1236018
1236018

Persediaan menjelang pembukaan sekolah

Roshlawaty Md Raieh
18 Oct 2021 03:48pm
A
A
A

Golongan guru merupakan individu yang paling sibuk apabila sekolah mula beroperasi secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) 3 Oktober lalu.

Walaupun kehadiran murid ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada enrolmen, mengikut penggiliran minggu dan ada yang hadir 100 peratus tanpa penggiliran, tugas guru tetap sama, sibuk di sekolah dan dalam masa sama meneruskan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bagi guru-guru yang berada di negeri yang sekolahnya masih belum beroperasi, sesi PdPR diteruskan seperti biasa.

Cuma, mungkin ada sedikit penambahan tugasan iaitu perlu hadir ke sekolah untuk membuat persiapan dan persediaan menjelang pembukaan semula sekolah kelak.

Minggu ini, GPSBestari berpeluang menemu bual beberapa guru dan seorang ibu bagi mendapatkan gambaran persiapan yang dilakukan.

Walaupun tidak pasti bila akan beroperasi, namun guru-guru ini tetap gigih dan sudah bersedia untuk menerima kehadiran murid disayangi.

Keadaan kelas prasekolah setelah melakukan pengubahsuaian penjarakan mengikut SOP.

*****

Pengoperasian prasekolah bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, masih belum bermula setakat ini.

Bagaimanapun, guru-guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) sudah pun membuat persiapan dalam menanti kemasukan murid-murid prasekolah.

Bagi Cikgu Hamimah Zakaria, 38, dia mengambil masa selama dua minggu untuk membuat persiapan.

“Kami lakukan persiapan awal agar tiada yang tertinggal atau tidak lengkap. Dalam proses persiapan ini, semua guru prasekolah dan PPM terlibat termasuklah guru aliran perdana serta pentadbir sekolah.

“Tidak lupa juga, pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah turun membantu bagi memastikan keadaan kelas tersedia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Cikgu Hamimah

SK Dato’ Wan Kemara mempunyai dua kelas prasekolah iaitu Pra Nur Iman dan Pra An Nur.

Seramai 50 orang murid mengikuti pembelajaran di prasekolah ini dengan bilangan guru seramai dua orang iaitu Cikgu Hamimah dan Cikgu Salmah Halim @ Saad.

Ditanya mengenai persiapan yang telah dilakukan, Cikgu Hamimah berkata, segala-galanya berjalan lancar dan mengikut ketetapan yang telah disediakan.

“Kami memastikan tidak mengunakan permaidani, tikar, langsir dan alas meja bagi membasmi penularan wabak Covid-19.

“Turut dilakukan penjarakan perabot di dalam kelas sepanjang 1 meter dengan menggunakan pita pelekat berwarna, mempamerkan info mengenai virus Covid-19 di dalam kelas, peralatan seperti pinggan dan cawan murid-murid diasingkan serta dilabel supaya tidak berkongsi. Peralatan atau bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dihadkan dan dicuci sebelum dan selepas digunakan ,” jelas beliau.

Baca juga Pensyarah Kanan UiTM gesa ibu bapa pantau aktiviti dalam talian anak-anak, cegah sebelum parah

Baca juga Tip mudah hafal sifir. Jom ikut cara cikgu Matematik ini buat

Berkenaan SOP prasekolah pula, Cikgu Hamimah berkata, ia telah dibincangkan mengikut peranan masing-masing.

“Pihak sekolah telah menyediakan kemudahan pengimbas suhu, pencuci tangan dan bilik isolasi. Kami turut memastikan kelas berada dalam keadaan bersih serta pengudaraan yang baik untuk keselamatan juga keselesaan murid dan tiada aktiviti kumpulan yang melibatkan sentuhan.

“Seterusnya, aktiviti PdP luar bilik darjah hanya dilaksanakan di persekitaran kelas prasekolah dengan penjarakan sosial. Lawatan sambil belajar dalam dan luar kawasan tidak dibenarkan,” kata beliau.

Bagi memastikan keselamatan semua murid ketika berada di sekolah, Cikgu Hamimah menasihatkan supaya ibu bapa dan murid sentiasa menjaga kebersihan diri serta memakai pelitup muka ketika berada di luar sekolah.

Persiapan guru dari aspek PdP

Bagi guru Bahasa Melayu serta Reka Bentuk dan Teknologi, Sekolah Kebangsaan Senibong, Pasir Gudang, Johor, Muhammad Sabiq Mohd Noor pula berkata, kebanyakan sekolah tentunya sudah membuat persiapan prasarana fizikal sekolah.

Cikgu Muhammad Sabiq

Tambahnya, persiapan ini penting agar murid-murid dapat melakukan aktiviti pembelajaran mengikut SOP yang telah disediakan.

Tetapi bagaimana pula dengan persediaan guru-guru? Adakah mereka telah bersedia?

Cikgu Muhammad Sabiq berkata, guru-guru pastinya telah bersedia dan ada beberapa perkara perlu diberi perhatian.

“Pada awal sesi, guru perlu mulakan komunikasi dengan murid-murid tentang perkara-perkara yang ringan seperti berbual berkenaan aktiviti di rumah dan perasaan mereka. Ia bertujuan untuk membina hubungan antara guru dengan murid secara bersemuka.

“Guru juga perlu menunjukkan rasa prihatin kepada murid supaya motivasi intrinsik mereka dapat meningkat bagi menghadapi sesi PdP seterusnya.

Baca juga 5 cara boleh buat ibu bapa tidak stres, anak pun seronok belajar 

Baca juga Juruoptik kerjaya bergaji lumayan, Kolej Vision penuhi keperluan industri, optimumkan kebolehan pelajar

“Cikgu juga harus merancang aktiviti pengajaran yang memberi fokus kepada implementasi pengetahuan melalui pelaksanaan projek atau pembelajaran berasaskan tugasan. Sepanjang tempoh PdPR, penyampaian kandungan asal dapat disalurkan melalui penggunaan peranti digital berbanding pelaksanaan aktiviti amali. Perkara ini berlaku kerana kurangnya bahan dan peralatan yang diperlukan serta tunjuk ajar secara terus oleh guru,” ujarnya.

Oleh yang demikian, guru perlu meneliti Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi merancang aktiviti pembelajaran yang selaras dengan keperluan Penilaian Bilik Darjah (PBD) khusus kepada kandungan tambahan dan kandungan pelengkap.

Secara keseluruhan, guru-guru perlu sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai situasi yang berlaku.

“Kekangan ketika PdPR perlu diselesaikan secara kritis dan kreatif apabila menjalankan sesi PdP bersemuka pasca Covid-19 dengan strategik serta sistematik. Persediaan ini turut menyentuh aspek motivasi murid serta pembangunan profesionalisme seorang guru.

“Guru dalam era ini perlu sentiasa meneroka ilmu serta mengimplementasikan perkara baharu bagi mewujudkan sebuah pembelajaran bermakna dan kontekstual kepada murid-murid serta meningkatkan mutu bidang perguruan,” ujarnya lagi.

Tak sabar ke sekolah

Seorang ibu, Norulhuda Azma Abdullah @ Fauzi, 40, berkata anak-anaknya bagaikan sudah tidak sabar untuk ke sekolah.

“Saya ada tiga orang anak iaitu Nur Aisy Aleesya Mohd Aswadi, 12; Nur Aisy Adelia, 11; dan Nur Aisy Areeana, 8, yang bersekolah di SK Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

Norulhuda Azma bersama tiga orang anaknya yang kini bersekolah di SK Lembah Keramat.

Masing-masing sudah mula bertanyakan bila sekolah akan dibuka kerana sudah tepu mengikuti PdPR yang mengambil masa hampir dua tahun,” katanya.

Dari segi persiapan menjelang persekolahan kelak, Norulhuda Azma dalam proses memastikan semuanya siap mengikut jadual.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

“Sekarang ini, saya dalam mengemaskini semua latihan serta kerja sekolah anak-anak agar disiapkan segera. Tidak lupa juga persiapan kelengkapan seperti alat tulis, kasut, baju sekolah dan lain-lain lagi.

“Pelitup muka dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) juga telah disediakan awal bagi mengelakkan barangan ini kehabisan stok,” tuturnya.

Sebagai ibu, Norulhuda Azma berkata, nasihat akan terus dibekalkan kepada anak-anak walaupun Malaysia makin pulih daripada Covid-19.

“Memandangkan kita menuju ke fasa endemik, amat penting untuk sentiasa ingatkan dan pesan pada anak-anak supaya menjaga SOP demi kesihatan diri dan rakan-rakan lain,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan