Dulu pelajar, kini guru silat. Hebatnya Srikandi MARA ini
Dulu pelajar, kini guru silat. Hebatnya Srikandi MARA ini

Rezeki Cikgu Norrafizan! Dulu jadi pelajar sekarang dilantik guru silat pula

Roshlawaty Md Raieh
02 Sep 2022 12:11pm
A
A
A

Minat Norrafizan Mohklas terhadap seni silat berputik ketika berusia 14 tahun lagi.

Ketika itu, beliau menyertai Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia di gelanggang Cikgu Lamsah, Tanjung Karang, Selangor dan mula menjalani latihan beberapa acara silat bermula acara masal, silat olahraga, solo kreatif, jurus wajib (regu), ganda dan jurus tunggal.

Menyedari bakatnya dalam dunia persilatan, Norrafizan nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan meraih pelbagai kejayaan dalam seni mempertahankan diri ini.

Kerana ketekunan dan bakat luar biasanya dalam seni bela diri itu, Norrafizan pernah meraih pingat perak Acara Ganda Puteri dalam Asean University Games Surabaya 2004, juara Jurus Wajib Regu dalam Kejohanan Silat Universiti Utara Malaysia Sintok dan kerap memenangi Acara Tempur (Ganda Puteri) dalam kejohanan lain peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun 2002-2005.

Dalam masa sama, beliau juga mempunyai pengalaman bertugas yang cukup banyak, antaranya sebagai Wasit Juri MARA, Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan, PESAKA Melaka yang membawa kepada kejayaan lulus kenaikan Wasit Juri Kelas 3 Antarabangsa, baru-baru ini.

Seterusnya, Norrafizan yang kini Guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka mengambil langkah dengan berkongsi ilmu silat kepada anak-anak muda khususnya pelajar-pelajar MRSM.

Katanya, warisan seni ilmu persilatan perlu dipertahan dan diturunkan kepada generasi baharu supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

Mengulas lanjut, Cikgu Norrafizan yang kini digelar Srikandi MARA berkata, pelajar MRSM telah didedahkan dengan dunia persilatan untuk membentuk sahsiah dan memiliki gaya hidup yang sihat agar menjadi seorang insan dalam masyarakat.

“Anak-anak MRSM sememangnya memiliki IQ (intelligence quotient) yang tinggi. Seni silat yang didedahkan kepada mereka dapat membantu menjadikan minda lebih cerdas, proaktif dan membentuk sahsiah dan jati diri.

“Walaupun berhadapan dengan kekangan masa dan kepadatan program akademik maktab, namun ia tidak menghalang pelajar ini berjaya dalam kokurikulum.

“Mereka bijak mengurus masa dalam mengimbangi penglibatan kurikulum dan kokurikulum. Mereka juga mampu menunjukkan prestasi silat yang baik walaupun hanya berlatih di saat akhir sebelum pertandingan berlangsung,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cikgu Norrafizan melahirkan rasa syukur kerana sentiasa mendapat sokongan dan perhatian daripada suaminya untuk terus mengembangkan bakat dalam persilatan.

“Suami, Mohd Amir Mohd Saliman sentiasa beri motivasi agar saya meneruskan minat dalam silat dan terus memberi sumbangan dalam bentuk mengajar demi mewariskan ilmu persilatan kepada pelajar MARA dan yang lain-lain,” tuturnya.

Artikel berkaitan 

6 peraturan baharu dalam sukan silat

Guru Cemerlang kongsi jalan pintas skor A+ Kimia SPM 2022

(VIDEO) Guru ‘unboxing’ pencukur rambut, beri amaran buat pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan