WhatsApp Image 2022-11-15 at 12.14.13 PM (1)
WhatsApp Image 2022-11-15 at 12.14.13 PM (1)

Kewajaran pelaksanaan pilihan raya secara dalam talian

Adlan Farhan Azwan
17 Nov 2022 04:23pm
A
A
A

Di sebalik poster, manifesto, ceramah dan rapat umum yang mewarnai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, kita turut dilontarkan dengan persoalan tentang kebarangkalian bencana sewaktu pilihan raya, kesukaran melaksanakan tanggungjawab mengundi selain kurangnya motivasi sekali gus menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Antara solusi yang sering dicanang sejak beberapa tahun lalu adalah undi pos serta pengundian elektronik (e-undi).

Secara umumnya e-undi adalah kaedah membuang atau mengira undi yang dilaksanakan secara berkomputer sama ada dalam atau luar talian.

Cadangan tersebut semakin diterima sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 dalam usaha menjadikan demokrasi tetap subur walaupun dengan penjarakkan fizikal.

Ia telah diaplikasikan secara meluas di peringkat global dalam pelbagai proses pengundian berskala kecil seperti pemilihan ahli majlis tempatan, pimpinan peringkat negeri, perwakilan pelajar di universiti dan pemilihan jawatankuasa parti politik.

Namun pada skala yang lebih besar, hanya beberapa negara seperti Estonia, Filipina, India dan Brazil yang berani mengaplikasikan teknologi ini sepenuhnya dalam pilihan raya umum mereka.

Di Malaysia, usaha ke arah pelaksanaan e-undi telah banyak dibincangkan oleh kerajaan seiring dengan komitmen Transformasi Digital.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pernah mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pelbagai kaedah lain termasuk pengundian dalam talian sebagai usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Pengundian elektronik tingkat efisiensi, selesaikan isu undi rosak

Sepintas lalu, e-undi mempunyai banyak kelebihan seperti meningkatkan tahap keberkesanan semasa proses pengundian, menjimatkan kos melibatkan kertas undi dan penyediaan tempat mengundi, mengurangkan kesilapan manusia dalam pengiraan yang juga menjimatkan masa dan tenaga.

Dengan bilangan pengundi dalam negara melebihi angka 21 juta, SPR menganggarkan kos PRU15 mencecah RM1 bilion atau sekitar RM50 untuk seorang pengundi.

Sebagai perbandingan, pilihan raya umum berasaskan internet di Estonia (iVoting) hanya memerlukan kos sekitar €2.32 Euro (RM10.50) untuk seorang pengundi (Krimmer, 2018).

Selain itu, e-undi juga memberi lebih fleksibiliti kepada pemilih selain menyelesaikan isu undi rosak secara menyeluruh.

Pelaksanaan Undi18 buat julung kalinya pada PRU15 ini juga memperlihatkan lebih 1.4 juta pengundi baharu berusia 18 tahun dan ke atas akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Namun semangat untuk mengundi buat kali pertama mungkin sedikit direncat oleh kekangan kos untuk pulang ke tempat mengundi lantaran kebanyakan mereka adalah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Negara.

Memandangkan 350,000 atau 30 peratus daripada mereka adalah dari kumpulan B40, terdapat kemungkinan pelajar IPT terpaksa melupakan tanggungjawab mereka untuk memilih disebabkan faktor kewangan.

Oleh yang demikian, penyelesaian menerusi satu sistem yang tidak memerlukan kos logistik yang besar buat pengundi seperti e-undi perlu disegerakan.

Ini secara tidak langsung menggalakkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka seperti dibuktikan di India apabila teknologi Electronic Voting Machine (EVM) yang digunakan berjaya meningkatkan peratusan keluar mengundi sehingga 67 peratus, satu angka yang sangat besar bagi negara dengan 900 juta pengundi.

Optimumkan keselamatan kerahsiaan daripada diceroboh penggodam, bantu tingkatkan kepercayaan pengundi

Namun di sebalik kelebihan yang dinyatakan, e-undi turut disulami kegusaran berkaitan kebolehpercayaan dan tahap kerahsiaan.

Ia disokong oleh pakar sains komputer, Dr Steve Kremer dari French Institute for Research in Computer Science and Automation yang menyatakan sifat e-undi adalah berbeza dengan aplikasi elektronik yang lain seperti e-perbankan, e-dagang atau e-pembelajaran.

Mengambil e-perbankan sebagai contoh, sekiranya maklumat akaun pengguna digodam atau diubah, ia hanya memberi kesan kepada akaun pengguna terbabit dan tidak kepada akaun lain.

Berbeza halnya dengan e-undi yang mana perubahan satu undi yang digodam akan memberi kesan terhadap jumlah keseluruhan undi, sesuatu yang pasti menghilangkan kepercayaan terhadap keputusan pengundian.

Selain itu, e-undi memerlukan keseimbangan antara ketelusan dan kerahsiaan.

Mengambil kembali senario e-perbankan, pengguna umumnya sedia untuk berkongsi segala maklumat akaun dengan pihak bank, sekaligus memudahkan banyak urusan termasuk dalam kes pencerobohan dan keselamatan.

Ia berbeza dengan e-undi yang mana pemilih tentunya enggan berkongsi maklumat pengundian dengan mana-mana pihak atas dasar undi adalah rahsia, sesuatu yang amat rumit untuk dilaksanakan.

Selain itu, isu kebolehpercayaan dan integriti sistem dan pangkalan data berpusat juga mengundang kritikan seperti yang berlaku kepada sistem e-undi di Estonia, apabila beberapa kumpulan pakar keselamatan siber menyatakan sistem tersebut boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan pada tahun 2014.

Tambahan lagi, e-undi yang dibuat dalam persekitaran tanpa kawalan seperti pengundian internet melalui telefon pintar boleh membuka kepada pengaruh ekstrem sesetengah pihak sewaktu mengundi sehingga mampu mewujudkan persekitaran yang tidak neutral.

Walau apa yang terjadi, pasti akan muncul teknologi baharu untuk mendatangkan solusi antaranya teknologi rantaian blok.

Faktor ini menjadikannya hampir mustahil untuk diubah suai oleh pihak lain dan menjamin kerahsiaan dan ketelusan data yang menjadi elemen terpenting sebuah pilihan raya.

Seperti mana sistem sedia ada, e-undi perlu terlebih dahulu membuktikan ia boleh dipercayai oleh pengundi seperti pelaksaan audit berterusan.

Sebuah kumpulan pakar dan bebas juga perlu ditubuhkan bagi memantau kod sumber bagi mengenal pasti sebarang kelompongan dan kelemahan sistem e-undi.

Selain itu, pengundi secara keseluruhannya perlu mendapat kesedaran dan pendedahan terhadap teknologi maklumat (IT) yang mencukupi bagi memastikan mereka boleh mengendali sendiri proses ini tanpa bantuan pihak kedua.

Kejayaan Estonia dalam e-undi banyak didorong oleh sikap rakyatnya yang celik IT serta memberi sokongan penuh terhadap apa jua pembaharuan dalam tadbir urus yang berorientasikan teknologi.

SPR juga dicadang untuk mengambil melangkah seterusnya iaitu pengujian terhadap sistem e-undi tetapi pada skala yang lebih kecil seperti Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ia bukan sahaja memperkenalkan kaedah baharu ini kepada rakyat, tetapi sebagai pengujian terhadap pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

Apapun kesiagaan kita terhadap pengundian elektronik bukan hanya bergantung terhadap teknologi, sebaliknya mengambil kira kesedaran rakyat di samping tidak melangkaui garis perlembagaan.

Mengambil semangat Dasar IR 4.0 yang menjadi komitmen kerajaan, kita haruslah berani mengambil semua pendekatan berorientasi teknologi dalam menuju sebuah negara tekno-demokrasi yang adil, telus dan berperlembagaan.

Info penulis

Dr Ahmad Wiraputra Selamat

Pegawai Teknologi Maklumat Kanan

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak

Artikel berkaitan

PRU15: SPR kongsi langkah semakan masa mengundi dan keluar mengundi digalakkan

Tambang pulang pelajar IPT mahal, SPR diharap guna pendekatan undi pos

Undi18: KPT berperanan sediakan mahasiswa matang dalam politik - Noraini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan