Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2022 dibuka hari ini

webadmin
20 Jan 2022 10:38am
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2022 untuk pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di dalam dan luar negara telah dibuka hari ini, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA dalam kenyataan memaklumkan permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang permohonan secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my sehingga tarikh tutup pada 22 Februari ini.

“Borang permohonan lengkap serta dokumen sokongan yang diperlukan, perlu dikemukakan dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 22 Februari 2022 sama ada secara serahan tangan atau pos,” menurut kenyataan itu.

Baca juga Banjir: Permohonan penangguhan bayaran balik PTPTN bermula esok

Baca juga Peluang pelajar rebut biasiswa GREAT untuk belajar di UK

Menurut JPA, BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam untuk pengajian peringkat Sarjana dan enam untuk pengajian PhD di dalam dan luar negara dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang dan Kewangan Islam.

JPA memaklumkan calon yang ingin memohon perlu mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) minimum 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana.

“Syarat permohonan BYDPA adalah warganegara Malaysia dan berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2022.

“Penglibatan secara aktif dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya adalah satu kelebihan buat calon Sarjana manakala bagi calon PhD ia adalah diwajibkan,” menurut kenyataan itu.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Selain itu, JPA memaklumkan syarat kelayakan lain adalah telah mendapat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) bagi pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.

Maklumat lanjut mengenai penawaran ini, boleh layari portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03 – 8885 3879 / 3569 / 3438/ 3371/ 3571 pada setiap hari bekerja mulai 9 pagi hingga 5 petang atau e-mel kepada penawaranldp@jpa.gov.my. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok