gambar hiasan
gambar hiasan

Mahasiswa stres kos sara hidup tinggi, kurang akses fasiliti awam, bantuan ‘cukup makan’

Rasyidah Zulkifi
30 Aug 2022 03:18pm
A
A
A

Susulan kenaikan harga barang di pasaran hingga menyebabkan kepada peningkatan kos sara hidup di bandar, mahasiswa universiti menghadapi tekanan ditambah pula dengan kekurangan akses kemudahan awam dan bantuan pendidikan yang diterima pula cukup-cukup makan sahaja.

Fadlin Syakina Zahariman, seorang penuntut di sebuah universiti awam mengakui dana pendidikan yang disalurkan kepadanya setiap semester sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan keperluan asas seperti makan minum dan sewa rumah.

Lebih mesra disapa Syakina, menurutnya, kos sara hidup sebagai mahasiswa yang menetap di kawasan bandar agak tinggi, tambahan lagi apabila dia perlu menyewa rumah luar dari kawasan kampus.

Mengulas lanjut, di rumah sewa, rangkaian internet Wi-Fi tidak disediakan oleh tuan rumah, ini memerlukannya mengasingkan sebahagian daripada duit biasiswa untuk membayar data internet dan ‘hotspot’ secara bulanan.

“Sekiranya saya menetap di dalam kampus sekalipun, capaian internet kurang memauskan kerana pelajar-pelajar lain juga menggunakan Wi-Fi sama yang disediakan oleh pihak universiti.

“Mahu tidak mahu, saya perlu berbelanja untuk membeli pelan internet sendiri bagi menyempurnakan tugasan yang diberikan oleh pensyarah,” ceritanya kepada Relevan.

Selain itu, Syakina juga memerlukan wang bagi membeli barangan keperluan peribadi, dobi dan kudapan untuk mengalas perut yang memakan kos kira-kira RM150 sebulan.

Pelajar jurusan perakaunan itu juga memberitahu bantuan pendidikan yang diberikan tidak cukup untuk membiayai pembelian buku-buku dan bahan ilmiah yang lain sehingga terpaksa menggunakan duit poket sendiri.

Sementara itu, seorang lagi mahasiswa universiti awam, Alya Najwa Mastuni, berkata, kesukaran untuk mendapatkan kemudahan bas di kawasan perumahan membuatkan dia terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk membeli barangan keperluan.

Tambahnya, caj perkhidmatan e-hailing yang tinggi menambah beban dalam kos perbelanjaan harian, namun dia terpaksa berbuat demikian untuk menyelesaikan urusan peribadi dan juga hal-hal berhubung pelajaran.

Luah anak sulung daripada tiga beradik itu, individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan servis kereta sewa pernah menipunya walaupun memegang status sebagai seorang pelajar.

Biarpun Alya Najwa merupakan pelajar universiti yang baharu sahaja meniti ke alam dewasa, dia sudah mempunyai kesedaran untuk mempunyai wang simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan.

“Jika saya mempunyai lebihan wang bantuan pelajaran, saya akan menyimpannya dengan cara melakukan pelaburan emas dan ini merupakan inisiatif kendiri untuk mempunyai wang simpanan bagi kegunaan masa kecemasan,” katanya yang enggan membebankan kedua ibu bapanya.

Sumber: Relevan

Artikel berkaitan

Mahasiswa kaki pancing, pilih hobi memancing sebagai rekreasi santai 

Menu makanan dengan harga siling RM3.50 untuk pelajar IPT, KPT bantu tangani peningkatan kos sara hidup

Kos sara hidup tinggi di luar kampus, perlu berjimat. Jom kita cuba masak sendiri


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan