula berkata, bagi mempertingkatkan lagi kemahiran robotik murid, pihaknya telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan International Robotics Educational Association (IREA) Korea Selatan.

"Melalui MoU ini, pihak IREA akan memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai pertandingan yang ada di Korea Selatan untuk kami sertai,” katanya pengalaman ditimba daripada kejohanan besar akan memberi pendedahan luas kepada ahli-ahli kelab robotik sekolah itu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kelab robotik sekolah itu masih menyertai kejohanan termasuk peringkat antarabangsa antaranya Festival Liga Robot Sedunia 2020, walaupun bukan secara kehadiran fizikal.

Sementara itu, Mohd Asraf Mohd Siraj yang juga guru penyelaras kelab itu pula berkata, murid yang menyertai kelab robotik berkenaan akan dibimbing bukan sahaja dari sudut pembelajaran robotik malah cara berkomunikasi dengan baik.

"Kita akan latih murid ini cara bertutur dengan baik kerana mereka akan bertemu pelajar antarabangsa lain… membaca, bertutur dan kemahiran menulis amat penting.

"Ketika sertai kejohanan di Korea Selatan, murid-murid ini mudah berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan murid antarabangsa lain… ini sesuatu yang membanggakan,” katanya.

Seorang ahli kelab, Muhammad Hafiz Irfan Mohd Hafizal, 11, berkata, penyertaan dalam kelab robotik sekolah membolehkannya bertemu ramai murid antarabangsa yang mahir dalam bidang tersebut.

"Saya bangga sebab dapat pergi ke luar negara untuk kejohanan robotik, kalau boleh saya ingin ajak ramai lagi rakan untuk sertai kelab ini,” katanya yang menyertai kelab itu sejak Tahun Dua. - BERNAMA

Artikel berkaitan 

Kaki pancing tegar! Muhammad Zafri tunjuk kehebatan tangkap udang

Graduan Malaysia gondol pingat akademik tertinggi di Amerika Syarikat, raih keputusan ‘4 flat’ secara konsisten

Karnival Robotik dedah dunia teknologi digital


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok