7 tip hayati kemerdekaan cara Ustaz Quszaini
7 tip hayati kemerdekaan cara Ustaz Quszaini

7 tip hayati kemerdekaan cara Ustaz Quszaini

Roshlawaty Md Raieh
25 Aug 2022 10:10am
A
A
A

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan minggu depan, banyak sekolah, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta mengadakan pelbagai aktiviti menarik.

Antara yang dianjurkan adalah pertandingan dekorasi kelas, koir lagu patriotik, pertandingan pakaian tradisional, menghasilkan video patriotik, mewawancara tokoh-tokoh kemerdekaan dan banyak lagi.

Guru Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan, Ipoh, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan berkata, kepelbagaian aktiviti bersempena Bulan Kemerdekaan wajar diadakan setiap tahun dalam memberi pendedahan kepada generasi muda tentang asas kemerdekaan yang sebenarnya.

Menurut beliau, asas kepada kemerdekaan bermula daripada pengorbanan pejuang-pejuang Tanah Melayu terdahulu.

“Kerana itu, proses kemerdekaan Tanah Melayu perlu diingati oleh semua terutamanya murid-murid peringkat rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi.

“Tidak lupa, semangat dan perjuangan kental penentangan penjajah oleh para pejuang, negarawan dan ulama juga haruslah diingati sampai bila-bila,” katanya kepada Sinar Bestari.

Mengulas mengenai bentuk aktiviti yang diadakan pihak sekolah, Ustaz Quszaini beritahu, penganjuran aktiviti kemerdekaan oleh guru-guru mungkin berbeza antara satu sama lain.

“Lain guru, lain ideanya. Bagaimanapun saya yakin, apa yang cikgu-cikgu lakukan adalah untuk memberi peluang dan ruang warga sekolah bersama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan,” ujarnya.

Bagi mendalami erti sebenar kemerdekaan, Ustaz Quszaini berkongsi tujuh cara penghayatan kemerdekaan yang boleh dilakukan oleh sekolah.

Cara-cara tersebut adalah:

1) Mengajak murid berpegang kepada al-Quran dan as Sunnah

Dalam Islam, kemerdekaan itu suci maksudnya. Apabila jiwa kita kosong dan belenggu hawa nafsu, lalu disemai dengan cinta dan taqwa kepada ALLAH, maka kesejahteraan, keamanan dan kedamaian akan muncul dalam diri. Al-Quran adalah pegangan kita sebagai umat Islam dan menjadi rujukan utama panduan hidup.

2) Mewujudkan nilai murni dan amalan harian di sekolah tanpa dipaksa

Sebagai contoh, murid-murid sudah tahu rutin harian seperti mengutip sampah, memberi sapaan salam kepada guru, bercakap lemah lembut, bertolak ansur dan hormat menghormati. Elemen dan nilai murni ini adalah amalan yang baik dan tidak dapat dijual beli. Ia dapat memelihara keharmonian dan kesucian agama dan budaya.

3) Mewujudkan tanggungjawab sivik

Tanggungjawab ini adalah nilai sosial yang sangat penting dalam membentuk sebuah negara yang demokratik dan masyarakat yang pelbagai.

Setiap murid harus bersikap cakna dan bertanggungjawab terhadap komuniti di tempat tinggal masing-masing.

Dalam bidang kokurikulum di sekolah, penglibatan murid dengan pelbagai latar belakang kumpulan memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan sikap dan tanggungjawab sivik dalam kalangan pelajar. Hormat menghormati budaya agama masing-masing adalah suatu kelebihan yang harus diraikan oleh murid-murid.

4) Berazam untuk berhijrah dari budaya tidak baik kepada lebih baik

Murid-murid perlu bijak dalam menguruskan masa seharian. Kesibukan dan keletihan rutin harian menyebabkan masa tidak dapat diurus dengan baik. Semangat yang tinggi amat penting dan mengurus tadbir masa dengan lebih efisyen dan sistematik.

5) Cuba mengenali tokoh dan informasi kemerdekaan

Pihak sekolah boleh menganjurkan kuiz mini dengan rakan dan keluarga dengan topik kemerdekaan. Ini adalah sebagai ganjaran usaha murni untuk menaikkan semangat merdeka rakyat Malaysia.

6) Murid-murid boleh hiasi rumah dengan Jalur Gemilang

Luangkan masa untuk menghias rumah dengan bendera Malaysia. Begitu juga boleh hiasi rumah dengan rona bendera Malaysia seperti merah, kuning dan biru.

7) Penganjuran pertandingan beragam sempena Hari Kebangsaan

Apabila adanya pertandingan ini, ibu bapa akan meneliti segenap segi pakaian dan aksesori yang digunakan anak. Tema Hari kebangsaan perlu diteliti, dan perlu ada nilai tambah bagi menzahirkan ekspresi dan interpretasi semangat patriotisme untuk dihayati bersama.

Kesimpulannya, nikmat kebebasan dan kemerdekaan seharusnya disyukuri dan dipertahankan sampai bila-bila.

Ini kerana, nikmat ini mampu membebaskan diri dan pemikiran kita daripada perbuatan yang mengundang kemurkaan ALLAH SWT.

Kata Ustaz Quszaini lagi, semangat patriotism tidak cukup sekadar menyambut hari kemerdekaan dan mengibarkan jalur gemilang sahaja, akan tetapi, membangunkan negara menurut acuan yang diredhai oleh ALLAH dan Rasulullah SAW itu yang paling penting.

Artikel berkaitan 

Cipta model roket bahan api pepejal ketika usia 9 tahun, Khawo kini ‘Rocketeer Termuda Malaysia’

“Mereka wira negara, bukan pengasuh anak kita!”- Guru bantah cadangan pesara tentera jadi warden

Warga UTeM diseru hayati erti dan tema kemerdekaan ke-65


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok