HomeKomunitiKetinggalan dalam pelajaran, ini solusi yang diberikan guru tuisyen

Artikel Berkaitan

Ketinggalan dalam pelajaran, ini solusi yang diberikan guru tuisyen

Penularan pandemik Covid-19 baru-baru ini telah mengakibatkan ramai pelajar yang ketinggalan dalam pelajaran.

Ini kerana, mereka tidak dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka sebaliknya perlu menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada ketika itu.

PdPR secara dalam talian yang diperkenalkan dua tahun lalu mengakibatkan sebahagian besar anak-anak tercicir dalam banyak subjek.

Ketiadaan gajet untuk belajar, lokasi pembelajaran yang tidak menyeronokkan, masalah capaian internet, kehabisan data dan sebagainya adalah antara faktor membuatkan pelajar tidak dapat mengikuti PdPR dengan baik.

Kini, walaupun sesi persekolahan sudah pun bermula, tetapi masih terdapat para pelajar yang tetap ketinggalan dalam pelajaran.

Sudahlah tidak sempat ‘mengejar’ sukatan pelajaran sebelum ini, sekarang perlu belajar topik subjek yang terbaharu pula. Aduh!

Dalam perkara tersebut, pelbagai cara perlu dilaksanakan oleh semua pihak terutamanya ibu bapa. Mereka perlu memandang serius soal pelajaran anak-anak bagi memastikan golongan ini tidak terus ketinggalan dalam pelajaran masing-masing.

Ketika sesi tinjauan dilakukan Sinar Bestari terhadap topik berkenaan, terdapat ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen pilihan atau berdekatan dengan rumah.

Biarpun sekolah sudah dibuka, tetapi alternatif tambahan itu tetap diteruskan asalkan anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Guru tuisyen, Cikgu Maizura Moeen atau dikenali sebagai Cikgu Wawa memuji usaha bijak yang dilakukan oleh ibu bapa di negara ini.

Katanya, pelajar perlu berusaha menimba ilmu walau dalam keadaan apa sekalipun.
Cikgu Wawa berkata, permintaan terhadap kelas tuisyen secara berkumpulan di pusat tuisyen cukup tinggi pada masa sekarang.

Begitu juga dengan tuisyen secara persendirian yang sering diadakan di rumah. Permintaan terhadap kelas sebegini sentiasa ada kerana kelebihannya sangat banyak.

Jelas Cikgu Wawa, tuisyen secara persendirian di rumah memberi ruang kepada guru untuk fokus kepada seorang pelajar.

“Saya melihat kelas tuisyen di rumah menjadi pilihan ibu bapa yang mahu anak-anak dibantu dari peringkat asas lagi.

“Pelajar boleh bertanya apa sahaja kepada guru kerana hanya mereka berdua sahaja di dalam kelas tersebut.

“Mudah faham, senang ingat fakta dan formula serta sebagainya dapat membantu pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran dalam masa tertentu,” katanya yang merupakan pengasas Bright Minds Academy (pusat tuisyen) yang terletak di Kota Warisan, Sepang, Selangor

Sementara itu, guru Sains dan Kimia, Cikgu Nurulhana Nordin berkata, tuisyen di rumah dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran dalam komunikasi.

“Jika di sekolah, mungkin pelajar malu untuk bertanya dengan guru kerana keadaan kelas yang ramai pelajar.

“Tetapi dengan tuisyen di rumah, anda tidak perlu malu dan segan lagi. Tanyalah apa sahaja yang tidak jelas tentang subjek, guru tuisyen pasti dapat membantu dan pelajar tidak lagi ketinggalan dalam pelajaran,” katanya yang kini mengajar di Bright Minds Academy.

Artikel berkaitan 

Panduan menghasilkan minit mesyuarat yang tepat dan lengkap

Robotik muda SK Putrajaya Presint 11 (3) mula dikenali ramai, kini aktif cipta robot guna komponen lego

Menarik idea cikgu ini, jadikan sampul duit raya sebagai bahan pembelajaran murid Pemulihan Khas


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Terkini