azam-kolej teknologi-darul-naim
azam-kolej teknologi-darul-naim

Peranan Guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak lahirkan modal insan holistik

webadmin
14 Jul 2022 04:37pm
A
A
A

Ahli psikologi terkemuka dunia, Jean Piaget berpendapat, peringkat umur dua hingga tujuh tahun adalah peringkat yang paling pesat bagi perkembangan seseorang.

Peringkat ini juga dikenali sebagai peringkat praoperasi yang membuktikan kanak-kanak sudah berupaya untuk berfikir secara simbolik dan mudah belajar dengan menggunakan objek sebenar serta gambar yang berwarna-warni.

Oleh itu, bagi mencapai perkembangan kanak-kanak secara holistik, peranan guru pendidikan awal kanak-kanak menjadi perkara paling penting untuk menggilap bakat mereka semasa berada di awal bangku persekolahan lagi.

Peranan pertama yang perlu dilakukan oleh guru pendidikan awal kanak-kanak bagi melahirkan modal insan holistik adalah melalui penerapan ilmu agama dan nilai-nilai murni.

Secara umumnya, asas kepada perkembangan kanak-kanak yang positif adalah melalui sikap cemerlang sama ada daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

Guru perlu menekankan pendidikan agama dan nilai murni yang berterusan di dalam kelas kerana adab kanak-kanak cukup sinonim dengan kemenjadian mereka pada masa hadapan.

Sebagai contoh, melalui pembelajaran Sains Awal, guru mungkin dapat mengintegrasikan elemen ketuhanan semasa mengajar kanak-kanak tentang aktiviti mengenal tumbuh-tumbuhan agar mereka terus bersyukur kepada-Nya.

Jelaslah bahawa nilai agama sangat penting diterapkan kepada kanak-kanak kerana selain dapat mempelajari sesuatu berdasarkan sumber yang sahih, mereka juga akan sentiasa mengingati tentang peranan mereka sebagai seorang insan di muka bumi ini.

Sehubungan itu, Malaysia dilihat mempunyai banyak pusat pendidikan awal kanak-kanak berorientasikan agama seperti Little Caliph, Brainy Bunch, Children Islamic Centre (CIC) bagi melengkapkan mereka dengan nilai murni dan ilmu agama supaya dapat menempuh cabaran dunia pada masa akan datang.

Selain itu, peranan kedua yang dapat dilakukan oleh guru pendidikan awal kanak-kanak adalah dengan meningkatkan penguasaan kepelbagaian ilmu pengetahuan kanak-kanak melalui aktiviti secara langsung atau 'hands on experience learning'.

Banyak pusat pendidikan awal kanak-kanak pada masa kini yang kurang menitikberatkan kemenjadian murid secara efektif melalui aktiviti yang menarik, sebaliknya lebih memilih aktiviti berat seperti menghafal, menulis, membaca, mengira dan menyalin.

Sewaktu kita kecil dahulu, pastinya kita tidak akan melepaskan peluang untuk menonton rancangan Teletubbies kerana setiap aktiviti yang cuba ditampilkan dalam rancangan itu akan membawa kita kepada dunia mereka.

Begitu juga kanak-kanak apabila berada di prasekolah, tadika atau taska yang berharap guru untuk menjalankan aktiviti yang menarik seperti eksperimen, aktiviti luar kelas, aktiviti fizikal, nature walk, lawatan ke tempat sejarah atau aktiviti mereka cipta.

Melalui penyertaan aktiviti sebegini, guru dapat memantapkan pemikiran kanak-kanak untuk membuat keputusan dan kemahiran komunikasi mereka akan bertambah baik.

Jika kita melihat kanak-kanak di Amerika Syarikat, semasa berumur empat tahun, mereka mampu berkomunikasi dengan jawapan yang baik apabila ditanya guru kerana sering kali didedahkan dengan pengajaran berpusatkan aktiviti dan bukan berpusatkan guru semata-mata.

Seterusnya, peranan yang perlu dilakukan oleh guru untuk mencorak kehidupan kanak-kanak yang lebih baik pada masa akan datang adalah dengan menekankan pembelajaran berunsurkan teknologi.

Hari ini, teknologi dilihat sebagai elemen penting bagi mewujudkan pemikiran kanak-kanak yang lebih terbuka tentang isu-isu global.

Jadi, suka atau tidak, guru-guru pendidikan awal kanak-kanak perlu menguasai kemahiran ini kerana segala maklumat dan ilmu pengetahuan sudah sedia di hujung jari.

Jika lihat dari perspektif yang lebih dekat lagi, negara kita sedang menempuh cabaran pendidikan abad ke-21 di mana cabarannya adalah menguji tahap kemahiran pedagogi seseorang guru untuk mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran.

Ia boleh dilaksanakan melalui dua cara yang berbeza sama ada penguasaan guru mengaplikasikan teknologi semasa mengajar ataupun pemindahan maklumat kepada murid-murid melalui penggunaan teknologi semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Hakikatnya, kanak-kanak sekarang didedahkan dengan teknologi yang rata-rata sudah mempunyai telefon pintar pada usia muda.

Justeru, guru dilihat sebagai jentera utama yang perlu memanfaatkan peluang ini bagi meningkatkan keupayaan kanak-kanak untuk menggunakan kemudahan teknologi dengan cara yang lebih berkesan bagi tujuan pembelajaran dan perkembangan mereka.

Tuntasnya, corakan awal kepada kanak-kanak adalah sangat penting dan perlu diberi keutamaan oleh guru-guru kerana mereka diibaratkan sebagai kain putih yang bersih dan orang sekeliling perlu mencorakkannya.

Selain tugas hakiki guru pendidikan awal kanak-kanak adalah untuk mengajar mereka tentang ilmu yang merentasi kurikulum, tugas guru sebagai pemangkin kejayaan kanak-kanak juga perlu dititikberatkan.

Negara akan mempunyai pemimpin yang berkualiti pada masa akan datang sekiranya mereka memperoleh ilmu yang bermanfaat sepanjang bergelar seorang murid.

Oleh itu, titipkan ilmu yang baik di peringkat awal persekolahan supaya mereka menjadi insan yang holistik kepada generasi yang seterusnya.

MAKLUMAT PENULIS

Nama : Muhammad Nur Azam bin Ghazali

Jawatan : Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Kolej Teknologi Darul Naim

Artikel berkaitan

Fokus pembentukan sahsiah diri ketika kecil, sistem pendidikan di Jepun patut dicontohi

(VIDEO) Ragam murid tumpahkan air baring atas lantai

5 permainan video yang mengajar kanak-kanak dengan pelbagai ilmu pengetahuan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan