Negara-negara di dunia yang anda jarang dengar, ini sebahagiannya
Berapa banyak sebenarnya jumlah negara di dunia? Mungkin beratus dan mungkin juga tidak sampai jumlah tersebut.
Jumlah negara di dunia ini berbeza berdasarkan definisi apakah itu sebuah negara. Tidak dinafikan juga bilangan negara ini boleh bertambah ataupun berkurang.
Sebagai info bersama, ada beberapa buah negara yang kurang dikenali tetapi masih wujud di dunia ini.
Jadi, kami di Sinar Bestari menyenaraikan lima buah negara yang mungkin anda tidak pernah dengar atau menjadi perbualan ramai.
Walaupun tidak popular, namun ia masih boleh dijadikan sebagai pengetahuan geografi antarabangsa pelajar.
Jom semak
1) Tonga
Negara ini terletak di kawasan Oceania dan mempunyai lebih 177 pulau yang sangat indah. Hasil utama ekonomi negara ini adalah melalui aktiviti pelancongan. Jika guru dan pelajar ingin ke sini satu hari nanti, anda akan menikmati percutian bersama alam semula jadi.
2) Eswatini
Mungkin antara sebab anda tidak pernah mendengar kerana negara ini dahulunya dikenali sebagai Swaziland sehingga tahun 2018.
Negara kecil ini terletak di antara Afrika Selatan dan Mozambique dan diperintah oleh seorang raja yang bernama Mswati III.
Seperti kawasan-kawasan lain di Afrika, negara Eswatini turut mempunyai habitat kehidupan liar yang sangat banyak. Pengunjung boleh menjumpai haiwan seperti hippo, antelopes dan singa dengan mudah. Kos sara hidup di negara ini juga lebih murah dari negara sekelilingnya.
Selain mempunyai habitat kehidupan liar yang sangat banyak, Eswatini juga mempunyai landskap bumi yang sangat cantik, banyak gunung ganang, air terjun dan juga sungai yang sangat sesuai dengan aktiviti berakit.
3) Kepulauan Comoros
Negara ini merangkumi tiga kepulauan kecil yang terletak berhampiran kawasan Tenggara Afrika.
Comoros juga dikenali kerana kepelbagaian biologi. Jika anda sedang melepak di kawasan pantai negara ini, kebarangkalian untuk menemui ikan paus humpback adalah sangat tinggi. Pengunjung juga boleh menjumpai terumbu karang yang masih berada dalam keadaan original di sini.
Selain dikenali kerana keindahan alam sekitar, Kepulauan Comoros juga terkenal dengan bau-bauan yang sangat harum. Oleh itu, ramai pengembara menggelarkan kepulauan ini sebagai ‘Perfume Isles. Ini kerana haruman bunga sering meresap ke dalam embun dan membuatkan kepulauan ini sentiasa berbau harum.
4) Kiribati
Negara Kiribati terletak di Lautan Pasifik dan mempunyai lebih kurang 100,000 orang penduduk di dalam keluasan sekitar 500 batu persegi.
Meskipun bukanlah sebuah negara yang besar, tapi Kiribati sebuah negara yang sangat aman dimana semua orang boleh menikmati keindahan semulajadi dan mendapatkan percutian yang selesa.
5) São Tomé and Príncipe
Dikelilingi pokok kelapa sawit dan pokok-pokok yang tinggi, negara ini sebenarnya merupakan bekas wilayah jajahan Portugal dan mendapat kemerdekaan pada 1975.
Seperti negara-negara lain yang disenaraikan di atas, ekonomi São Tomé and Principe adalah pada aktiviti pelancongan.
Pentadbiran negara ini bijak menyeimbangkan keindahan alam semula jadi dan juga pembangunan negara.
Banyak lagi sebenarnya negara-negara yang kurang dikenali yang ada di dunia ini.
Jika adik-adik cuba untuk mencari negara-negara berkenaan, sudah pastinya pelajar bakal terpesona dengan keindahan semulajadi yang ada di negara tersebut.
Artikel berkaitan
10 petua menjadi pemidato hebat, ini perkongsian Ikon Pemidato Malaysia
9 cara menghentikan tabiat makan berlebihan, elak obesiti
Lokasi-lokasi staycation di Selangor yang boleh dilawati bagi merehatkan minda