pengetua celik digital
pengetua celik digital

Pengetua perlu kuasai bidang pendigitalan, ini antara sebab-sebabnya

Adlan Farhan Azwan
11 Sep 2022 01:06pm
A
A
A

Pada era moden selepas endemik ini, penguasaan dalam bidang pendigitalan sistem pendidikan merupakan satu kemahiran yang wajib dikuasai oleh para pendidik termasuklah pentadbir.

Ini kerana, pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah tidak lagi terbatas pada pedagogi tetapi juga heutagogi, peeragogi dan cybergogi.

Sebagai pengetua yang menjadi nahkoda sesebuah organisasi, setiap tindak tanduk anda sudah semestinya dilihat sebagai panduan kepada guru-guru serta kakitangan yang lain.

Pengurus Perkembangan Kurikulum Pusat Pendidikan Al Hikmah, Shah Alam, Mohd Fairul Nafazli Md Nazin mempunyai cara tersendiri untuk memotivasikan para guru serta rakan sekerja yang lain bagi menguruskan dan memanfaatkan pendidikan digital sebaik mungkin dalam sesi (PdP) di sekolah.

Menurut beliau yang juga merupakan mantan Pengetua Sekolah Menengah Islam Al Hikmah Shah Alam, Selangor, pandemik Covid-19 telah mengubah landskap pendidikan negara dan seluruh dunia.

“Ketika saat masih ramai yang terkesan dengan pandemik tersebut, saya telah mengambil langkah drastik dengan meningkatkan kemahiran semua platform digital yang ada di Malaysia.

“Antaranya ialah Edidik Malaysia, Sahabat Guru Malaysia, Digital Classroom Malaysia, Google Classroom Training Malaysia dan banyak lagi platform digital lain.

“Ia terbukti dapat memberikan impak yang luar biasa dalam merencanakan pengurusan di sekolah,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Tidak terhad setakat itu, beliau juga melaksanakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) dan menyampaikan kemahiran teknologi digital di sekolah kepada guru-guru.

Di samping itu, Mohd Fairul telah mengambil pensijilan antarabangsa berkaitan Google Education iaitu Google Certified Trainer (GCT) yang kini dikenali sebagai Google For Education Certified Trainer(GfeCT).

Muallim Fairul ketika menerima penghargaan sebagai Ikon Guru Digital Pusat Pendidikan Al Hikmah.

Penyertaan beliau dalam Akademi YouTuber Guru Malaysia (AYU) yang memberi pendedahan tentang penciptaan kandungan turut memberikan nilai tambah dalam menghasilkan video pendidikan yang berkualiti sehingga dapat menghasilkan saluran YouTube sendiri iaitu Muallim Fairul.

Ilmu ini diterapkan dan digunakan sepanjang beliau di sekolah dan berjaya melahirkan YouTuber Pendidikan di bawah pengendalian beliau.

Mohd Fairul yang kini merupakan salah seorang mentor bagi akademi tersebut sering meluangkan masa untuk menyampaikan ilmu yang terdapat dalam segmen khas di AYU.

Sementara itu, sejarah tercipta apabila beliau menerima beberapa penghormatan antaranya Play Button terawal bersama 23 guru lain di Malaysia, graduan pertama Panitia Dini JAIS di AYU dan Sukarelawan Terbaik AYU.

Mohd Fairul berkata, perubahan sistem pendidikan negara telah mengubah cara pemikiran kita semua dan banyak perkara perlu diterokai agar dapat merealisasikan PdP pada era digital ini.

“Jauhkan diri daripada mendengar komen negatif agar kita terus fokus kepada matlamat yang kita hendak kecapi demi kebaikan pelajar dan sekolah.

“Pengalaman terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan juga menjadikan saya terus bersemangat untuk menambah ilmu berkaitan dengan dunia teknologi pendidikan ini.

“Bukan pangkat dan jawatan yang dicari tetapi apabila kita dapat memberikan motivasi kepada diri sendiri dan juga orang lain, itulah perjuangan pendidikan yang sebenar,” tambahnya.

Kini beliau menyandang tanggungjawab sebagai Jawatankuasa Pusat Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (i-Guru) serta Yang dipertua i-Guru Selangor, Timbalan Pengerusi Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) dan merupakan Jurulatih Utama di Edidik Malaysia.

Tidak hairanlah sekiranya Mohd Fairul telah menerima Anugerah Khas AYU, Anugerah Sukarelawan Pendidik, Anugerah Google Certified Trainer (GCT), Anugerah Google Classroom Educator dan Anugerah Ikon Inovasi Digital di Majlis Anugerah Cemerlang Pusat Pendidikan Al Hikmah 2022 atas sumbangan dan jasa beliau dalam pendidikan.

Artikel berkaitan

Peserta teruja sertai Kem Sains Cuti Sekolah 2.0

Teknologi pelengkap guru kalis masa hadapan

Raikan guru cemerlang yang memanfaatkan dunia digital


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan