Perhatian untuk murid obesiti, wajib jalani aktiviti intervensi
Perhatian untuk murid obesiti, wajib jalani aktiviti intervensi

Perhatian untuk murid obesiti, wajib jalani aktiviti intervensi

Rasyidah Zulkifi
10 Mar 2022 05:09pm
A
A
A

Pelaksanaan program Standard Pengukuran Indeks Jisim Badan untuk Murid Sekolah Malaysia Berumur Lima hingga Sembilan Tahun (BMI 5-9T) adalah langkah terbaik Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengesan masalah obesiti dalam kalangan murid pada usia muda.

Guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Intan Perdana, Port Dickson, Nik Rozaimah Nik Zainuddin berkata, isu obesiti dalam kalangan murid sekolah semakin membimbangkan.

Baca juga

Tangani isu obesiti murid, ujian BMI 5-9T berkuat kuasa 21 Mac

(VIDEO) Murid lelaki kerap berbaju seragam, akhirnya guru PJ hadiahkan 2 helai baju sukan

“Sebenarnya kalau ikutkan memang ada kajian yang menunjukkan kanak-kanak di Malaysia mempunyai kadar obesiti yang paling tinggi di kawasan Asia Tenggara.

“Disebabkan kita berada dalam pandemik, jadi murid-murid kurang melakukan aktiviti fizikal dan apabila mereka balik ke rumah, pemakanan tidak dijaga,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Nik Rozaimah bersama murid-muridnya.

Menurutnya, pelaksanaan program tersebut dilihat mampu menarik murid-murid untuk mengekalkan berat badan ideal.

“Bagi saya, jika pelaksanaan program ini dipantau secara formal, murid-murid akan memberikan respon positif dan menggalakkan kerana kita tahu murid sekolah rendah ini sangat teruja.

“Kadang-kadang murid suka bersaing secara sihat sesama kawan, melalui program ini, mereka lebih seronok dalam usaha mengekalkan BMI yang normal,” katanya.

Difahamkan, ujian BMI 5-9T membantu guru-guru memantau tahap kesihatan murid secara formal.

“Bagi saya, ia sangat relevan sebab kalau kita tengok murid prasekolah sampai Tahun Tiga, berat badan mereka tidak dipantau secara formal.

“Ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) bermula pada Tahun Empat, jadi sebelum itu kita hanya memantau secara informal BMI mereka ini.

“Jadi bila dijalankan program seawal usia demikian, maksudnya mampu memberi impak yang baik untuk cikgu dan ibu bapa,” katanya.

Ujian SEGAK dilakukan ke atas murid berusia 10 tahun sehingga 17 tahun.

Ini bermaksud rekod BMI 5-9T boleh dijadikan kesinambungan ujian SEGAK ketika murid berada di Tahun Empat sehingga ke Tingkatan Lima.

“Jadi awal-awal program ini dijalankan, insya-ALLAH, laporan itu akan dibawa ke sekolah menengah yang memudahkan tugas guru PJ.

“Kita boleh ambil tindakan bagi murid yang BMI tidak normal, menghidap berat badan berlebihan atau obesiti,” jelasnya.

Kata Rozaimah, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau pemakanan anak mereka.

Menurutnya, murid yang menghidap obesiti ini berpunca daripada pola pemakanan di rumah yang tidak sihat.

Manakala di sekolah pula, guru yang mengajar di Negeri Sembilan itu mencadangkan pihak kantin sekolah menyediakan menu sihat berbanding makanan ringan atau segera.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga galakkan amalan pemakanan suku suku separuh.

“Jadi kita boleh tetapkan mengikut piramid makanan berdasarkan jumlah yang betul tapi ada pelbagai pilihan.

“Set A mungkin lauknya ayam, set B mungkin lauknya daging untuk protein,” katanya.

Guru PJPK memainkan peranan penting dalam aspek kesihatan kepada murid.

Hasilnya, murid tiada pilihan jadi mereka terdorong untuk membeli set makanan tersebut.

“Pastikan elak masakan jenis bergoreng dengan menggunakan minyak yang banyak atau boleh kurangkan makanan berasaskan santan.

“Contohnya, nasi lemak ada santan, mungkin pihak kantin boleh kurangkannya atau ada inisiatif lain untuk tukar bahan makanan,” katanya.

Beliau berharap pihak kementerian dapat memperuntukkan dana yang sewajarnya supaya pihak kantin dapat menyediakan menu sihat kepada murid yang menghidap obesiti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Sebenarnya nak menyediakan makanan yang sihat dan berkualiti ini memerlukan bajet.

“Contoh kalau nak menggoreng, minyak itu dipakai beberapa kali untuk mengurangkan kos.

“Jadi mungkin dengan adanya subsidi, kita boleh menyediakan makanan yang lebih sihat dan berkualiti untuk murid yang menghidap obesiti,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan