HomeGen AlphaAktivitiLagu ‘Saya Anak Malaysia’ semarakkan semangat murid pelbagai kaum dan negeri

Lagu ‘Saya Anak Malaysia’ semarakkan semangat murid pelbagai kaum dan negeri

Seramai lapan orang murid sekolah rendah dari pelbagai kaum dan negeri telah menyanyikan semula lagu ‘Saya Anak Malaysia’ bagi menyemarakkan semangat perpaduan sempena sambutan Hari Malaysia 2022.

Usaha murni ini merupakan hasil cetusan idea daripada guru-guru Opsyen Sejarah Alumni Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Darul Aman (KDA), Kohort Pertama yang ingin memberi penekanan mengenai lagu patriotik yang semakin dilupakan oleh generasi muda.

Ia dilakukan menerusi penghasilan video nyanyian secara maya oleh para guru dan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Pemanis 1, Segamat, Johor; SK Jalan U3, Shah Alam Selangor; SK Dato Demang Hussin, Bukit Katil, Melaka; SK Darulaman Heights, Jitra, Kedah; SK Taman Impian, Bukit Mertajam, Pulau Pinang; SK USJ 2, Subang Jaya, Selangor dan SK Minden Height, Gelugor, Pulau Pinang.

Hana Melissa yang merupakan wakil dari SK Dato Demang Hussin, Melaka. 

Menurut salah seorang guru, Cikgu Nurhanis Zamshah, beliau berharap agar rakyat Malaysia dapat sama-sama meraikan Hari Malaysia pada 16 September ini dengan rasa bangga.

“Apabila kita meraikannya dengan penuh kebanggaan, ia bermakna kita menghargai diri sebagai Anak Malaysia,” kata beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi guru, Cikgu Izzah berkata, murid yang berasal dari negeri Johor, Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Kedah ini dipilih oleh guru-guru mereka dan diberikan panduan utk menghasilkan keharmonian dalam nyanyian yang disampaikan.

“Pemilihan murid dan lagu dibuat berdasarkan keputusan oleh rakan-rakan guru yang memperuntukkan masa lebih kurang seminggu untuk memastikan pilihan lagu yang sesuai dan menepati tema hari kebangsaan,” ujarnya.

Nur Aneesa pula mewakili SK Jalan U3, Selangor.

Mengulas lanjut, Cikgu Ilina menyatakan lagu patriotik seharusnya perlu tersemat dalam hati dan perlu diingati selalu bagi memberi impak yang luar biasa dalam mengekalkan semangat kenegaraan.

“Lagu patritotik juga merupakan nadi pencetus semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid yang pelbagai kaum di negara ini.

“Diharapkan dengan usaha ini akan dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda serta rakyat Malaysia,” jelas beliau.

Artikel berkaitan

8 kronologi kemerdekaan negara

Ambil semangat Bulan Kemerdekaan, PERMAS aktif menganjurkan pelbagai program dalam usaha menyemarakkan lagi semangat patriotik

7 tip hayati kemerdekaan cara Ustaz Quszaini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok