japan_school_cleaning_0
japan_school_cleaning_0

Fokus pembentukan sahsiah diri ketika kecil, sistem pendidikan di Jepun patut dicontohi

Adlan Farhan Azwan
04 Mar 2022 04:16pm
A
A
A

Budaya hormat menghormati, menepati waktu, menjaga kebersihan serta berdisiplin dan teratur sudah sinonim dengan rakyat negara Jepun.

Walau bagaimanapun, pencapaian ini tidak terhasil daripada sistem pendidikan yang berteraskan peperiksaan atau menghafal buku teks sebaliknya bermula daripada asas pembentukan sahsiah sejak usia muda.

Berikutan itu, kita dapat lihat bahawa murid-murid di Jepun tidak perlu menduduki peperiksaan besar sehingga mereka memasuki tahap sekolah menengah kerana perkara yang lebih penting dalam pendidikan awal di negara matahari terbit itu ialah pembentukan adab dan sahsiah.

Kali ini, Sinar Bestari kongsikan satu hantaran daripada Zunita Ramli yang dimuat naik di laman Facebook tentang pengalamannya semasa berada di Jepun dan sistem pendidikan di sana.

Ikuti perkongsian tersebut di bawah:

*****

Sewaktu pagi ketika saya ingin keluar, saya terlihat seorang warga tua Jepun sedang mengutip sekeping sampah di tepi jalan dan terus memasukkannya ke dalam poketnya.

Apa yang menarik ialah, kawasan rumah saya ini boleh dikatakan agak bersih biarpun tidak mempunyai tukang sapu di sekitar kawasan perumahan ini.

Saya berpendapat bahawa pemikiran dan mentaliti penduduk sekitar seperti pakcik tua itu menyebabkan kawasan perumahan saya bersih.

Mentaliti sebegini yang saya percaya terbentuk daripada banyak faktor dan salah satunya adalah pendidikan.

Di Jepun, daripada tadika sampailah darjah tiga, mereka betul-betul fokus dalam pembentukan adab dan sahsiah murid. Silibus waktu ini agak mudah. Subjek teras pun tidak banyak, sekadar Bahasa Jepun, Matematik, dan Sains sahaja.

Jadi, tidak hairanlah di Jepun, tiada tukang pembersihan di sekolah. Semua murid perlu sama-sama membersihkan kelas, lap lantai, bersihkan tandas dan sebagainya.

Menariknya, ada sekolah di Jepun yang mana guru pun perlu turut sama untuk membersihkan tandas guru sendiri. Benar, kepimpinan melalui teladan.

Murid juga diajar untuk menghargai makanan, mereka tanam sendiri sayur-sayuran di kebun sekolah dan sayur ni akan dimasak di kantin sekolah.

Selepas makan tengahari, mereka ucapkan terima kasih kepada tukang masak yang sudah memasak makanan mereka. Mereka juga diajar untuk menghabiskan semua makanan yang ada di dalam pinggan supaya mengelakkan sifat pembaziran. Jadi, agak sukar sebenarnya untuk orang Jepun tidak menghabiskan makanan.

Semua orang sudah sedia maklum dengan sifat menghormati orang tua. Kanak-kanak di Jepun diajar untuk menghormati orang lain tidak kira apakah pekerjaan mereka, termasuk kutip sampah dan sebagainya. Ia disebabkan setiap pekerjaan ni mempunyai fungsinya yang tersendiri dalam masyarakat.

Pendidikan bermula dari rumah

Anak-anak adalah cerminan ibu bapa. Baik contoh yang ditunjukkan, baiklah bentuk anak-anak. Menjerit, menengking adalah contoh yang tak wajar ditunjukkan walau apa pun alasan.

Benar, sebagus dan sebaik mana pun didikan di sekolah, peranan ibu bapa adalah paling penting untuk membentuk anak-anak yang baik dari segi sahsiahnya.

Sumber: Facebook Zunita Ramli

Artikel berkaitan 

Kanak-kanak 6 tahun jalan kaki ke sekolah, jurugambar kongsi suasana selamat di Jepun

10 sebab mengapa kanak-kanak Jepun adalah yang paling sihat di dunia? Ibu bapa perlu ambil tahu!

Rangkul naib johan dan pendebat terbaik, USIM kongsi tip kejayaan mereka


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok