Untitled design
Untitled design

Kenali 14 Sasterawan Negara yang banyak berjasa kepada negara

Roshlawaty Md Raieh
19 Jan 2022 11:17am
A
A
A

Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai barisan Sasterawan Negara yang cukup hebat dalam menghasilkan pelbagai karya sastera sama ada puisi, cerpen, novel atau drama.

Nama-nama seperti Keris Mas, A Samad Said, Baha Zain, Kemala, SN Anwar Ridhwan dan ramai lagi sememangnya telah mencipta nama dalam bidang masing-masing sehingga meraih pelbagai anugerah dan pencapaian sepanjang berkecimpung dalam dunia kesusasteraan ini.

Secara umumnya, seorang Sasterawan Negara merupakan penulis yang sangat berjasa dalam memajukan kesusasteraan sama ada melalui karya kreatif, kritikan, persembahan di pentas atau ceramah yang bersifat pendidikan sastera.

Tanda seseorang itu maju dalam bidang kreatif antara lain kemenangan dalam sayembara penulisan atau menang Hadiah Sastera Perdana atau hadiah sastera anjuran pihak lain termasuk kerajaan negeri.

Sebagai perkongsian buat semua terutamanya bagi generasi baharu, Sinar Bestari senaraikan nama dan sedikit pengenalan diri Sasterawan Negara Malaysia untuk panduan kita bersama.

1) Sasterawan Negara Pertama (1981) - Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas

Dalam perkembangan cerpen Melayu selepas perang,  Keris Mas ialah tokoh yang terpenting dan cukup berpengaruh kepada golongan penulis muda. Beliau membentuk namanya sebagai penulis melalui bakat, fikiran yang kritis, penguasaan bahasa yang baik, dan kematangan pengalamannya.

Keris Mas, merupakan contoh seorang penulis yang lebih mementingkan mutu daripada jumlah karya. Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaludin Mohamad dilahirkan pada 10 Jun 1922 di Kampung Ketari, Bentong, Pahang Darul Makmur.

2) Sasterawan Negara ke-2 (1982) – Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad

Shahnon Ahmad sebagai pengarang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kesusasteraan Melayu. Beliau bukan sahaja terkenal kerana novelnya Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong, atau kerana kerap kali memenangi Hadiah Karya Sastera, atau kerana beliau seorang sarjana di Universiti Sains Malaysia, tetapi kerana beliau adalah seorang penulis berbakat, serius dan mempunyai falsafahnya sendiri.

Shahnon bukan menulis hasil-hasil kesusasteraan hanya untuk bersastera semata-mata, tetapi beliau adalah seorang pencari yang sentiasa mencuba memperbaiki seninya dengan pelbagai gaya dan pendekatan, meneroka ke alam fikiran untuk memperkayakan lagi isi karangannya dan sentiasa mempertimbangkan falsafahnya sebagai seorang penulis sehingga benar-benar mencapai kebenaran.

3) Sasterawan Negara ke-3 (1983) – Datuk Dr Usman Awang

Usman Awang sebagai seorang tokoh dalam kesusasteraan Melayu moden, khususnya sajak dan drama amat banyak diperkatakan.

Kerana itu nama Usman Awang paling terkenal di kalangan pengkaji dan peminat sastera Melayu pada pelbagai peringkat dan golongan.

Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair dan budayawan yang terus kreatif memberikan semacam keteguhan terhadap tradisi baharu sastera kita.

Beliau seorang penyair yang tidak pernah pudar dan sentiasa dapat menyesuaikan dirinya dalam pelbagai zaman dan situasi.

4) Sasterawan Negara ke-4 (1985) - Datuk Dr A Samad Said

A Samad Said, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera.

Sejak giat mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka.

Sumbangan A. Samad Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu.

5) Sasterawan Negara ke-5 (1987) - Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau Arena Wati

Muhammad bin Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung atau nama penanya Arena Wati, Duta Muda dan Patria dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia.

Beliau mendapat pendidikan awal di Hollands Indische School (HIS), iaitu sebuah sekolah Belanda di Makasar, kemudian di Meer Uigebreid Lager Onderwijs (MULO) dan Hoogere Burger School (HBS) yang diteruskan semasa beliau menjadi pelaut.

Beliau dapat menamatkan pengajiannya di Sekolah Menengah Atas, Makasar pada tahun 1953 selepas terhenti semasa perang meletus. Kehidupan beliau sebagai pelaut bermula pada tahun 1945 di bawah pimpinan Kapten Muhammad, Kapten Affandi dan Kapten Mukmin.

6) Sasterawan Negara ke-6 (1991) – Profesor Dr Muhammad Haji Salleh

Muhammad Haji Salleh hanya mula dikenali umum di tanah air sebagai penulis pada akhir tahun 1960-an meskipun beliau sebenarnya telah menulis lebih awal lagi. Beliau banyak menghabiskan usianya di luar negara dan mula menulis puisi yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Bila kembali ke tanah air puisi-puisi beliau mendapat perhatian para pengkritik.

7) Sasterawan Negara ke-7 (1993) - Datuk Noordin Hasan

Tidak hairanlah jika dunia seni menjadi pilihan Noordin Hassan kerana ayahnya sendiri, Hassan Aluih Pak Cik Kaya adalah seorang yang dikenal sebagai tukang karang boria, sejenis permainan tradisi di Pulau Pinang dan Seberang Perai. Ayah beliau merupakan seorang pencinta seni dan tokoh yang sangat mengambil berat terhadap pendidikan agama.

8) Sasterawan Negara ke-8 (1996) - Datuk Abdullah Hussain

Penulis yang cukup prolifik lagi konsisten ini, mempunyai pengalaman yang luas. Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan beliau adalah salah seorang penulis Malaysia yang kaya dengan pelbagai pengalaman yang menarik hati.

Pengalamannya yang luas serta penguasaannya dalam beberapa bahasa merupakan faktor-faktor yang membantu beliau dalam lapangan karang-mengarang. Hasilnya, kita temui pelbagai tema dengan latar belakang yang berbeza-beza pula dalam karya-karyanya. Pengetahuannya dalam bidang bahasa dapat diukur daripada buku-buku bahasa dan peribahasa

9) Sasterawan Negara ke-9 (2003) - S. Othman Kelantan atau Dr Syed Othman Syed Kelantan

Bermula daripada Utusan Kanak-kanak dan Tunas, kemudian Hiboran dan Muatiara, S. Othman Kelantan mula menapak sebagai penulis.

Beliau menulis puisi dan cerpen untuk majalah Hiboran dan Mutiara.  Dengan majalah yang bercorak hiburan itulah, beliau dapat menguji bakat dan meyakinkan dirinya untuk terus berkarya dan bercita-cita menjadi penulis yang terkenal.

Berkat ketabahan dan kegigihan serta minatnya yang besar terhadap dunia penulisan kreatif, S. Othman Kelantan hari ini terkenal sebagai seorang novelis.

10) Sasterawan Negara ke-10 (2009) – Datuk Dr Anwar Ridhwan

Kehadiran Anwar Ridhwan dalam dunia penulisan kreatif mula dirasakan pada tahun 1970, ketika dalam tahun pertama Universiti Malaya.

Sajak dan cerpen adalah dua bidang sumbangannya yang agak prolifik dan diikuti kemudiannya dengan esei dan kritikan.

11) Sasterawan Negara ke-11 (2012) - Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)

Kemala atau yang dikenali juga sebagai Akmal Jiwa merupakan nama pena kepada Datuk Dr Haji Ahmad Kamal bin Abdullah. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di Gombak, Selangor.

Beliau merupakan anak ketiga daripada sepasang suami isteri iaitu Abdullah bin Daud (meninggal pada tahun 1945) dengan Rukiyah binti Amir. Sebelum menikahi Rukiyah, Abdullah telah beristeri dengan seorang perempuan bernama Siti Hawa yang menetap di Rawang, Selangor.

12) Sasterawan Negara ke-12 (2013) - Datuk Hj Baharuddin Zainal

Baha Zain dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang, Perak pada 22 Mei 1939. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sabak Bernam, Selangor hingga tamat darjah IV pada tahun 1949.

Ketika berumur 11 tahun, anak bongsu ini meninggalkan kampungnya untuk memasuki Anglo Chinese School, Teluk Anson (sekarang Teluk Intan) hingga tahun 1957 dan lulus peperiksaan Sijil Persekolahan. Kemudian, beliau belajar di Sekolah Anderson, Ipoh dalam Tingkatan Enam.  Seterusnya beliau memasuki Universiti Malaya.

13) Sasterawan Negara ke-13 (2016) - Zurinah Hassan – Datuk Dr Zurinah Hassan

Zurinah Hassan dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah. Beliau dibesarkan di Tikam Batu, Kedah, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tikam Batu (1956-1960) dan kemudiannya di Sekolah Inggeris Sungai Layar, iaitu melalui Special Malay Class (1961-1963).

Zurinah Hassan meneruskan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Convent Sungai Petani (1964-1966) dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah (1967-1970).

14) Sasterawan Negara ke-14 (2019) - Datuk Dr Siti Zainon Ismail

Siti Zainon Ismail dilahirkan di Gombak pada 18 Disember 1949, penyair tanah air yang mempunyai riwayat yang panjang dalam bidang penulisan seni sastera, budaya dan akademik.

Beliau merupakan lulusan Sekolah Menengah Aminuddin Baki (1964-1968). Di samping meminati penulisan, Siti Zainon Ismail berbakat sebagai pelukis dan pernah dididik oleh Idris Salam dan Naz Achnas.

Oleh kerana cita-citanya tinggi, dalam usia 20 tahun, selepas Sijil Tinggi Pelajaran, beliau meneruskan pengajiannya di Yogyakarta, mengambil jurusan Seni Lukis di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI). Beliau pernah berdampingan dengan pelukis terkenal Indonesia seperti Affandi dan lain-lain.

Artikel berkaitan 

Penuh kejutan! Cikgu Azlina tak sangka jadi guru Malaysia pertama menang Canada/Jasper Research Award 2021/2022

“Apa pun keputusan anak, peluk dan ucaplah tahniah. Sesungguhnya mereka sudah beri yang terbaik” – Ustazah Asma’ 

Penyelidik Biosains cadang tepung ubi gadong jadi alternatif ketika krisis tepung gandum


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan