Pic 3
Pic 3

Raikan guru cemerlang yang memanfaatkan dunia digital

Adlan Farhan Azwan
19 May 2022 12:23pm
A
A
A

Kuala Lumpur -Guru-guru dan warga pendidik di seluruh Malaysia berdepan pelbagai cabaran dalam mengurus dan menyesuaikan kaedah pengajaran mereka sepanjang tempoh pandemik sehingga sekarang.

Salah satunya ialah menggunakan pembelajaran secara dalam talian menerusi pelbagai platform seperti Google Classroom.

Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo berkata, beliau amat berbesar hati bagi pihak Google kerana dapat membantu ramai guru dan pendidik di seluruh Malaysia untuk mencipta peluang pembelajaran dalam talian yang inklusif sekali gus menawar pengalaman pembelajaran yang hebat kepada pelajar mereka melalui alat dan platform digital Google.

“Melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), 3.5 juta pengguna boleh mengakses aplikasi Google Workspace dan Google Classroom di platform DELIMa, menjadikannya salah satu platform pembelajaran digital yang terbesar,” katanya ketika acara Hari Guru Google Malaysia yang diadakan secara dalam talian.

Baca juga

Cara pindah soalan tanpa ‘copy paste’, dari ‘Word’ ke ‘Google Form’

Persiapan pendigitalan aspek penting buat mahasiswa perguruan, kaedah pengajaran konvensional tidak diabaikan

Acara tersebut menyaksikan pelbagai perspektif dikongsi oleh sekumpulan guru mengenai langkauan sempadan digital di sekolah masing-masing dalam sebuah perbincangan panel yang dikendalikan oleh Pengurus Komunikasi di Google Malaysia, Nadia Khan.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desa Jaya, Pasir Gudang, Cikgu Benny Lau yang juga merupakan ketua Kumpulan Pendidik Google (GEG) Pasir Gudang, berkongsi mengenai webinar yang pada mulanya dianjurkannya untuk sekolahnya.

Cikgu Benny menggunakan teknologi pendigitalan untuk pembelajaran di dalam kelas.

Kini, ia telah menarik minat guru di seluruh negara dan beberapa sesi webinar telah dimuat naik ke saluran YouTube miliknya yang turut menganjurkan video tutorial serta petua kaedah menggunakan Google Workspace for Education.

“Walaupun seseorang mungkin mempunyai pengetahuan terdahulu tentang alat digital seperti Google Docs, Slides dan sebagainya, webinar sebegini membenarkan para pendidik untuk menemui pendekatan baharu kepada amalan semasa mereka.

“Salah satu contoh yang jelas adalah cara seorang guru menggunakan Google Docs untuk menjalankan tugas Kajian Tindakan, sebuah inisiatif yang secara tradisinya dilakukan menggunakan pen dan kertas,” jelasnya.

Guru SMK Rancha-Rancha, Labuan, Cikgu Cladius Upin turut berkongsi cara beliau meningkatkan penyertaan kelas daripada 50 kepada 80 peratus dengan mengadakan pelajaran pada waktu petang untuk kelas Bahasa Inggeris bagi calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Penggunaan alat digital dalam pengajaran saya telah menyebabkan beberapa penglibatan yang tidak dijangka daripada pelajar saya. Mereka mula berani dan berusaha untuk bertutur dalam bahasa Inggeris," ujarnya.

Sementara itu, guru di Kolej Matrikulasi Selangor, Cikgu Nashimah Banu pula berkongsi tentang pengurusan pengajaran digital dalam sistem matrikulasi dengan memberi penerangan tentang cara memahami beberapa topik yang paling tidak digemari oleh pelajarnya dalam mata pelajaran Biologi seperti ‘spesiasi’.

“Pembelajaran Berasaskan Inkuiri merupakan antara kaedah yang diguna pakai yang memerlukan para pelajar bagi menjalankan penyelidikan untuk mewajarkan pilihan jawapan mereka.

“Saya melanjutkan pendekatan ini dengan meminta pelajar untuk mencipta spesies mereka sendiri dengan sokongan bahan dan rujukan ilmiah yang diperoleh daripada Google Scholar,” tambahnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Dalam pada itu, penerima anugerah bimbingan Akademi Penginovasi Google tahun 2022 dari Malaysia, Cikgu Premalatha Selvaraj yang juga merupakan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Krian, Nibong Tebal, Pulau Pinang telah mengadakan lebih 130 bengkel untuk para guru merentasi rantau Asia Pasifik sejak 2015.

Menurutnya, sekolah beliau telah menyertai pelbagai pertandingan robotik serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) malah baru-baru ini dinobatkan sebagai juara di sebuah pertandingan peringkat kebangsaan.

“Sebagai seorang jurulatih untuk Akademi Penginovasi Google, saya cukup bertuah kerana diberi peluang untuk berinteraksi dan belajar daripada para jurulatih dari negara jiran yang juga menghadapi cabaran yang sama.

"Kami amat bernasib baik kerana dengan kemajuan alat dan platform digital seperti Google Classroom, para guru dapat mengatasi masalah penyambungan melalui penggunaan ciri luar talian,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok