WhatsApp Image 2021-12-14 at 8.52.35 PM
WhatsApp Image 2021-12-14 at 8.52.35 PM

Penuh kejutan! Cikgu Azlina tak sangka jadi guru Malaysia pertama menang Canada/Jasper Research Award 2021/2022

Roshlawaty Md Raieh
13 Jan 2022 05:18pm
A
A
A

Diumumkan sebagai pemenang kedua bagi Anugerah Penyelidikan Antarabangsa Canada/Jasper Research Award 2021/2022  cukup membuatkan guru ini sebak, terharu, terkejut, bangga dan seterusnya sangat gembira hingga sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Ini kerana,Canada/Jasper Research Award 2021/2022 bukan anugerah ‘biasa-biasa’ sebaliknya ia merupakan anugerah peringkat antarabangsa dan beliau adalah guru dari Malaysia yang pertama memenangi anugerah tersebut sejak mula diperkenalkan pada tahun 1990.

Mengikut sejarah kemenangan, Canada/Jasper Research Award 2021/2022 sebelum ini hanya didominasi oleh pensyarah dalam dan luar negara, namun sejarah terukir apabila buat pertama kali anugerah tersebut dimenangi oleh Cikgu Dr Azlina A Rahman dari Malaysia.

Cikgu Azlina yang kini mengajar subjek Matematik dan Asas Sains Komputer di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Selandar, Melaka berkata, bukan sekali dua anugerah yang telah dia perolehi sepanjang berkhidmat sebagai pendidik.

“Cuma Canada/Jasper Research Award 2021/2022 ini cukup berbeza dan penuh dengan kejutan.

“Ini kerana saya dipilih untuk wakili Malaysia dalam pertandingan tersebut yang seterusnya mampu mengharumkan nama negara dengan mendapat tempat dalam pertandingan itu,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Canada / Jasper Research Award 2021/2022 telah berlangsung pada 30 November tahun lalu di Thailand.

Bertemakan Addressing the Education Crisis: Intervention Programmes for Mitigating Learning Gaps and Learning Loss, pertandingan ini dianjurkan kerajaan Kanada dan The Southeast of Asian Ministers of Education (SEAMEO).

SEAMEO merupakan gabungan beberapa kementerian pendidikan negara-negara Asia Tenggara seperti Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.

Objektif program ialah menggalakkan para sarjana melaksanakan penyelidikan mengenai tema yang berkaitan pendidikan dan pembangunan sosial di Asia Tenggara selain berkongsi maklumat dan pengetahuan yang berterusan dalam kalangan penyelidik Kanada dan Asia Tenggara.

Cikgu Azlina (depan) bersama penerima Anugerah Khas Konvokesyen ke 59, baru-baru ini.

Penulisan dan kajian Cikgu Azlina

Berkongsi mengenai kemenangan tersebut,  Cikgu Azlina berkata, anugerah dimenangi itu dinilai melalui penulisan dan kajiannya sepanjang Covid-19.

“Kajian penyelidikan ini berkenaan penghasilan konsep dan kerangka pembelajaran teradun yang disesuaikan mengikut norma baharu sepanjang krisis pandemik Covid-19.

“Selain itu, kajian saya juga berfokus kepada intervensi yang telah dilakukan dalam usaha mengurangi masalah keciciran pelajar serta merapatkan jurang digital dari perspektif guru,” ujarnya.

Cikgu Azlina berkata, penulisan dan kajiannya selama ini lebih tertumpu kepada bidang teknologi pendidikan, pedagogi dan STEM.

“Sejak 2014, penulisan dan kajian yang telah diterbitkan adalah berfokus kepada penyelidikan mengenai Blended learning, Flipped classroom, Project Based Learning, gaya pembelajaran pelajar, Scaffolding, framework, rubrik dan STEM.

“Saya juga berkongsi idea penulisan dan kajian dengan warga akademik beberapa negara luar melalui program pengantarabangsaan bersama University of Wollongong, Australia dan Auckland University of Technology, New Zealand.

“Untuk penulisan akan datang, insya-ALLAH masih dalam perancangan dan mungkin ia berkisar pedagogi yang sesuai mengikut situasi semasa seperti kajian penyelidikan yang dipertandingkan dalam anugerah ini,” ujarnya lagi.

Persaingan yang sengit

Menurut Cikgu Azlina, persaingan dalam pertandingan tersebut cukup sengit.

“Persaingannya datang daripada kalangan peserta yang terdiri daripada pensyarah universiti tempatan dan luar negara.

"Walaupun penyertaan terbuka untuk semua warga negara anggota SEAMEO, namun anugerah ini kurang mendapat sambutan dalam kalangan guru sekolah berbanding pensyarah universiti berikutan beberapa syarat penyertaan yang perlu dipenuhi antaranya ialah memiliki ijazah lanjutan. Tambahan pula bidang penyelidikan dan penulisan merupakan ‘makanan’ bagi warga pendidik dari golongan pensyarah.

“Disebabkan bidang tersebut sangat berkait rapat dengan profesion mereka selain merupakan salah satu sasaran tahunan atau penunjuk prestasi utama (KPI) kepada kebanyakan pensyarah universiti tempatan dan luar negara, maka penyertaan dari kalangan pensyarah dalam pertandingan ini adalah dominan.” jelasnya panjang lebar.

Berbanding guru, tugas hakiki mereka berbeza dan tiada penetapan KPI untuk tujuan tersebut.

“Dalam profesion perguruan, guru digalakkan melaksanakan kajian tindakan yang mana ia adalah berbeza berbanding penyelidikan dan penulisan yang digariskan.

“Selain itu, pemilihan anugerah ini memerlukan penghasilan penyelidikan sepanjang krisis pendidikan berlaku iaitu sepanjang pandemik Covid-19 (awal tahun 2020 hingga 2021) maka sudah pasti ia memerlukan tenaga, kos dan masa yang lama dalam penyelidikan,” katanya yang berkongsi sedikit syarat yang perlu dipenuhi peserta jika menyertai pertandingan tersebut.

Antara syaratnya adalah peserta perlu melaksana dan menulis berkenaan kajian penyelidikan mereka mengikut standard antarabangsa yang ditetapkan di samping perlu menghasilkan penyelidikan berdasarkan tema, buku kajian penyelidikan, selain penilaian berdasarkan CV dan jawapan daripada soalan-soalan yang dikemukakan.

Seterusnya, proses saringan dan pemilihan dijalankan dalam beberapa peringkat sebelum fasa pemilihan akhir dibuat.

Barisan panel juri yang menilai terdiri daripada beberapa pakar akademik luar negara iaitu Ambassador Extraordinary and Plenipotentiary of the Embassy of Canada, Thailand, H E Dr Sarah Taylor; Director of External Relations - The British Columbia Council for International Education (BCCIE), Canada, Colin Doerr; Director of SEAMEO RIHED, Thailand, Asst Prof Dr Romyen Kosaikanont dan Pensyarah Chulalongkorn University, Thailand, Prof Jintavee Khlaisang.

Barisan juri pertandingan

Walaupun mengetahui cabaran dan kekangan yang perlu dihadapi, Cikgu Azlina nekad menyertai pertandingan tersebut.

“Antara faktor utama yang mendorong saya adalah disebabkan minat di samping berbekalkan pengalaman sedia ada.

“Pengalaman dalam dunia penyelidikan dan penulisan juga telah membawa kepada penghasilan lebih 20 kertas penyelidikan antarabangsa berindeks iaitu Jurnal, Scopus dan WOS yang juga telah dibentang di dalam dan luar negara termasuk Sepanyol, Indonesia, Thailand, Australia dan New Zealand,” katanya.

Sebagai seorang guru, beliau berkata, penghasilan kajian tindakan masih diteruskan disamping penciptaan inovasi-inovasi STEM.

“Selain konsisten dalam penghasilan kertas penyelidikan yang berindeks, pengalaman menjadi reviewer bagi sebuah Jurnal antarabangsa Computers and Education – Elsevier serta persidangan IEEE Education Society’s flagship Asia-Pacific (IEEE TALE 2019 di Australlia) juga adalah antara penyumbang kepada penghasilan penulisan dan penerbitan sehingga berjaya memenangi tempat dalam anugerah tersebut,” katanya.

Usaha yang tinggi

Dalam pada itu, beliau memberitahu, memperoleh kejayaan sedemikian sememangnya memerlukan usaha yang tinggi dan inisiatif guru itu sendiri.

Apatah lagi tugas guru sekarang sangat mencabar di samping perlu berhadapan kekangan dari segi masa, dana dan sumber.

“Bagi kebanyakan guru, penghargaan yang diharapkan hasil daripada usaha mereka tidak semestinya dalam bentuk wang atau kemasyhuran. Ia lebih kepada kepuasan dan keikhlasan membantu pelajar untuk menjadikan mereka manusia yang lebih baik dari segi sahsiah dan akademik.

“Apabila niat ikhlas, insya-ALLAH segalanya akan dipermudahkan. Kemenangan dalam sesuatu pertandingan adalah satu bonus.

“Penulisan/kajian sebenarnya merupakan salah satu cara perolehan pengalaman yang tidak ternilai. Syukur ke hadrat Ilahi, siapa sangka, sejak bergelar guru dan mencebur diri dalam dunia penyelidikan dan penulisan telah membawa saya ke 16 buah negara luar sama ada melalui pembentangan, penyelidikan, program pengantarabangsaan dan program akademik sebelum pandemik Covid-19 melanda,” jelasnya yang turut berkongsi tip kejayaan dan pengalaman bersama warga pendidik lain melalui program-program anjuran KPM dan universiti tempatan.

Bersama pelajar SPM, alumni dan guru-guru ketika mengendalikan Program Jalinan dan Jaringan, sebelum pandemik Covid-19.

Selain keluarga yang menjadi tunjang kejayaan, Cikgu  Azlina turut ingin melahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Universiti Teknologi Mara (UTM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jasin atas sokongan yang di terima selain daripada pihak sekolah, rakan sejawat, alumni dan juga komuniti.

“Saya berharap kemenangan ini bakal membuka ruang dan menjadi inspirasi untuk warga pendidik khususnya guru menghasilkan lebih banyak penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Akhir sekali, Cikgu Azlina menitipkan sedikit nasihat buat rakan-rakan guru di Malaysia.

“Bila bergelar guru, tugas hakiki wajib diutamakan. Menulis memerlukan kemahiran, peruntukan masa dan momentum. Jangan sampai menulis hingga mengabaikan tugas dan tanggungjawab kita sebagai seorang guru. Banding beza antara tangungjawab, keperluan dan kepentingan. Jika ada bakat, cuba kembangkan ke medan dan saluran yang betul. Jika tiada bakat tetapi berminat, ia boleh dipupuk. Cari pakar rujuk dan jangan segan untuk belajar.

“Sebagai seorang guru, anda boleh bermula dengan menghasilkan kajian tindakan atau menghasilkan modul ringkas. ‘An expert once a beginner’.

“Bukan senang nak jadi senang maka jangan mudah berputus asa dan jangan terlalu kerap mengeluh. Saya percaya masih ramai lagi guru di luar sana yang berbakat. Ilmu itu luas, kita tidak mahir untuk semua perkara tetapi kita diberi fikiran untuk menguasai ilmu sebanyak mungkin.

"Oleh itu, sentiasa belajar dan ambil tahu selain buka minda seluasnya dan selalu berfikiran positif,” katanya dengan menambah dunia pendidikan sekarang sangat mencabar. Pengorbanan dan tanggungjawab guru sememangnya besar. Teruskan usaha mendidik anak bangsa, kuatkan semangat dan jangan mudah mengalah kerana guru hari ini adalah acuan generasi sekarang dan akan datang.

PROFIL

Nama: Dr Azlina A Rahman

Adik beradik: Anak ketiga daripada lima adik beradik

Tahap pendidikan:

1) SPM -  SM Sains Muzaffar Syah Melaka

2) Ijazah Sarjana Muda – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

3) Ijazah Sarjana – UKM

4) Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) – Institut Pendidikan Guru (IPG) Melaka

5) Ijazah Doktor Falsafah (PhD) – UTM (Semasa pengajian PhD, telah mengikuti pelbagai kursus akademik dalam dan luar negara)

Luar Negara:

1) Internship Program, Radboud University, Netherlands

2) Summer School Applied Multivaried Analysis, Utrecht University, Netherlands

3) Blended Learning Certificate , University of Leeds, UK

Anugerah dan pencapaian:

1) Anugerah Konvokesyen PhD

  • Best PostGraduate Student Award – PhD (2017)
  • ALUMNI Academic Prize – PhD (2017)
  • Postgraduate Academic Excellent Award – PhD (2017)

2) Anugerah semasa pengajian PhD

  • Minute Thesis Competition Faculty Level (2016) – tempat kedua
  • Minute Thesis Competition University Level (2016) – tempat ketiga

3) Anugerah Inovasi (Emas, Perak dan Gangsa)

  • Antarabangsa – 18
  • Kebangsaan – 1

Artikel berkaitan 

Tebar roti canai 60 keping sehari, murid Tahun 1 SK Seri Tunjong banggakan keluarga!

Dulu pelajar, kini guru silat. Hebatnya Srikandi MARA ini

Sentuhan karya grafiti guru ini cukup luar biasa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok