
Pengasas Algebra rupanya ilmuwan Islam yang terkenal
MESTI ramai dalam kalangan pelajar biasa mendengar perkataan Algebra dalam subjek Matematik.
Algebra adalah topik asas dalam subjek Matematik sekolah menengah. Ia dipelajari ketika pelajar berada di Tingkatan Satu dan akan digunakan hingga ke peringkat universiti (sekiranya pelajar itu mengikuti pengajian jurusan Matematik di menara gading).
Secara umumnya, Algebra boleh dikatakan satu cabang dalam Matematik yang menggunakan penyataan Matematik bagi menerangkan hubungan antara dua kuantiti unit, masa dan lain-lain.
Setiap penyataan Matematik bagi menghubungkan dua kuantiti tersebut biasanya disertakan dengan penggunaan simbol abjad (biasanya x ,y atau z) untuk menerangkan hubungan satu kuantiti dengan kuantiti yang lain.
Penggunaan simbol tersebut dipanggil pembolehubah. Algebra bukan sahaja melibatkan penggunaan simbol malah ia melibatkan aktiviti mencari penyelesaian terhadap masalah di dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks Algebra ini, pernahkah pelajar terfikir siapa pengasasnya? Apa nama beliau, berasal dari mana, apa sumbangannya dan sebagainya.
Sinar Bestari tertarik dengan hantaran di Facebook Zahiruddin Juatin yang berkongsi tentang pengasas Algebra.
Dalam hantaran itu, Zahiruddin memberitahu, pengasas Algebra merupakan ilmuwan Islam yang sangat terkenal dan menjadi rujukan utama dalam bidang Matematik sehingga hari ini dan beliau yang dimaksudkan adalah Al-Khawarizmi.
Selain Al-Khawarizmi, terdapat beberapa lagi ulama atau ilmuwan Islam yang pakar dalam bidang Sains dan Matematik.
Mereka ialah Ibnu Sina, Al-Farabi dan Al-Biruni.
Di sini, mereka bukan sahaja pakar sebagai seorang Saintis atau Matematik, tetapi mereka juga menguasai cabang ilmu Islam seperti al-Quran, Hadis, Tafsir dan lainnya.
Untuk mengetahui tentang latar belakang empat ulama ini, Sinar Bestari kongsikan sedikit profil diri mereka sebagai panduan pelajar.
Ini maklumatnya!
1) Al-Khawarizmi
Nama Sebenar: Abu Abdullah Muhammad Ibn Musa Al-Khawarizmi
Gelaran: Mendapat gelaran Al-Khawarizmi, Al-Goritmi, Al-Karismi dan pelbagai versi ejaan yang lainnya.
Latar belakang: Beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang Falsafah, Logik, Aritmetik, Geometri, Kejuruteraan, Kimia dan Sejarah Islam. Dalam masa sama, beliau juga terkenal dalam bidang Astronomi dan Ilmu Falak.
Sumbangan: Antara karya atau sumbangan besar beliau adalah kitab ‘Al-kitab Al-mukhtasar Fi Hisab Al-jabr Wa'l muqabala’ atau ‘Kitab yang Merangkumi Perhitungan Pelengkapan dan Penyeimbangan’ yang membincangkan secara khusus tentang algebra.
2) Ibnu Sina
Nama sebenar: Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah Ibn Hasan Ibn Ali Ibn Sina
Gelaran: Ibnu Sina atau lebih dikenali Avicenna di dunia barat.
Latar belakang: Mempelajari ilmu Bahasa dan Sastera, Geometri, Matematik, Sains, Fiqh dan Perubatan. Walaupun beliau mempelajari pelbagai bidang ilmu namun beliau lebih menonjol dalam ilmu perubatan sama ada sebagai seorang doktor mahupun pensyarah.
Sumbangan: Sumbangan terbesar beliau adalah bukunya yang bertajuk ‘Al-Qanun Fi Al-Tibb’ yang telah diterjemahkan kepada lebih 15 bahasa dan telah menjadi rujukan dalam dunia perubatan.
3) Al-Farabi
Nama sebenar: Abu Al-Nasr Mohammad Ibn Al Farakh Al Farabi
Gelaran: Digelar sebagai Al-Farabi atau lebih dikenali sebagai Alfarabius di dunia barat.
Latar belakang: Beliau terkenal sebagai seorang yang bijak sejak kecil dan pendidikan awalnya adalah dalam bidang al-Quran, Kesusateraan, Tafsir, Fiqh dan Ilmu Hadis. Beliau juga terkenal dalam bidang falsafah sehingga digelar 'ahli falsafah' selepas Aristotel.
Sumbangan: Walaupun beliau lebih terkenal dalam bidang falsafah dan sosiologi, namun Al-Farabi juga terkenal dalam ilmu perubatan terutamanya melalui kitabnya ‘Ihsa' al-Ulum’ yang menceritakan tentang perspektif bagi prinsip-prinsip dasar dan klasifikasi sains.
4) Al-Biruni
Nama sebenar: Abu Raihan Muhammad bin Ahmad Al-Biruni
Gelaran: Terkenal dengan gelaran Al-Biruni dan juga digelar sebagai ‘Ustaz Fil Ulum’ bermak sud Guru Segala Ilmu.
Latar belakang: Beliau terkenal sebagai seorang yang pakar dalam pelbagai jenis bidang ilmu seperti Matematik, Astronomi, Ahli Fizik dan falsafah.
Sumbangan: Antara sumbangan terpenting beliau ialah menentukan musim dan pasang surut air laut, menentukan kedudukan garis lintang dan garis bujur bumi, mencipta jam dan kalendar, mencipta rumus trigonometri dan mencipta alat menyukat ketumpatan.
Sumber: Facebook Zahiruddin Juatin
Artikel berkaitan
Guru Sains kongsi 3 kaedah perubatan untuk panduan pelajar Tingkatan 4
Rezeki Cikgu Norrafizan! Dulu jadi pelajar sekarang dilantik guru silat pula
5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!