Panduan melahirkan graduan dinamik dan holistik, ini perkongsian pakar UTHM
Panduan melahirkan graduan dinamik dan holistik, ini perkongsian pakar UTHM

Panduan melahirkan graduan dinamik dan holistik, ini perkongsian pakar UTHM

Roshlawaty Md Raieh
11 Jan 2023 01:35pm
A
A
A

PENGLIBATAN mahasiswa dalam sukan mampu lahirkan graduan yang dinamik dan holistik,” kata Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Cawangan Pagoh, Johor, Farhawahidah Ahmad Puad menerusi kiriman artikel kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Kenyataan tersebut dibuat Farhawahidah dalam usaha memberitahu kebaikan bidang sukan kepada murid, pelajar dan juga mahasiswa.

Menurutnya, mahasiswa yang aktif bersukan sudah semestinya mampu meraih kecemerlangan dalam akademik sekali gus mencipta kejayaan berganda dalam dunia sukan.

Ujarnya lagi, sukan mampu melahirkan generasi profesional yang dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan sahsiah negara.

Jom ikuti perkongsian penuh Farhawahidah untuk rujukan para pembaca semua.

*****

Dasar Sukan Negara (DSN) menggariskan dua peranan utama institut pengajian tinggi (IPT) iaitu menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti sukan secara aktif dan menyediakan peluang belajar kepada atlet sukan di IPT.

Kedua-dua peranan ini memacu ke arah penyelarasan dan keseimbangan dalam prestasi akademik dan pencapaian dalam bidang sukan.

Kewujudan peranan ini mampu menangkis andaian yang mengatakan pencapaian sukan atlet akan ‘berkubur’ sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam IPT.

Penglibatan sukan di IPT adalah penting kerana dapat melahirkan generasi profesional yang dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan sahsiah negara, melahirkan generasi berfikiran matang dan mempunyai asas pendidikan cemerlang serta daya tahan fizikal dan mental yang kuat.

IPT sebagai institut pendidikan tertinggi semestinya menjadi tempat paling sesuai untuk menggilap kemahiran insaniah pelajar.

Pelajar IPT perlu mempunyai keinginan dan keupayaan untuk melibatkan diri ke arah pembentukan modal insan dengan minda kelas pertama.

Rohanida Ab Manaf dan Mohd Sofian Omar Fauzee (2002) menyatakan, aktiviti kokurikulum dapat memberikan latihan awal dari segi kepimpinan, sahsiah dan kemasyarakatan dalam kalangan pelajar.

Kepimpinan juga dapat dilatih melalui aktiviti pakaian seragam, persatuan, kelab dan sukan.

Mohd Hamidi Abdul Hamid (2002) pula menyatakan, ilmu memimpin dan mengurus bukannya seperti orientasi ilmu yang kebanyakannya berkisar di dalam kelas dan kertas-kertas ujian sebaliknya perlu melalui satu pendidikan yang mesti didalami dan dirasai sendiri oleh pelajar tersebut.

Ini kerana memimpin dan mengurus memerlukan mereka berhadapan dengan manusia.

Justeru, apabila pelajar diberikan ruang untuk melibatkan diri dalam pengurusan dan penyertaan aktiviti sukan, kelab atau persatuan, maka secara serentak mereka perlu memimpin dan menguruskan diri dan ahli-ahlinya yang memerlukan kebijaksanaan, komunikasi, interaksi, teknik dan strategi yang tertentu.

Akhir sekali, kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum perlulah seimbang ke arah melahirkan graduan yang dinamik dan holistik.

Artikel berkaitan 

8 sukan antarabangsa dalam negara, ini senarainya!

Mahu berjaya dalam sukan bola sepak? Ini kemahiran asas yang wajib pelajar tahu

Pasukan Wonder dari UTM diumum Juara Negara The 3M Inspire Challenge 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan