hfm-wikicommw
hfm-wikicommw

Kes makin membimbangkan, 2 pakar kesihatan universiti tampil dengan tip penting cegah HFMD dengan bijak

Roshlawaty Md Raieh
26 May 2022 04:58pm
A
A
A

Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara ini semakin membimbangkan berikutan peningkatan jangkitan di setiap negeri dan Selangor antara penyumbang terbesar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap kepada Bernama, Selangor penyumbang terbesar HFMD dengan 13,640 kes iaitu 28.9 peratus daripada keseluruhan, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 6,206 kes (13.1 peratus), Perak 4,099 kes (8.7 peratus), Kelantan 3,726 kes (7.9 peratus) dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus) manakala negeri-negeri lain melaporkan kurang daripada 2,500 kes.

Realitinya, HFMD bukanlah satu penyakit baharu di negara ini bahkan pada 2018 lagi negara telah mencatatkan peningkatan kes tersebut yang boleh menjangkiti golongan dewasa selain kanak-kanak.

Pakar Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, kerajaan boleh mengenakan peraturan larangan sementara untuk anak-anak berusia kurang 12 tahun daripada berada di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan ramai bagi mengurangkan kes HFMD.

"Jangkitan HFMD ini boleh berlaku secara mendadak disebabkan pendedahan kanak-kanak dengan persekitaran berbanding tempoh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pencemaran silang dari bendalir tubuh seperti air liur, hingus, kahak, najis atau kontaminasi dari tangan individu yang tersentuh bendalir tersebut tetapi tidak di cuci bersih, memungkinkan peningkatan kes yang mendadak,” katanya.

Artikel berkaitan 

Cegah sebelum parah! Guru, ibu bapa dan murid mohon peka situasi HFMD yang semakin meningkat

HFMD: Jangan hantar anak ke sekolah atau taska sekiranya bergejala – Khairy

Dr Malina yang juga pensyarah di Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM berkata, ibu bapa atau penjaga yang telah diberi cuti kuarantin perlu amanah dan bertanggungjawab terhadap cuti yang diberikan dan tidak menyalahgunakannya seperti pulang ke kampung, bercuti ke tempat peranginan, membeli belah dan sebagainya.

"Dalam masa yang sama, saya mengesyorkan agar kerajaan mengenakan denda kepada ibu bapa yang menyalahgunakan cuti kuarantin yang telah diperoleh. Denda boleh dibuat dalam bentuk potongan elaun oleh majikan atau pembatalan rebat tertentu dalam cukai

pendapatan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak dirawat dengan baik, mereka berisiko mendapat komplikasi sawan dan sebahagian juga mungkin mendapat radang jantung, radang paru-paru atau komplikasi pada otak dan sistem saraf pusat.

"Jika mereka tidak prihatin terutama bersifat ala kadar semasa membersihkan anak-anak selepas ke tandas atau ketika menukar lampin, besar kemungkinan tularan boleh berlaku. Tahap kebersihan kanak-kanak juga tanggungjawab ibu bapa, penjaga dan keluarga masing-masing.

“Kebersihan tangan terutama selepas membersihkan anak-anak yang membuang air besar perlu menggunakan air dan sabun. Jangan gunakan sanitiser dan tisu basah semata-mata kerana tidak memadai untuk membersihkan ruang permukaan yang perlu dibersihkan," jelasnya.

Justeru, elakkan kanak-kanak dibawa ke lokasi yang menjadi tumpuan ramai bagi menghindari atau merebaknya jangkitan selain perlu mendapatkan air minuman yang cukup serta vitamin C untuk menggalakkan sistem imun badan berfungsi secara optima.

Sementara itu, Pakar di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, FPSK, UPM, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, ibu bapa, pihak taska, tadika dan pusat jagaan harian kanak-kanak perlu memberi kerjasama untuk mengurangkan kes jangkitan HFMD dalam kalangan kanak-kanak.

"Pusat jagaan harian dan guru tadika perlu bertegas sekiranya kanak-kanak mempunyai simptom awal HFMD, minta ibu bapa untuk tidak menghantar anak ke sana.

“Mereka juga diminta agar peka memastikan keadaan kesihatan anak-anak dan tidak menghantar ke pusat jagaan harian sekiranya mempunyai gejala awal.

“Selain itu, mak ayah juga perlu memastikan kediaman mempunyai sistem pengudaraan yang baik, kurang melakukan sentuhan fizikal dengan kanak-kanak dan melakukan sanitasi barangan mainan secara harian," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga mahupun pihak terbabit menjadi pemegang taruh terpenting dalam usaha membendung penularan jangkitan HFMD dan perlu sentiasa berwaspada.

Kanak-kanak atau individu yang dijangkiti pula, mereka perlu dikuarantin supaya tidak menjangkiti individu lain.

“Mohon semua dapat menjaga kebersihan diri demi mencegah penyakit ini,” ujar Dr Haliza.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan