Pembelajaran Bahasa Melayu Berasaskan Projek: Pengajaran berkualiti ke arah kemenjadian murid
Pembelajaran Bahasa Melayu Berasaskan Projek: Pengajaran berkualiti ke arah kemenjadian murid

Pembelajaran Bahasa Melayu Berasaskan Projek: Pengajaran berkualiti ke arah kemenjadian murid

Roshlawaty Md Raieh
17 Jan 2023 11:24am
A
A
A

PEMBELAJARAN Bahasa Melayu Berasaskan Projek (PBMBP) merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah perkara #108 iaitu pemartabatan pendidikan Bahasa Melayu.

Ini merupakan usaha murni KPM bertujuan melahirkan murid yang memiliki keterampilan berbahasa Melayu yang selari dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Menurut guru Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jejawi, Teluk Intan, Perak, Cikgu Muhammad Affan Ahamad, rasional PBMBP ini dilaksanakan adalah untuk mewujudkan persekitaran yang konstruktif dalam Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21).

Tambah beliau, pemindahan ilmu pengetahuan murid dalam persekitaran sosial melalui pelbagai gaya pembelajaran juga berlaku serta pengimplementasian unsur Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diterapkan oleh guru.

Sambungnya, guru yang bertindak sebagai penggerak PAK-21 pada masa kini amat mementingkan aspek kemenjadian murid bagi menepati aspirasi murid yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

“Antara manfaat dalam pelaksanaan PBMBP di sekolah adalah membantu guru untuk melaksanakan penambahbaikan amalan pembelajaran dan pemudahcaraan.

“Perkara ini memberi peluang kepada guru mempelbagaikan pedagogi yang berkesan untuk menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui pembelajaran berasaskan projek,” ujarnya menerusi kiriman artikel kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang PBMBP ini, mari ikuti pandangan bernas Cikgu Muhammad Affan.

*****

PBMBP membantu guru meningkatkan kreativiti PdP mereka seiring dengan perubahan pendidikan semasa.

Sebagai guru yang cakna terhadap perubahan pendidikan pada masa kini, seharusnya menyedari terhadap kepentingan penguasaan literasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang menjadi perkara utama dalam Dasar Pendidikan Digital.

Melalui teras keempat dalam Rangka Tindakan (Bluprint) Ekonomi Digital Malaysia iaitu membangunkan bakat digital yang tangkas dan cekap dalam kalangan guru adalah untuk memastikan guru dapat menguasai sepenuhnya peralatan dan teknologi digital bagi urusan PdP.

Oleh itu, penguasaan TMK ini dapat diterjemahkan melalui PdP yang dilaksanakan oleh guru pada masa kini untuk memanfaatkan penggunaan TMK dalam PBMBP yang dijalankan.

Impaknya, penghasilan Bahan Bantu Belajar (BBB) dan penyebarannya dapat dilaksanakan secara meluas sebagai bahan sokongan pembelajaran murid mahupun rujukan kepada para guru lain melalui media sosial seperti di YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter.

Kredit Foto: Unsplash

Selain itu, PBMBP ini turut mengembangkan idea dan bakat murid. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) juga dapat dijelmakan melalui PBMBP.

Berdasarkan projek yang dihasilkan oleh murid, penjanaan idea murid melalui KBAT ini dapat dibentuk secara kolaboratif dan koperatif dalam kumpulan masing-masing.

Secara tidak langsung, aktiviti sumbang saran turut berlaku semasa proses berfikir yang dapat diterjemahkan melalui penggunaan peta I-Think mahupun peta minda.

Oleh itu, kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif dalam kalangan murid dapat dibentuk bermula daripada aras pengetahuan, pemahaman, pengaplikasian, penganalisisan, penilaian hinggalah ke aras penciptaan (Anderson, 2001).

Kesannya, tugasan projek mampu mendorong para murid melaksanakan pembelajaran bermakna yang meliputi aspek kehidupan harian murid.

Impaknya, penyelesaian tugasan ini dapat menyediakan ruang murid untuk meningkatkan daya berfikir bagi menyelesaikan dan menghadapi cabaran kehidupan dunia yang realistik.

Seterusnya, keseronokan dalam pembelajaran merupakan perkara penting untuk menarik minat murid untuk belajar.

Guru yang bertindak sebagai fasilitator seharusnya menyediakan peluang dan pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang PBMBP dilaksanakan.

Misalnya, dalam PBMBP yang berkaitan ‘Petani Muda’ turut diajar kepada murid-murid untuk menghasilkan cecair organik penghalau serangga serta pembuatan baja kompos yang menerapkan Elemen Merentasi Kurikulum (EMK) dan penggabungjalinan beberapa subjek lain seperti Sains mahupun Reka Bentuk Teknologi (RBT).

Semasa aktiviti PBMBP dilaksanakan, guru perlu memantau perkembangan projek murid dari semasa ke semasa supaya projek yang dilaksanakan menepati masa yang ditetapkan.

Dalam situasi ini, para guru turut dapat melaksanakan intervensi secara berperingkat dengan menerapkan pelbagai aktiviti secara berkumpulan.

Semasa aktiviti-aktiviti tersebut dilaksanakan, kemahiran bahasa seperti mendengar dan bertutur, membaca serta menulis sememangnya menjadi perantaraan dalam penyampaian ilmu kepada murid-murid.

Oleh itu, sewaktu PdPc dilaksanakan oleh guru, kemahiran bahasa dalam kalangan murid dapat dipraktikkan oleh mereka secara bimbingan melalui rakan sekumpulan mahupun daripada guru sendiri.

PBMBP memperkukuh kemahiran bahasa

PBMBP yang dilaksanakan oleh murid bukan sekadar melihat produk akhir yang dihasilkan.

Namun begitu, penguasaan kemahiran bahasalah yang menjadi perkara utama untuk diitaksir oleh guru dan pada akhirnya, PBMBP ini dapat memberikan keseronokan kepada para murid dan merangsang motivasi mereka untuk belajar.

Di samping itu, pelaksanaan PBMBP dapat memperkukuh kemahiran bahasa sewaktu PdP dilaksanakan. Antaranya, para murid dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti nyanyian, mencipta lirik lagu, deklamasi sajak dan juga lakonan. Secara tidak langsung, penyampaian ilmu seni bahasa tersebut dapat diterapkan bersama elemen didik hibur dalam aktiviti yang dilaksanakan ini. Perkara ini dapat memupuk murid untuk menyerlahkan bakat, minat dan potensi murid untuk diperkembang dan dibangunkan melalui aktiviti sedemikian.

Galakan dan peneguhan secara intrinsik mahupun ekstrinsik seharusnya diberikan oleh guru agar murid berasa yakin, berani dan tidak malu untuk tampil mempersembahkannya kepada orang lain.

Di sini, murid-murid dapat menampilkan ilmu seni bahasa melalui pelaksanaan kemahiran berbahasa dengan betul berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 yang menjadi panduan kepada para guru di sekolah.

Oleh itu, guru perlu memberikan kebebasan kepada para murid untuk berfikir dan mengekspresi idea mereka secara kreatif untuk diterjemahkan dalam pelbagai gaya persembahannya.

Impaknya, kesantunan berbahasa Melayu dalam kalangan murid dapat diperlihat melalui kemahiran-kemahiran bahasa tersebut.

Tambahan lagi, penglibatan aktif dalam kalangan murid menjadi teras utama dalam PAK-21 yang menepati Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPMg2) bagi standard yang ke-4 iaitu murid sebagai pembelajar aktif.

Guru sebagai fasilitator, perlu bertindak untuk merancang pembelajaran berpusatkan murid yang menggalakkan elemen sosial yang positif dalam kalangan ahli kumpulan murid tersebut.

Perkara ini memperlihatkan bahawa setiap murid haruslah bertanggungjawab untuk memainkan peranan mereka sebagai ahli kumpulan yang aktif untuk menyumbang idea dan bertanggungjawab menyelesaikan tugasan yang diamanahkan oleh guru serta memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, menghormati kekurangan dan kelebihan ahli kumpulan, berdisiplin juga kesungguhan.

Kerana itu, setiap tugasan yang dilaksanakan oleh murid haruslah mengikut garis panduan pelaksanaannya agar tidak tersasar daripada matlamatnya.

Oleh yang demikian, perancangan dan pelaksanaan PBMBP ini semestinya dirancang oleh guru dengan teliti agar hasil projek yang dilaksanakan ini benar-benar bermanfaat kepada murid.

Kredit Foto: Unsplash

PBD jadi perdebatan

Isu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) turut menjadi perdebatan antara warga pendidik sejak kebelakangan ini.

Situasi ini menjadi perkara yang perlu diperhalusi oleh pihak yang terlibat kerana menjadi kayu ukur terhadap kejayaan agenda negara.

Melalui PBMBP ini, para guru seharusnya mengambil peluang dengan sebaiknya untuk melaksanakan pentaksiran di dalam bilk darjah.

Perkara ini juga memberi kepelbagaian instrumen pentaksiran yang diguna pakai oleh para guru untuk melihat tahap penguasaan murid dalam kemahiran bahasa yang dipelajarinya.

Oleh itu, para guru perlu mengambil kira kepelbagaian aras perkembangan murid untuk melaksanakan pentaksiran secara menyeluruh dari aspek kognitif, psikomotor dan afektif. Pentaksiran ini dilakukan secara formatif kerana setiap aspek tersebut dapat diperlihat semasa aktiviti PBMBP dijalankan.

Melalui bimbingan rakan sebaya dalam kumpulan murid, penguasaan murid dalam pembelajaran pada hari tersebut dapat ditaksir oleh guru.

Murid yang lemah akan dibimbing oleh rakan sekumpulannya yang lebih mahir, pemberian tugasan yang lebih mudah dan penggunaan Bahan Bantu Belajar (BBB) yang sesuai diberikan kepada mereka. Maka, proses scaffolding (perancah) dalam kalangan murid turut berlaku agar murid yang lemah dapat menyelesaikan tugasan mereka sendiri.

Kesimpulannya, pelaksanaan PBMBP ini sememangnya menjadi PdPc yang amat penting kepada para guru untuk dilaksanakan secara sistematik iaitu di peringkat sebelum, semasa dan selepas untuk memberi pengalaman yang amat bermakna kepada para murid.

Pada masa yang sama, penerokaan ilmu baharu dalam kalangan murid dapat diaplikasikan dalam kehidupan mereka agar mampu melahirkan insan yang seimbang dan holistik dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Kredit Foto: Unsplash

Sehubungan itu, pihak guru hendaklah menerima kekurangan dan kelebihan yang dimiliki oleh murid dan memanfaatkan setiap potensi yang dimiliki oleh murid agar dapat mengembangkan bakat dan kreativiti mengikut keupayaan tersendiri.

Pihak sekolah perlu menjadikan pembelajaran berasaskan projek ini sebagai batu loncatan ke arah kecemerlangan murid dari pelbagai aspek.

Jadikanlah PBMBP ini sebagai pembudayaan ilmu yang perlu dinormalisasikan sebagai pedagogi yang kreatif, kritis dan inovatif dalam kalangan guru bahasa Melayu pada masa kini. Pastinya, kemenjadian murid yang menjadi tunjang dalam agenda Transformasi Sekolah (TS25) dapat direalisasikan dari awal lagi bermula daripada PdPc yang kreatif melalui PBMBP.

Artikel berkaitan 

Pusat Pembelajaran UKM bantu komuniti yang ingin sambung pengajian dan tingkatkan kemahiran

Panduan melahirkan graduan dinamik dan holistik, ini perkongsian pakar UTHM

Bahana mengejar KPI, kompetensi dan profesionalisme pensyarah terjejas


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan