HomeIPTBuletin IPTPusat Pembelajaran UKM bantu komuniti yang ingin sambung pengajian dan tingkatkan kemahiran

Pusat Pembelajaran UKM bantu komuniti yang ingin sambung pengajian dan tingkatkan kemahiran

Penubuhan Pusat Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilihat berperanan besar dalam memperkasakan keterlibatan antara masyarakat dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, penubuhan Pusat Pembelajaran UKM bakal membuka akses pendidikan yang lebih luas kepada penduduk setempat dan kawasan sekitar bukan sahaja untuk melanjutkan pengajian dalam program-program akademik tetapi juga kursus pendek berbentuk formal dan tidak formal bagi meningkatkan kemahiran.

“Universiti dengan komuniti ialah dua entiti yang tidak dapat dipisahkan kerana banyak penyelidikan dan juga program yang dilaksanakan telah menyumbang kepada kemakmuran masyarakat.

“Tahniah kepada UKM yang telah merancang dengan rapi pelbagai jenis program untuk ditawarkan melalui Pusat Pembelajaran ini.

“Tidak terhad kepada program pengajian di tahap prasiswazah, siswazah dan kedoktoran, bahkan pelbagai kursus kemahiran jangka masa pendek seperti sijil profesional dan ‘microcredentials’ turut ditawarkan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Pembelajaran UKM di Parit Sulong, Johor, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Ekhwan Toriman.

Sementara itu, Ekhwan berkata, terdapat tiga kursus pendek yang ditawarkan di Pusat Pembelajaran UKM itu yang terdiri daripada Kursus Asas Perakaunan, Kursus Pendidik Abad Ke-21 serta Kursus Penuaan dan Rehabilitasi Geriatrik (SPPR).

Ujar Ekhwan, setiap kursus pendek itu mempunyai peranannya masing-masing.

“Kursus Asas Perakaunan bagi peniagaan kecil menyasarkan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana yang ingin membangunkan sistem simpan kira sistematik, penyediaan penyata untung-rugi dan kunci kira-kira bagi perniagaan mereka.

“Bagi Kursus Pendidik Abad Ke-21 pula ia akan disertai golongan pendidik seperti guru, pensyarah matrikulasi, politeknik dan kolej komuniti bagi mendedahkan mereka dengan kemahiran reka bentuk pengajaran (instructional design), pedagogi juga kaedah penilaian berasaskan pembelajaran abad ke-21.

“Kursus pendek yang ketiga iaitu kursus SPPR merupakan salah satu usaha yang meningkatkan kebolehpasaran pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan memfokuskan kepada perkara-perkara berkaitan penuaan termasuklah bidang fisioterapi, terapi cara kerja, dietetik, audiologi dan terapi pertuturan,” jelas beliau.

Dengan kewujudan Pusat Pembelajaran UKM ini, kami di Sinar Bestari berharap agar komuniti setempat dapat merebut segala peluang yang diberikan sebaik mungkin.

Artikel berkaitan 

Saintis UKM cipta formulasi gel, bantu golongan disfagia menelan ubat-ubatan dengan baik

Penyelidik UKM dan UNIMAS hasilkan sistem penskoran madu kelulut UKSF

Berjaya kumpul RM21,570 untuk projek khidmat masyarakat, usaha keras 7 pelajar master UKM dipuji ramai


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok